Hukum Pengambilan Vaksin Human Papilloma Virus (HPV)

Oleh : Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Negeri Pahang Kali Ke-1/2011, pada 7 Januari 2011

Keputusan : Hukum pengambilan vaksin human papiloma virus ( hpv ) adalah harus bagi mencegah penyakit kanser pangkal rahim. Penggunaannya hendaklah tidak bertentangan dengan syarak. Keharusan pengambilan vaksin ini adalah berdasarkan hajat dan darurah.  

Keterangan/Hujah: 

  1. Vaksin HPV merupakan kaedah pencegahan yang berkesan di Amerika Syarikat dan diberikan kepada kanak-kanak seawal usia 11 tahun. Vaksin ini akan memberi kesan setelah hampir 20 tahun untuk bertindak. Ia merupakan langkah pencegahan awal untuk mengelakkan seseorang perempuan daripada terkena penyakit kanser pangkal rahim yang mampu meragut nyawa. Pencegahan seawal belasan tahun akan membantu mengurangkan risiko menerima penyakit ini dalam tempoh beberapa tahun akan datang terutama sekali bagi wanita yang melalui hubungan seksual secara sah di sisi syarak.
     
  2. Malaysia merupakan salah sebuah negara di Asia yang mempunyai bilangan kes kanser servik tertinggi selepas kes kanser payudara. Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah mengenalpasti kanser servik sebagai kanser kedua tertinggi di kalangan wanita selepas kanser payudara, dan menyumbang kira-kira 12% daripada keseluruhan bilangan kes kanser di kalangan wanita Malaysia. Malah, mengikut nisbah kematian kepada minit, direkodkan sebanyak 1 kematian di kalangan wanita akibat penyakit ini dikenal pasti bagi setiap satu minit di dunia. Di Asia, 1 kematian direkodkan bagi setiap 4 minit.
     
  3. Kajian menunjukkan, punca utama kanser ini berlaku adalah kerana jangkitan kuman Human Papilloma Virus (HPV) yang melata dan berkembang sehingga akhirnya berubah menjadi kanser. Human papilloma virus adalah daripada famili papovaviridae yang mempunyai lebih 100 jenis virus. Daripada jenis-jenis ini, jenis 16 dan 18 adalah berisiko tinggi dan dikenal pasti sebagai punca utama kanser serviks. Virus ini boleh berjangkit melalui aktiviti seperti hubungan kelamin, seks oral, sentuhan kulit kelamin, berkongsi pakaian dalam, berkongsi alat perubatan yang telah tercemar dengan virus ini dan pemindahan virus daripada seorang ibu kepada anak. Kanser ini juga berpunca daripada hubungan seks secara aktif pada usia muda, mengadakan hubungan seks dengan pasangan yang ramai atau mengadakan hubungan seks dengan lelaki yang mempunyai ramai pasangan.
     
  4. Sistem imune dalam badan boleh mematikan virus ini, namun kerebakan dan pembiakannya boleh bertukar menjadi kanser serviks atau kanser di kawasan lain seperti di vagina, dubur dan mulut. Jangkitan virus ini mengambil masa 10-20 tahun untuk merebak dan membiak sebelum menampakkan kesannya yang sebenar. Kebimbangan pada virus ini ialah ia tidak mempunyai simptom atau tanda-tanda awal mengenai jangkitannya.
  5. Pemvaksinan merupakan jalan pencegahan dan pencegahan adalah suatu perkara yang dituntut dalam Islam sesuai dengan kaedah Usul Fiqh iaitu سد الذريعة . Namun, sekiranya sesuatu yang diharuskan itu boleh membawa kepada perkara yang diharamkan, maka hukumnya adalah haram selaras dengan kaedah fiqh:

    ما يؤدى الى الحرام فهو حرام 

  6. Al-‘Aili Abdul Hakim dalam buku Mausu‘ah Huquq al-Insan fi al-Islam, menyifatkan kesihatan individu merupakan tuntutan agama dan kehidupan, di mana ia akan memberi manfaat kepada masyarakat. Dalam isu ini, vaksin HPV bukan lagi satu kehendak seseorang wanita, tetapi bahan pencegah ini kini menjadi keperluan kepada masyarakat secara umumnya.
You are here: Laman Utama Perkhidmatan Bahagian Fatwa Keputusan Fatwa 2011 Hukum Pengambilan Vaksin Human Papilloma Virus (HPV)

DASAR KESELAMATAN | DASAR PRIVASI | PENAFIAN FAQ

 Laman Web Rasmi ini sesuai dilayari oleh pada pelayar web Internet Explorer 8.0 dan Mozilla Firefox 3.0 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1366 x 768 dan ke atas.

Diselenggara olehWebmaster Jabatan Mufti Negeri Pahang

 Tarikh Akhir Kemaskini : 10 OGOS 2017