Kod Etika

TUJUAN

Kod etika ini bertujuan membantu warga JMNP mengotakan ikrar dan aku janji yang telah dilafazkan dalam pelaksanaan tanggungjawab masing-masing terhadap diri, Jabatan, Perkhidmatan Awam dan Negara.

DEFENISI

Menurut Pelan Integriti Nasional, etika ditafsirkan sebagai himpunan nilai dan moral yang menjadi piawai bagi tingkah laku individu, organisasi dan profesion.

A.    BUDAYA WARGA JMNP

Berdasarkan nilai-nilai teras dan kembangan Kod Etika ini, JMNP hendaklah mengamalkan budaya berikut:

  1. Menghayati integriti diri dengan memaparkan akhlak yang mulia, terpuji dan boleh diteladani.
  2. Berusaha memastikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan dari segi kecekapan masa, tahap layanan dan kualiti produk perkhidmatan.
  3. Menghindari diri dari kegiatan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan atau keadaan-keadaan yang boleh meletakkan diri sebagai penjawat awam dalam keadaan serba-salah.
  4. Berusaha mengutamakan kepentingan Negara dan orang awam daripada kepentingan peribadi.
  5. Menghormati kepercayaan agama, budaya dan tatasusila semua kaum

#          Nilai-Nilai Teras Dan Nilai-Nilai Kembangan (SEBAGAIMANA DI LAMPIRAN A)

B.    KEWAJIPAN TERHADAP ORGANISASI

Warga JMNP hendaklah memahami dengan jelas dan mematuhi sepenuhnya Hala Tuju Organisasi dan Peraturan-peraturan Jabatan seperti berikut:

  1. Hala Tuju JMNP

Visi

  • Mewujudkan sebuah jabatan yang cemerlang dan berkualiti dalam Memartabatkan Syariat Islam untuk melahirkan umat Islam yang bertakwa di negeri Pahang

Misi

  • Memastikan  Syariat Islam di daulat dan di martabatkan.
  • Memastikan semua fatwa dan hukum dapat diterima dan dilaksanakan Dengan sempurna ke arah melahirkan kesejahteraan umat Islam.

Objektif

  • Memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan berkualiti bagi memastikan umat Islam menghayati dan mengamal cara hidup Islam sebenar berdasarkan Al Quran dan Sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihiwassalam.
  • Mengeluarkan fatwa diperingkat negeri mengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah.
  • Memastikan semua perancangan dan perlaksanaan pembangunan negeri mengikut Hukum Syarak.

Slogan

“Kearah Beriman Dan Beristiqamah”

Dasar Kualiti

Jabatan Mufti Negeri Pahang beriltizam memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam  memastikan fatwa yang dikeluarkan adalah fatwa yang memenuhi kehendak hukum syarak melalui penerapan budaya kerja cemerlang dan amalan sistem pengurusan kualiti yang cekap dan efisyen yang sentiasa dipertingkatkan secara berterusan untuk memenuhi kehendak pelanggan dan jabatan berdasarkan mengikut keperluan MS ISO 9001: 2008

     ii.   Penghayatan Disiplin

Mengawasi waktu, kehadiran bekerja dan pelaksanaan tugas dengan:

  1. Mengimbas sendiri kad perakam waktu (Protime) kehadiran bekerja.
  2. Mematuhi prosedur yang ditetapkan bagi pengguanaan kad perakam waktu termasuk mengimbas kad bagi setiap pergerakan ke luar bagi menjalankan tugas-tugas rasmi atau atas urusan peribadi.
  3. Mengganti semula waktu bekerja yang telah digunakan untuk urusan peribadi.
  4. Tidak melampaui had masa rehat rasmi yang diperuntukkan.
  5. Memaklumkan kepada pegawai yang menyelia mengenai alamat dan nombor telefon untuk dihubungi pada bila-bila masa semasa tiada di pejabat.
  6. Menghadiri setiap perhimpunan bulanan Jabatan mengikut jadual dan arahan yang ditetapkan.
  7. Menepati masa ketika menghadiri majlis dan tugas rasmi.

#        Garis Panduan Mengenai Kebenaran Untuk Meninggalkan Pejabat Dalam Waktu Bekerja Di Bawah Perintah Am 5 Bab G – Mematuhi Waktu Bekerja (SEBAGAIMANA DI LAMPIRAN B)

  iii.     Pengawasan Harta Awam

Mematuhi setiap peratuaran yang berkaitan dengan pengurusan harta dan aset pejabat dengan:

