Hukum Mempromosikan Produk Insurans Konvesional Menurut Perspektif Islam

Oleh : Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Negeri Pahang Kali Ke-4/2010, pada 6 Semptember 2010

Keputusan : Hukum mempromosikan insurans konvesional adalah haram dan pendapatan atau komisyen yang diperolehi daripada insurans konvensional semasa tempoh peralihan agen ke institusi  takaful adalah diharuskan.

Keterangan/Hujah: 

1. Hukum terhadap insurans konvensional adalah jelas keharamannya mengikut kesepakatan para ulama’ kerana ia mempunyai elemen tidak patuh syariah iaitu riba, gharar dan maisir.

2. Keharaman muamalah riba tidak terhenti setakat amalan itu sahaja, bahkan Allah SWT telah mengisytiharkan perang kepada pemakan-pemakan harta riba. Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi telah mengemukakan pandangan bahawa bekerja di bank adalah dibenarkan selagi mana tidak berinteraksi secara terus dengan kontrak riba.

3. Para sarjana Islam semasa bersepakat mengatakan bahawa sebarang pekerjaan yang berurusan secara terus (direct) dengan kontrak riba adalah haram kerana termasuk dalam larangan Nabi SAW yang membawa kepada laknat. Ijtihad para sarjana Islam dalam menghukumkan keharaman pekerjaan yang bersangkutan dengan amalan riba contohnya di sektor ribawi adalah bertepatan dengan kaedah kulliyyah yang menyebut :

" ما حرم أخذه حرم إعطأوه "

Maksud: Sesuatu yang haram menerimanya juga diharamkan memberinya.

 

4. Dalam erti kata lain, kaedah ini membawa maksud apa sahaja perkara haram diambil atau mengambilnya, haram juga hukumnya memberikan kepada orang lain. Illahnya ialah ia akan membantu atau menolong kepada perbuatan yang diharamkan.

5. Dalam kes mempromosi produk-produk insurans konvensional, para ejen sememangnya bertugas untuk memasarkan produk-produk konvensional yang telah diputuskan haram secara sepakat. Maka dengan sebab itu, hadith Nabi SAW yang jelas melarang umat Islam daripada terlibat dengan urusan dan perniagaan ribawi iaitu yang bermaksud: ”Rasulullah SAW melaknat pemakan riba, pemberi wakilnya, pencatatnya dan dua saksinya. Nabi SAW bersabda: Semuanya sama-sama dilaknat” adalah terpakai dalam konteks ini. Walau bagaimanapun, bagi pekerja-pekerja yang tidak berurusan secara langsung dengan kontrak dan perniagaan riba, mengikut pandangan beberapa ulama’ seperti yang disebut di atas, pekerja-pekerja tersebut tidaklah dihukum mengikut hadith Nabi ini.

6. Terdapat juga pandangan yang mengatakan selagi mana seseorang Muslim itu bekerja di bawah “bumbung” institusi yang mengamalkan sistem riba, pekerjaan mereka adalah ditegah kerana menyokong sistem yang dicela oleh Allah itu.

7. Sistem insurans berlandaskan syariah sedang pesat berkembang pada masa ini dan umat Islam yang bekerja dalam sektor insurans konvensional berlandaskan sistem yang ditegah oleh Islam wajar memilih sistem yang berlandaskan syariah.

8. Islam mengharamkan umatnya dari melibatkan diri dalam apa jua muamalah yang melibatkan riba kerana riba akan membawa kemusnahan kepada hidup manusia. Oleh itu tindakan mempromosikan atau mengajak orang lain menerima sesuatu yang berteraskan riba adalah jelas dilarang oleh Islam.

9. Mereka yang bekerja dalam mempromosikan skim insurans konvensional berlandaskan riba perlulah berusaha dan bertekad bersungguh-sungguh untuk meninggalkannya dan dalam proses peralihan tersebut pendapatan yang diterima adalah halal dan dimaafkan oleh Islam.

You are here: Laman Utama Perkhidmatan Bahagian Fatwa Keputusan Fatwa 2010 Hukum Mempromosikan Produk Insurans Konvesional Menurut Perspektif Islam

DASAR KESELAMATAN | DASAR PRIVASI | PENAFIAN FAQ

 Laman Web Rasmi ini sesuai dilayari oleh pada pelayar web Internet Explorer 8.0 dan Mozilla Firefox 3.0 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1366 x 768 dan ke atas.

Diselenggara olehWebmaster Jabatan Mufti Negeri Pahang

 Tarikh Akhir Kemaskini : 26 APRIL 2017