Hukum Menunaikan Haji Bagi Pesakit Yang Menjalankan Rawatan Hemodialisis

Oleh : Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Negeri Pahang Kali Ke-1/2009, pada 27 Februari 2009

Keputusan : Hukum menunaikan fardhu haji bagi pesakit yang menjalani rawatan hemodialisis adalah tidak diwajibkan kerana terdapat keuzuran dan termasuk dalam ketidakmampuan.

Keterangan/Hujah :

  1. Islam secara prinsipnya tidak memberatkan umatnya terhadap sesuatu perkara melainkan sekadar yang termampu. Demikian juga, kewajipan menunaikan haji yang terikat dengan syarat-syarat yang khusus, salah satu daripadanya ialah berkemampuan untuk menunaikannya.
  2. Allah swt telah meletakkan kemampuan sebagai syarat untuk diwajibkan haji antaranya ialah mempunyai tubuh badan yang sihat dan terhindar daripada segala kesakitan yang boleh menghalang daripda melakukan perkara yang perlu dalam masa merantau untuk mengerjakan haji.
  3. Menurut fuqaha’ Syafiiyyah, yang dimaksudkan dengan kemampuan fizikal ialah sihat tubuh badan, boleh menaiki ataupun menunggang kenderaan dengan baik tanpa menghadapi sebarang kesukaran dan kesusahan yang teruk. Tanpa ini mereka dikira tidak mampu untuk mengerjakan sendiri.
  4. Ahli Majlis Fatwa al-Lajnatu al-Da’imatu Lilbuhusi al-Ilmiyyati wa al-Ifta’ mengatakan bahawa al-Istita’ah dalam haji ialah mestilah sihat dari segi tubuh badan, memiliki kenderaan yang boleh sampai ke sana sama ada kapal terbang, kereta atau sebagainya. Di samping itu juga mempunyai bekalan yang mencukupi baginya untuk pergi dan balik dengan syarat bekalan itu melebihi daripada sara hidup mereka yang di bawah tanggungannya sehingga dia pulang dari mengerjakan haji.
  5. Kebiasaannya mereka yang menjalani rawatan hemodialisis merupakan pesakit yang mempunyai harapan yang tipis untuk sembuh sepenuhnya.
  6. Berdasarkan kes-kes yang berlaku sebelum ini, jemaah haji yang mempunyai penyakit kronik seperti mereka yang menjalani rawatan hemodialisis ini akan menghadapi banyak masalah lebih-lebih lagi semasa wukuf dan ramai di antara mereka yang meninggal dunia.
  7. Kerajaan Arab Saudi juga tidak mampu menyediakan peralatan hemodialisis yang banyak kepada semua jemaah haji.
  8. Kebanyakan ulama’ berpandangan bahawa mereka yang menghadapi penyakit kronik dan terikat kepada rawatan tidak wajib menunaikan haji kerana situasi mereka dianggap sebagai darurat.
 

 

You are here: Laman Utama Perkhidmatan Bahagian Fatwa Keputusan Fatwa 2009 Hukum Menunaikan Haji Bagi Pesakit Yang Menjalankan Rawatan Hemodialisis

DASAR KESELAMATAN | DASAR PRIVASI | PENAFIAN FAQ

 Laman Web Rasmi ini sesuai dilayari oleh pada pelayar web Internet Explorer 8.0 dan Mozilla Firefox 3.0 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1366 x 768 dan ke atas.

Diselenggara olehWebmaster Jabatan Mufti Negeri Pahang

 Tarikh Akhir Kemaskini : 14 MAC 2017