Garis Panduan Majlis Akad Nikah Di Masjid

Oleh : Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Negeri Pahang Kali Ke-1/2012, pada14-15 Mac 2012

Keputusan : Mesyuarat bersetuju menerima dan memperakukan garis panduan upacara akad nikah di masjid dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

 

GARIS PANDUAN MAJLIS AKAD NIKAH DIMASJID

KANDUNGAN GARIS PANDUAN

Garis panduan ini memberi penjelasan mengenai adab-adab semasa melangsungkan upacara akad nikah di masjid yang mengandungi perkara-perkara seperti yang berikut :

  • Tafsiran
  • Adab-adab ketika berada di Masjid
  • Kesimpulan

 

TAFSIRAN

Tafsiran bagi beberapa istilah yang berkaitan dengan garis panduan ini ialah seperti berikut :

  • Fadilat

Kelebihan, darjat  yang tinggi

  • Iktikaf

Tinggal di masjid dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT

  • Khusyuk

Tunduk,taat, merendah diri

  • Masjid

Banggunan khas tempat umat Islam melakukan solat Jumaat dan ibadah-ibadah lain

  • Nikah

Akad yang menghalalkan perhubungan antara suami isteri

  • Tabarruj

Wanita yang sengaja menzahirkan perhiasannya untuk menarik perhatian lelaki

 

ADAB-ADAB KETIKA BERADA DI DALAM MASJID

  • Adab-adab semasa hadir ke majlis akad nikah yang dilangsungkan di masjid perlu sentiasa diambil perhatian oleh pasangan pengantin dan ahli rombongan yang hadir. Ia merangkumi beberapa aspek seperti berikut :
  1. melakukan ibadat-ibadat sunat ketika berada di dalam masjid;
  2. adab berpakaian;
  3. adab  berhias dan berdandan;
  4. menjaga tatatertib dan kesantunan semasa berada di dalam masjid
  • Melakukan Ibadat-Ibadat Sunat Ketika Berada Di Dalam Masjid
  • Memandangkan masjid merupakan rumah Allah SWT, sewajarnya setiap umat Islam yang mengunjungi masjid berusaha untuk mendapat ganjaran pahaladan fadilat semasa berada di dalamnya. Jesteru, bakal pengantin beserta ahli rombongan yang hadir, disunatkan untuk melakukan perkara-perkara berikut apabila memasuki masjid:
  1. berwuduk;
  2. berniat iktikaf dengan lafaz “ sahaja aku mengerjakan sunat iktikaf di masjid ini kerana Allah Taala”;
  3. sebelum wuduk, disunatkan menunaikan sembahyang sunat tahiyyatul masjid sebanyak dua rakaat dengan lafaz niat “ sahaja aku sembahyang sunat tahiyyatul masjid, dua rakaat kerana Allah Taala”;
  4. berzikir secara senyap tanpa mengganggu orang lain, sementara menuggu upacara akad nikah bermula.

 

Adab Berpakaian

Setiap pengunjung yang berkunjung ke masjid mestilah menjaga adab berpakaian semasa berada di dalamnya.

  • Bagi lelaki, adab berpakaian semasa menghadiri upacara akad nikah di masjid adalah seperti yang berikut:
  1. Memakai pakaian yang suci dan bersih;
  2. Menutup aurat. 
  3. Tidak memakai pakaian yang diperbuat daripada sutera tulen.
  • Adab berpakaian bagi wanita semasa menghadiri upacara akad nikah di masjid adalah seperti yang berikut:
  1. Memakai pakaian yang suci dan bersih;
  2. Menutup aurat;
  3. Memakai pakaian yang longgar (tidak ketat), tidak jarang atau nipis sehingga boleh menampakkan kulit dan bentuk susuk badan;

 

Adab Berhias dan Berdandan

1.         Sebagai agama yang mudah dan mengamalkan kesederhanaan, Islam tidak menolak secara mutlak konsep berhias (tabarruj) dalam kalangan wanita Islam. Namun begitu, cara berhias dan berdandan seseorang wanita itu mestilah selaras dengan tuntutan Islam iaitu berhias dengan cara yang sederhana. Bersederhana di sini boleh dimaksudkan dengan:

  1. Tidak berlebih-lebihan atau keterlaluan dalam bersolek dan berhias sehingga boleh manarik perhatian orang yang memandang atau membawa kepada fitnah;
  2. Hanya mengenakan solekan yang ringkas bagi menaikkan seri wajah pengantin;
  3. Niat asal bersolek itu bukanlah dibuat dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk atau menarik perhatian orang yang memandang;
  4. Memakai perhiasan dan barang kemas seperti cincin , gelang dan rantai tidak secara melampaui batas sehingga boleh membawa kepada sikap sombong dan bermegah-megah untuk mempamerkan kekayaan;
  5. Diharuskan bagi pengantin perempuan dan ahli rombongan wanita memakai bau-bauan bagi tujuan menghilangkan bau badan tetapi pemakaiannya tidak boleh secara berlebihan sehingga dapat dihidu oleh orang lain atau sehingga menimbulkan fitnah.

2.       Bagi pengantin lelaki dan ahli rombongan lelaki yang mengiringi pengantin, mereka dilarang daripada memakai perhiasan seperti yang berikut:

  1. Rantai, gelang, subang dan perhiasan-perhiasan yang menyerupai wanita;
  2. Perhiasan yang diperbuat daripada emas, emas putih dan suasa.

3.       Namun begitu, diharuskan bagi lelaki memakai perhiasan berikut:

  1. Cincin yang diperbuat daripada perak dan platinum;
  2. Memakai minyak wangi bahkan, kaum lelaki digalakkan memakai bau-bauan yang harum semasa berkunjung ke masjid.

