Hukum Membangunkan Tanah Wakaf Dengan Pembangunan Selain Niat Asal Pewakaf

Oleh : Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Negeri Pahang Kali Ke-4/2008, pada 26 Disember 2008

Keputusan : Hukumnya adalah harus diubahsuai selain niat wakaf dengan syarat mengekalkan tujuan asal pewakaf. 

Keterangan/Hujah: 

  1. Jumhur fuqaha‘ dikalangan Mazhab Syafi’i berpendapat bahawa sesuatu wakaf sama ada am atau khas adalah kekal iaitu tidak boleh diubah atau di tarik balik kerana sesuatu wakaf itu telah menjadi milik mutlak Allah s.w.t
  2. Manakala Imam Abu Hanifah dan Imam Malik mempelopori pandangan bahawa sesuatu wakaf itu boleh mempunyai tempoh atau had masa tertentu seperti setahun dan sebagainya
  3. Para fuqaha‘ mempunyai pandangan yang agak rigid ketika membincangkan tentang wakaf masjid. Sesuatu wakaf masjid adalah selama-lamanya sebagai masjid hingga ke hari kiamat kerana masjid dianggap sebagai hak milik mutlak Allah s.w.t.
  4. Para fuqaha‘ berpendapat bahawa syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pewakaf khususnya bagi wakaf khas adalah wajib dipatuhi. Namun, mereka mengharuskan modifikasi terhadap harta wakaf melalui pembangunan yang dapat menjamin ciri-ciri kekal harta wakaf tersebut. Misalnya bagi sesuatu wakaf khas seperti wakaf masjid, fuqaha‘ mengharuskan bangunan lain dibina samada pada baki tanah wakah berkenaan atau dibina bangunan bertingkat dengan menempatkan masjid dimana-dimana aras bangunan yang bersesuaian dengan fungsinya sebagai rumah Allah. Dalam hal ini, niat asal pewakaf dikekalkan Cuma ditambah dengan binaan banguan yang dapat menjana pendapatan bagi penyelenggaraan masjid, hasil sewaan bangunan tersebut hendaklah dikembalikan kepada masjid bagi menjamin survivalnya.
  5. Mengenai lebihan hasil daripada pembangunan harta wakaf khas setelah ditolak perbelanjaan penyelenggaraan, terdapat pandangan yang mengharuskan lebihan tersebut disalurkan kepada perkara yang sama jenis dengan harta wakaf khas kerana ia merupakan perkara yang paling hampir yang dapat mengekalkan niat dan hasrat pewakaf. Disamping itu, terdapat juga pandangan yang mengatakan harus lebihan tersebut diberikan kepada umat Islam yang fakir dan miskin.
  6. Sekiranya bangunan lain dibina didalam kawasan wakaf khas khususnya wakaf masjid, adalah dicadangkan agar MAIN merangka suatu mekanisme seperti mewujudkan satu garisan panduan atau membuat pemantauan yang khusus bagi memastikan bangunan yaang dibina diatas tanah wakaf hanya digunakan bagi tujuan yang halal sahaja deni memelihara kesucian masjid.
  7. Pelaksanaan pembangunan sebagaimana yang telah dibincangkaan tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya dimana pandangan dan pendapat daripada Mufti hendaklah diperolehi terlebih dahulu. Dalam hal ini, setiap pembangunan diatas tanah wakaf selain daripada tujuan asal pewakaf mestilah dipanjangkan kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri agar setiap kes dapat dinilai dan diteliti mengikut fakta-fakta setempat sebelum sesuatu keputusan dibuat.
  8. Perkara yang paling utama yang harus dipelihara dalam merangka serta mencapai kemajuan dalam pembangunan wakaf ialah kelima-lima maqasid syariyyah iaitu agama, jiwa, akal, kehormatan dan harta. Oleh itu pemakaian prinsip darurah dan hajat harus diaplikasikan secara bijaksana dan berhati-hati bagi memastikan pelaksanaan sesuatu pembangunan harta wakaf adalah selaras dengan ketetapan syara‘.           
You are here: Laman Utama Perkhidmatan Bahagian Fatwa Keputusan Fatwa 2008 Hukum Membangunkan Tanah Wakaf Dengan Pembangunan Selain Niat Asal Pewakaf

DASAR KESELAMATAN | DASAR PRIVASI | PENAFIAN FAQ

 Laman Web Rasmi ini sesuai dilayari oleh pada pelayar web Internet Explorer 8.0 dan Mozilla Firefox 3.0 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1366 x 768 dan ke atas.

Diselenggara olehWebmaster Jabatan Mufti Negeri Pahang

 Tarikh Akhir Kemaskini : 10 OGOS 2017