Status Agama Anak Bawah Umur 18 Tahun Selepas Salah Seorang Pasangan Memeluk Agama Islam

Oleh : Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Negeri Pahang Kali Ke-(Mesyuarat Khas) pada 25 Julai 2009

Keputusan : Apabila salah seorang ibu atau bapa memeluk Islam, agama anak dibawah umur juga adalah Islam dan penjagaan anak hendaklah diletakkan di bawah ibu atau bapa yang beragama Islam

Oleh yang demikian apabila salah seorang pasangan ( ibu atau bapa ) memeluk agama Islam, status agama bagi anak bawah umur adalah secara langsung beragama Islam

Perkara 12( 4 ) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa agama seseorang yang di bawah umur  18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapa penjaganya tidak perlu dipinda

Keterangan/Hujah:

i) Jumhur Ulama’ (al-Hanafiyyah, al-Syafi’iyyah dan al-Hanabilah) berpandangan, anak-anak adalah mengikut agama Islam sama ada yang memeluk Islam itu ibu ataupun bapa. Pandangan ini berdasarkan hadith Nabi s.a.w. yang bermaksud: Daripada `A’idz bin Amr Almuzani, daripada Nabi SAW bersabda : “Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya”.

ii) Kaedah fiqh telah menetapkan اَلْصَغِيْرُ يَتَّبِعُ خَيْرَ الأَبَوَيْنِ دِيْنًا . Ini bermakna, seorang anak akan menjadi Islam apabila ibu atau bapanya memeluk Islam kerana Islam adalah agama terbaik dan tidak ada yang lebih baik dan mulia daripadanya.

iii) Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya. Berdasarkan kepada peruntukan ini persetujuan salah satu pihak sahaja adalah memadai dalam penentuan agama seorang kanak-kanak kerana perkataan yang digunakan dalam Perkara 12(4) ini adalah "parent or guardian” bukannya "parents or guardian” yang mana ia bermaksud ”ibu atau bapa atau penjaga.”

iv) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) - dalam seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505] memperuntukkan seperti berikut:


“Keupayaan masuk Islam


95. Bagi maksud Bahagian ini, seseorang yang tidak beragama Islam boleh masuk Islam jika dia sempurna akal dan-


(a) mencapai umur lapan belas tahun; atau


(b) jika dia belum mencapai umur lapan belas tahun, ibu atau bapa atau penjaganya mengizinkan kemasukannya.”.

You are here: Laman Utama Perkhidmatan Bahagian Fatwa Keputusan Fatwa 2009 Status Agama Anak Bawah Umur 18 Tahun Selepas Salah Seorang Pasangan Memeluk Agama Islam

DASAR KESELAMATAN | DASAR PRIVASI | PENAFIAN FAQ

 Laman Web Rasmi ini sesuai dilayari oleh pada pelayar web Internet Explorer 8.0 dan Mozilla Firefox 3.0 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1366 x 768 dan ke atas.

Diselenggara olehWebmaster Jabatan Mufti Negeri Pahang

 Tarikh Akhir Kemaskini : 14 MAC 2017