4.       Harus bagi pengantin perempuan berinai dengan syarat-syarat seperti yang berikut:

  1. Harus memakai inai pada kedua tangan dan kaki selagi tidak menimbulkan fitnah;
  2. Kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja;
  3. Warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan tidak mengandungi sebarang unsur yang meragukan;
  4. Corak atau ukiran yang dibenarkan ialah corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan;
  5. Corak atau ukiran haiwan, lambang dewa-dewa, ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.

5.       Bagi pengantin lelaki pula, harus memakai inai pada sebilangan jari tangan dan kaki.

 

Menjaga Tatatertib dan Kesantunan Semasa Berada di Dalam Masjid

 

1.       Selain daripada adab berpakaian dan berhias, pengantin dan ahli rombongan yang hadir juga hendaklah menjaga tatatertib dan kesantunan dalam beberapa aspek berkaitan semasa berada di dalam masjid.

2.       Antara perkara-perkara tersebut ialah larangan memasuki masjid bagi:

          Lelaki dan wanita yang berhadas besar, termasuk bagi wanita yang sedang dalam haid;

          Kanak-kanak yang dibimbangi najis mereka boleh menitis ke lantai. Bahkan kanak-kanak yang turut dibawa   bersama-sama kemasjid hendaklah dipastikan bersih daripada segala kekotoran dan najis serta bau-bauan yang tidak menyenangkan.

 3.      Perkara-perkara yang berikut juga hendaklah dihindari semasa berada di dalam masjid:

  1. Bercakap tentang hal-hal keduniaan, bercerita hal-hal orang lain dan pada perkara yang sia-sia;
  2. Kanak-kanak yang membuat bising, bermain-main, berlari-lari atau menangis di dalam masjid. Sekiranya tingkah-laku kanak-kanak tersebut sukar lagi dikawal, mereka hendaklah dibawa keluar daripada masjid;
  3. Membawa barang-barang hantaran perkahwinan ke dalam masjid. Memadai dengan hanya membawa mas kahwin semasa upacara akad nikah tersebut dilangsungkan;
  4. Sesi bergambar dan rakaman video upacara akad nikah yang melampaui batas sehingga masjid seolah-olah seperti studio rakaman dengan limpahan cahaya kamera.

 4.      Berkomunikasi semasa berada di dalam masjid adalah diharuskan dengan adab-adab berikut:

  1. Bercakap hanya pada perkara-perkara yang penting, perlu dan bermanfaat   sahaja;
  2. Bercakap dengan suara yang perlahan supaya tidak mengganggu jemaah lain yang sedang beribadat.

5.       Sekiranya terdapat ahli rombongan pengantin yang bukan beragama Islam turut hadir dalam majlis akad nikah tersebut, diharuskan bagi mereka memasuki masjid dengan syarat-syarat seperti yang berikut:

  1. Mendapat keizinan daripada pihak pengurusan masjid;
  2. Memakai pakaian yang sopan dan bersesuaian;
  3. Perlakuan dan tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid, sentiasa terkawal dan beradab;
  4. Tidak berdoa atau bertafakur mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah.

6.       Selain itu, antara perkara-perkara lain yang perlu diberi perhatian oleh pengantin dan ahli rombongan yang hadir ke upacara akad nikah di masjid ialah:

  1. Tempat duduk antara lelaki dan perempuan mestilah secara berasingan atau duduk secara bersebelahan antara satu sama lain;
  2. Diharuskan makan dan minum di tempat yang telah disediakan khusus oleh pihak pengurusan masjid dengan memastikan kebersihan masjid sentiasa terjaga daripada sebarang bentuk kekotoran.

 

KESIMPULAN

Masjid merupakan rumah Allah SWT yang menjadi tumpuan umat Islam untuk melaksanakan ibadat dan bermunajat ke hadrat Allah SWT. Selain daripada tempat ibadat khusus, masjid turut diimarahkan dengan pelbagai program dan aktiviti bermanfaat bagi mendekatkan masyarakat dengan masjid dan menjadikan masjid sebagai tempat mesra jemaah. Begitu juga dengan fungsi masjid sebagai tempat untuk melangsungkan upacara akad nikah yang telah menjadi suatu kebiasaan dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia. Justeru, dengan fungsi dan kemudahan masjid yang pelbagai, sewajarnya masyarakat Islam memanfaatkan masjid dengan sebaik mungkin agar kebersihan dan kesucian masjid serta adab-adab semasa berada di dalamnya sentiasa terpelihara. Dalam masa yang sama segala aktiviti, perbuatan atau tindakan yang boleh mencemarkan kesucian masjid, menimbulkan kemudaratan atau mengganggu ketenagan para jemaah yang hadir hendaklah dielakkan. Ini penting supaya suasana yang harmoni, tenang dan selesa dapat dikekalkan di masjid dan setiap pengunjungnya dapat melaksanakan ibadat dan mendampingkan diri terhadap Allah SWT dengan penuh khusyuk.

 

You are here: Laman Utama Perkhidmatan Bahagian Fatwa Keputusan Fatwa 2012 Garis Panduan Majlis Akad Nikah Di Masjid

DASAR KESELAMATAN | DASAR PRIVASI | PENAFIAN FAQ

 Laman Web Rasmi ini sesuai dilayari oleh pada pelayar web Internet Explorer 8.0 dan Mozilla Firefox 3.0 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1366 x 768 dan ke atas.

Diselenggara olehWebmaster Jabatan Mufti Negeri Pahang

 Tarikh Akhir Kemaskini : 14 MAC 2017