  1. Mengambil tanggungjawab, melindungi aset dan harta pejabat daripada hilang, rosak, dicuri, disalahgunakan atau digunakan bertentangan dengan undang-undang.
  2. Menggunakan hanya untuk urusan rasmi setiap aset dan harta pejabat seperti kenderaan, peralatan computer, alat tulis dan alat telekomunikasi, termasuk telefon, internet dan faks.
  3. Menyelenggarakan dengan baik dan menyimpan kenderaan jabatan di tempat yang ditetapkan, tidak memandu pulang kecuali dengan kebenaran ketua jabatan, dan tidak mengangkut penumpang selain yang dibenarkan dan dilindungi secara rasmi.
  4. Melaporkan segera kepada pihak pengurusan sebarang kerosakan atau kehilangan harta iaitu dalam tempoh satu jam bagi kerosakan dan dalam tempoh 24 jam bagi kehilangan, termasuk mengemukakan sesalinan laporan polis yang berkenaan, jika berkaitan.
  5. Menghindari daripada mengakses, menyampai, menyalin atau menyebar sebarang bentuk bahan bercetak, media elektronik atau internet yang ditegah sama ada yang menyentuh sensitivity agama, fahaman politik, kaum, jantina, atau peribadi.
  6. Peka kepada prinsip pengguanaan bersama, iaitu bertanggungjawab ke atas penggunaan peralatan atau kemudahan yang dikongsi selepas menggunakan kemudahan di bilik air dan tanggungjawab memaklumkan serta-merta tentang kerosakan system/alat atau serangan virus ke atas perisian computer, sebelum menyerahkannya kepada pengguna berikutnya.

 

   iv.    Keselamatan Perlindungan

Memahami dan mematuhi sepenuhnya peraturan-peraturan yang berkaitan dengan keselamatan perlindungan, termasuk kawalan dokumen, kawalan rekod, keselamatan fizikal pejabat, kesihatan pekerja dan pelanggan jabatan mengikut Panduan Arahan Keselamatan, Akta Rahsia Rasmi 1972, dan lain-lain.

     v.    Pengisytiharan Harta

Bertanggungjawab untuk mengistiharkan harta mengikut jadual yang ditetapkan, termasuk membuat pengisytiharan terhadap sebarang perubahan ke atas pemilikan harta atau pelupusan harta atau setiap kali pegawai menyandang jawatan lebih tinggi tanpa menunggu diberi peringatan.

   vi.   Pematuhan Muafakat

  1. Memanfaatkan dengan posititif, saluran komunikasi yang disediakan di dalam organisasi untuk menyampaikan pandangan, cadangan, maklum balas dan kritikan dengan penuh berhemah dan bijaksana.
  2. Menghormati sebarang pandangan alternatif dan mematuhi sebarang pendirian atau keputusan bersama meskipun pendirian atau keputusan tersebut bertentangan atau tidak selari dengan pendirian atau pandangan persendirian.
  3. Mengiktiraf, menerima secara muktamad dan tidak mempertikaikan sebarang pandangan atau keputusan yang dibuat oleh pengurusan atasan organisasi atau Ketua Pengarah sebagai ketua organisasi.

 vii.    Pematuhan Peraturan Bercuti

  1. Warga JMNP hendaklah mengelak daripada merancang, memohon atau mengambil cuti rehat pada hari yang dijadualkan berlangsung Mesyuarat Pengurusan JMNP
  2. Setiap warga yang telah memohon untuk bercuti rehat hendaklah bertanggungjawab memastikan dahulu status permohonan cuti masing-masing sebelum bercuti.
  3. Setiap warga yang memohon untuk bercuti rehat mesti memahami prinsip ‘cuti sebagai suatu keistimewaan, bukan sebagai hak’ bagi memastikan warga sentiasa mendahulukan urusan rasmi dan kepentingan jabatan.
  4. Setiap warga yang bercuti boleh diminta oleh penyelianya untuk mengemukakan alasan untuk bercuti (jika perlu), butir-butir cadangan pergerakan warga semasa bercuti melebihi tiga hari, dan maklumat berkaitan alamat dan nombor untuk mudah dihubungi, jika keadaan memerlukan.
  5. Setiap warga yang bercuti mengejut atau bercuti sakit, berkewajipan memastikan keadaan percutiannya dimaklumkan segera kepada pegawai yang meluluskan cuti atau penyelia untuk memastikan tugasan yang diamanahkan kepada warga yang berkenaan tidak menggendalakan organisasi.
  6. Setiap warga ataupun pegawai yang bertanggungjawab perlu mengisi maklumat cuti dalam e-cuti dengan tepat dan jujur.

 viii.    Pematuhan Peraturan Berpakaian

  1. Semua warga dikehendaki berpakaian kemas, menutup aurat, sesuai dan sopan dengan mematuhi peraturan-peraturan berpakaian yang telah ditetapkan.
  2. Semua warga dikehendaki memakai tanda nama sepanjang masa bekerja di pejabat dan semasa melaksanakan tugas-tugas rasmi di dalam Negeri atau Negara.
  3. Kumpulan Pengurusan dan Profesional dikehendaki memakai pakaian yang berimejkan sebagai seorang pegawai yang Profesional dan Berketrampilan ketika menghadiri mesyuarat atau majlis-majlis rasmi yang dianjurkan JMNP ataupun jabatan-jabatan lain.

