Hukum Menternak dan Menjual Lintah Dan Cacing Untuk Tujuan Perubatan Dan Kosmetik

Oleh : Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Negeri Pahang Kali Ke-4/2008, pada 26 Disember 2008

Keputusan : Hukum menternak dan menjual lintah dan cacing untuk tujuan kosmetik adalah diharuskan berdasarkan hujah-hujah seperti berikut :

  1. Lintah dan cacing dianggap haiwan yang suci ( tidak najis ) walaupun tidak boleh dimakan.
  2. Jumhur Fuqaha’ berpendapat cacing adalah tidak najis kecuali Fuqaha’ Syafi’iyah.
  3. Tujuan penternakan cacing dan lintah bukan bermatlamat sebagai bahan makanan tetapi sebagai bahan perubatan dan kosmetik serta penghasilan baja.                                        

Keterangan/Hujah:

- Lintah dan cacing sebenarnya merupakan haiwan yang memberi manfaat kepada manusia sama ada dari sudut perubatan, pertanian, kosmetik dan lain-lain. Sehubungan itu, pendapat yang mengharuskan berjual beli dengan kedua-dua jenis haiwan ini lebih sesuai diamalkan kerana kegunaannya adalah pelbagai dan mendatangkan banyak manfaat kepada manusia. Para fuqaha tidak mengharuskan berjual beli dengan barang yang tidak bermanfaat seperti semua jenis haiwan kecil           ( حشرات ) , haiwan buas yang tidak sesuai untuk berburu dan seumpamanya.

- Para fuqaha’ sepakat tentang kesucian haiwan air dan keharusan penggunaannya untuk tujuan perubatan dan kosmetik walaupun ia tidak boleh dimakan. Berasaskan konsep urf yang disebut sebelum ini, bahawa lintah dan cacing merupakan haiwan khabis yang tidak boleh dimakan oleh orang Islam, para fuqaha’ sebenarnya telah mempunyai pandangan dalam hal ini iaitu kesemua Imam Mazhab bersepakat bahawa bangkai haiwan akuatik sama ada ikan atau lainlain adalah suci, ini bersandarkan kepada sabda Rasulullah S.A.W.:

هو الطهور ماء الحل ميته

Maksudnya: “Ia bersih airnya dan halal bangkai-bangkai didalamnya”. 

- ‘Uruf masyarakat Islam menganggap lintah dan cacing sebagai benda kotor yang tidak boleh dimakan. Walaubagaimanapun, mengikut hukum asal dan pandangan ulama’, binatang air seperti lintah dan cacing tidak dikategorikan sebagai najis. Sekiranya dianggap sebagai najis, banyak persoalan berkaitan hukum yang perlu diselesaikan. Umpamanya seorang yang sedang bersolat di tanah lapang dan digigit lintah, adakah sembahyang tersebut batal atau tidak. Begitu juga ikan yang diberi makan cacing, adakah ikan tersebut boleh dimakan atau tidak. Selagimana tidak dikategorikan sebagai najis, manfaat daripada kedua-dua haiwan ini boleh diambil oleh masyarakat Islam.

You are here: Laman Utama Perkhidmatan Bahagian Fatwa Keputusan Fatwa 2008 Hukum Menternak dan Menjual Lintah Dan Cacing Untuk Tujuan Perubatan Dan Kosmetik

DASAR KESELAMATAN | DASAR PRIVASI | PENAFIAN FAQ

 Laman Web Rasmi ini sesuai dilayari oleh pada pelayar web Internet Explorer 8.0 dan Mozilla Firefox 3.0 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1366 x 768 dan ke atas.

Diselenggara olehWebmaster Jabatan Mufti Negeri Pahang

 Tarikh Akhir Kemaskini : 26 APRIL 2017