Hukum Melantik Orang Bukan Islam Sebagai Peguam Syari'e

Oleh : Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Negeri Pahang Kali Ke-1/2011, pada 7 Januari 2011

Keputusan : Mesyuarat berpandangan bahawa untuk menjadi seorang peguam syarie, seseorang itu perlu mampu menguasai ilmu al-Quran dan al-hadith, bahasa Arab, Ilmu Usul Fiqh dan Fiqh secara keseluruhannya dan ia perlu didasari dengan keimanan kepada Allah s.w.t. agar tanggungjawab yang dipikul disandarkan hanya kepada Allah s.w.t. dan demi kemaslahatan umat Islam dan keadilan menurut perspektif Islam.

Oleh yang demikian, demi menjaga kesucian dan kehormatan agama dan umat Islam, Mesyuarat bersetuju memutuskan bahawa orang bukan Islam adalah tidak dibenarkan dilantik sebagai Peguam Syarie berpandukan kepada kaedah-kaedah fiqhiyyah dan peruntukan undang-undang berikut:

a. Kaedah ini سَدُّ الذَّرِيعَةِ merujuk kepada perlunya menutup pintu-pintu yang boleh membawa kemudharatan. Sekiranya orang bukan Islam dibenarkan untuk dilantik sebagai peguam syarie, ia memberi ruang kepada orang bukan Islam untuk menguruskan hal ehwal orang Islam terutama sekali isu-isu syarak. Keadaan ini boleh menimbulkan kecelaruan di kalangan umat Islam.

b. إِذَا تَعَارَضَ الْمَانِعُ وَالْمُقْتَضَى قُدِّمَ الْمَانِعُ : Apabila bertentangan antara dalil-dalil yang menegah dengan dalil-dalil yang menghendaki, hendaklah diutamakan perkara yang menegah. Larangan melantik orang bukan Islam sebagai peguam syarie perlu diutamakan, walaupun kemungkinan ia mempunyai kebaikan dari suatu segi, tetapi keburukannya perlu diambil kira dan diberi perhatian.

c. المَصْلَحَةُ الْعَامَّةُ تُقَدِّمُ عَلَى الْمَصْلَحَةِ الْخَاصَةِ: Kaedah ini bermaksud maslahah (kebaikan) am perlu didahulukan daripada maslahah khas. Maslahah am atau umum merujuk kepada maslahah umat Islam di Malaysia secara keseluruhannya. Manakala maslahah khas merujuk kepada kebaikan yang mungkin diperolehi oleh orang tertentu. Dalam situasi hari ini, maslahah orang awam (umat Islam) perlu diutamakan.

d. تَصَرَّفُ الإمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوْطٌ بِالْمَصْلَحَة: Kaedah ini bermaksud tindakan yang dijalankan oleh pemerintah terhadap rakyat bergantung kepada maslahah. Dalam konteks ini, pemerintah berhak membuat keputusan berpandukan kepada kemaslahatan rakyat dengan berlandaskan kepada syariat Islam.

e. Berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedang berkuatkuasa, sekiranya seorang bukan Islam dibenarkan untuk beramal sebagai peguam Syarie dan didapati tidak mematuhi etika sebagai Peguam Syarie atau apa-apa prosedur yang berkaitan dengan Mahkamah Syariah, tiada tindakan yang boleh diambil kerana beliau tidak tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah. Oleh yang demikian, tiada tindakan yang boleh diambil ke atas beliau kerana Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa ke atas orang bukan Islam.

You are here: Laman Utama Perkhidmatan Bahagian Fatwa Keputusan Fatwa 2011 Hukum Melantik Orang Bukan Islam Sebagai Peguam Syari'e

DASAR KESELAMATAN | DASAR PRIVASI | PENAFIAN FAQ

 Laman Web Rasmi ini sesuai dilayari oleh pada pelayar web Internet Explorer 8.0 dan Mozilla Firefox 3.0 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1366 x 768 dan ke atas.

Diselenggara olehWebmaster Jabatan Mufti Negeri Pahang

 Tarikh Akhir Kemaskini : 14 MAC 2017