Hukum Menggunakan Kaedah Khidmat Ibu Tumpang Untuk Mendapatkan Zuriat

Oleh : Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Negeri Pahang Kali Ke-2/2008, pada 11 -12 Jun 2008)

Keputusan : Hukum menggunakan kaedah ibu tumpang (Surrogate Mother) untuk mendapatkan zuriat adalah seperti berikut :

  1. Menggunakan kaedah  khidmat ibu tumpang adalah haram walaupun sperma dan ovum atau selain daripada keduanya diambil daripada pasangan suami isteri yang sah kerana berlaku kekeliruan dari sudut nasab anak.
  2. Sumbangan sperma, ovum, embrio, rahim, oleh pihak ketiga atau penggunaan lain-lain kaedah  adalah haram di sisi syarak.

Keterangan/Hujah: 

  1. Ketidaktentuan nasab merupakan aspek yang paling besar dalam kelahiran seorang bayi yang dikandung oleh ibu tumpang. Seorang ibu tumpang berbangsa Inggeris berkulit putih misalnya boleh melahirkan seorang bayi yang berbangsa negro yang berkulit hitam atau sebaliknya.
  2. Perkembangan dunia perubatan di bidang teknologi rawatan kesuburan bagi membantu reproduksi walaupun banyak memberi manfaat namun ternyata boleh menyebabkan kecelaruan sistem kekeluargaan dan keturunan. Melalui khidmat ibu tumpang, bayi yang dikandung dan dilahirkan mempunyai hubungan genetik atau tiada langsung hubungan darah dengan ibu tumpangnya kerana telur dan sperma adalah milik orang lain.
  3. Setakat ini tiada undang-undang yang jelas menyekat kaedah rawatan ketidaksuburan (infertility treatment) yang menggunakan perkhidmatan ibu tumpang.
  4. Di beberapa negara Eropah kadar permintaan menggunakan khidmat ibu tumpang semakin meningkat dan dikhuatiri fenomena ini akan menular di negara ini.
  5. Selain daripada kaedah ibu tumpang ini, terdapat juga kaedah perubatan yang menggunakan air sum-sum tulang belakang bagi membantu pasangan suami isteri yang yang kurang subur, mandul atau gagal memperolehi anak melalui kaedah semula jadi.
  6. Kaedah-kaedah perubatan yang diperkenalkan oleh Barat ini secara perlahan-lahan telah berjaya mempengaruhi masyarakat bahawa status ibu kepada bayi tidak semestinya disandang oleh wanita yang mengandung dan melahirkan, begitu juga status bapa tidak semestinya lelaki yang menyumbang benih atau menjadi suami kepada wanita yang mengandungkan bayi daripada darah dagingnya.
You are here: Laman Utama Perkhidmatan Bahagian Fatwa Keputusan Fatwa 2008 Hukum Menggunakan Kaedah Khidmat Ibu Tumpang Untuk Mendapatkan Zuriat

DASAR KESELAMATAN | DASAR PRIVASI | PENAFIAN FAQ

 Laman Web Rasmi ini sesuai dilayari oleh pada pelayar web Internet Explorer 8.0 dan Mozilla Firefox 3.0 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1366 x 768 dan ke atas.

Diselenggara olehWebmaster Jabatan Mufti Negeri Pahang

 Tarikh Akhir Kemaskini : 26 APRIL 2017