   ix.   Pematuhan Peraturan Umum

  1. Semua warga perlu prihatin kepada setiap panggilan luar menerusi telefon dan memastikan berusaha menjawab segera setiap panggilan dengan tidak membiarkan mana-mana panggilan telefon bordering lebih daripada tiga kali.
  2. Mana-mana pegawai yang menghadiri sebarang mesyuarat atau majlis sebagai mewakili JMNP hendaklah melaporkan inti pati mesyuarat/majlis kepada ketua/penyelia yang berkenaan pada keesokan harinya.
  3. Setiap warga harus mengamalkan sikap berpegang kepada maklumat yang benar dan tepat berasaskan sumber rasmi dan berwibawa.
  4. Semua warga harus menghindari diri dari kecenderungan untuk mewujudkan, mencari dan menyebarkan maklumat berkenaan orang lain yang bukan dalam bidang kuasa atau urusan tanggungjawabnya.
  5. Setiap warga yang menerima pelawaan rasmi untuk menghadiri mesyuarat atau majlis berkaitan urusan JMNP perlu mengemukakan pengesahan segera dan lebih awal daripada tarikh mesyuarat/majlis tentang kehadiran diri atau wakilnya tanpa menunggu surat atau panggilan susulan oleh pihak penganjur yang berkenaan.
  6. Setiap warga yang diberikan tugasan dengan sasaran tempoh masa yang ditetapkan hendaklah menyempurnakan tugasan tersebut mengikut jadual yang ditetapkan. Sekiranya tugasan berkenaan tidak dapat diselesaikan mengikut sasaran masa yang ditetapkan, warga hendaklah merujuk semula kepada punca asal penugasan dan mendapatkan kelulusan/persetujuan untuk masa sasaran baru.
  7. Setiap pegawai hendaklah berusaha memastikan kualiti output tugasan dengan membudayakan pendekatan saling semak-menyemak dan teliti-meneliti antara pegawai sebelum output dikemukakan kepada Ketua  Bahagian/Jabatan untuk pengesahan dan kelulusan.
  8. Telefon mudah alih hendaklah dimatikan atau dalam ‘silent mode’ semasa mesyuarat dan acara rasmi. Bagi pegawai yang dibekalkan telefon pejabat hendaklah sentiasa bersedia untuk menjawab panggilan pejabat tanpa mengira waktu dan lokasi.
  9. Semua warga JMNP hendaklah sentiasa mematuhi arahan, peraturan, pekeliling dan surat pekeliling yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.

 

C.  ETIKA PELAKSANAAN TUGAS

i.   Tata Kelakuan Rasmi

Tata kelakuan adalah menjadi pegangan dan amalan yang akan menampilkan ciri-ciri khusus warga JMNP ketika melaksanakan tugas dalam berbagai-bagai keadaan, selaras dengan Manual Kualiti, Prosedur Sistem Pengurusan Kualaiti, Manual Prosedur Kerja dan Fail Meja yang terkini.

ii.    Aku Janji

Setiap warga JMNP wajib membaca dan menandatangani Surat Aku Janji (LAMPIRAN C) semasa melaporka diri ke JMNP. Mereka harus MEMAPAR perlakuan yang mulia sepanjang tempoh perkhidmatan di JMNP.

iii.  Ikrar

Setiap warga JMNP hendaklah berikrar menjadi warga yang beretika dan berintegriti (LAMPIRAN D dan E).

D.  PENUTUP

Sebagai sebuah Jabatan yang dihormati dan tertinggi dalam pentadbiran agama negeri, semua warga JMNP berkewajipan menghayati Kod Etika ini dan Pekeliling yang telah dikeluarkan seperti Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam, Pekeliling Perkhidmatan, Pekeliling Perbendaharaan, Ikrar dan Aku Janji.  Arahan melaksana dan mematuhi kod etika ini adalah bagi mempastikan sistem pentadbiran di jabatan berjalan lancar serta penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai dapat dilaksanakan dengan berkesan.

LAMPIRAN

     LAMPIRAN A        
     LAMPIRAN B 
LAMPIRAN C
LAMPIRAN D
LAMPIRAN E

 

You are here: Laman Utama Organisasi Profil Kod Etika

DASAR KESELAMATAN | DASAR PRIVASI | PENAFIAN FAQ

 Laman Web Rasmi ini sesuai dilayari oleh pada pelayar web Internet Explorer 8.0 dan Mozilla Firefox 3.0 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1366 x 768 dan ke atas.

Diselenggara olehWebmaster Jabatan Mufti Negeri Pahang

 Tarikh Akhir Kemaskini : 23 JUN 2017