Pendermaan Jasad Untuk Si Mati Untuk Tujuan Penyelidikan

Oleh : Mesyuarat Khas Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang pada 27 Mei 2014

Keputusan : Mesyuarat bersetuju memutuskan bahawa pendermaan jasad atau mayat orang Islam untuk tujuan penyelidikan adalah haram dan tidak dibenarkan berdasarkan hujah berikut :

1. Prinsip kemuliaan mayat dan kewajipan menghormatinya perlu diikuti sebagaimana kaedah :

Asal kepada perkara yang melibatkan maruah dan kehormatan adalah diharamkan

Kaedah ini bersandarkan kepada sebuah hadis Nabi SAW :

Darah-darah kamu, harta-harta kamu, dan kehormatan kamu di antara sesama kamu haram seperti mana haramnya hari kamu ini, bulan kamu ini, di negeri kamu ini. ( Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim ) 

 

2. Kehormatan mayat merupakan suatu tuntutan dan pendermaanya adalah menceroboh prinsip penghormatan tersebut

 

3. Keperluan penggunaan jasad atau mayat orang Islam untuk tujuan penyelidikan belum berada pada tahap mendesak atau dharurah kerana keperluan tersebut masih boleh dipenuhi dengan kaedah-kaedah alternatif yang ada.

 

Keterangan/ Hujah

Mesyuarat menegaskan bahawa hukum asal pendermaan jasad atau mayat manusia adalah haram kerana Islam amat menitikberatkan penghormatan ke atas jasad manusia sama ada sewaktu mereka masih hidup atauspun  selepas mati. Terdapat banyak nas-nas syarak berhubung dengannya, antaranya suruhan tajhiz al-mayyit seperti mandi, kafan, solat dan pengkebumian, larangan mencincang jasad mayat dan sebagainya.

Mesyuarat berpandangan bahawa dalam konteks Malaysia, penderamaan jasad atau mayat orang Islam dan keperluan penggunaan jasad si mati untuk tujuan penyelidikan masih belum berada pada tahap mendesak. Keperluan terhadap penggunaan mayat untuk tujuan penyelidikan masih boleh dipenuhi dengan kaedah-kaedah alternatif yang ada. Selagi mana kaedah alternatif boleh dikemukakan sebagai jalan keluar, maka ia menjadi pilihan yang mesti diambil tanpa perlu mengharuskan pendermaan jasad atau mayat orang Islam.  

You are here: Laman Utama Perkhidmatan Bahagian Fatwa Keputusan Fatwa 2014 Pendermaan Jasad Untuk Si Mati Untuk Tujuan Penyelidikan

DASAR KESELAMATAN | DASAR PRIVASI | PENAFIAN FAQ

 Laman Web Rasmi ini sesuai dilayari oleh pada pelayar web Internet Explorer 8.0 dan Mozilla Firefox 3.0 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1366 x 768 dan ke atas.

Diselenggara olehWebmaster Jabatan Mufti Negeri Pahang

 Tarikh Akhir Kemaskini : 14 MAC 2017