6.1.2017 Peranan Ibu Bapa Dalam Pendidikan Tauhid

Sudah cukup lama sebahagian kehidupan kita di dunia ini dipengaruhi oleh tamadun Barat yang bersifat kebendaan semata-mata. Ia sangatlah berbeza berbanding tamadun Islam yang lebih berpaksi kepada kerohanian yang tidak mengabaikan kebendaan dan kehidupan dunia. Tamadun kerohanian Islam adalah tamadun yang meletakkan tauhid kepada Allah Yang Maha Esa sebagai keutamaan yang mengatasi segala-galanya.

Selama tiga belas tahun Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berada di Mekah, Baginda membina kerohanian dengan mengutamakan akidah. Berkat daripada ilmu inilah yang telah melahirkan generasi berjiwa tauhid yang amat hebat dalam kalangan para Sahabat Radiallahu anhum selama 300 tahun dan seterusnya. Ilmu tauhid didahulukan oleh Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam kerana ilmu inilah yang akan menjamin seseorang itu beriman, berakhlak, dan seterusnya menjadi syarat sah seluruh ibadah dan amal soleh di sisi Allah Subhanahu wa Taala.

Ilmu tauhid sesungguhnya terdapat dalam kalimah lailaahaillallaahu. Memahami, mengkaji dan mentafsir kalimah ini merupakan tugas yang paling utama dalam kehidupan beragama. Inilah ilmu termulia dan tertinggi yang  menjadi sumber seluruh ilmu yang terdapat pada kalimah tauhid lailaahaillallaah. Inilah ilmu yang wajib diketahui supaya kita beriktikad dengan sebenarnya terhadap Allah Subhanahu wa Taala Yang Maha Esa. Firman Allah Subhanahu wa Taala dalam Surah al-Ikhlas ayat 1hingga 4:

Yang bermaksud: Katakanlah (Wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; "Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;"Ia tiada beranak, dan ia pula tidak diperanakkan;"Dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan Nya".

Ayat yang dibacakan tadi amat jelas menerangkan tauhid sebenar iaitu untuk mengenal Allah)ma’rifatullah)

Ayat inilah antara asas ulama menyusun ilmu tauhid bagi memudahkan manusia mengenal sifat-sifat Allah Subhanahu wa Taala. Imam Abu Hasan Al-Asy’ari dan Imam Abu Mansur Al-Maturidi adalah merupakan ulama salaf yang mempertahankan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ilmu tauhid sifat 20 inilah yang menjadi benteng menyelamatkan umat Islam daripada kecelaruan pemikiran yang batil.

Ilmu tauhid tiga serangkai iaitu tauhid Rububiyyah, Uluhiyyah dan Asma wa Sifat-Nya adalah bukan daripada manhaj salaf Asyairah dan Maturidiah kerana ia adalah ilmu tauhid yang baru diperkenalkan pada kurun yang ketujuh hijrah. Hendaklah kita mendalami pengajian ilmu tauhid Sifat 20 ini dan kita mengharapkan seluruh masjid dan surau di Negeri Pahang kembali menganjurkan kuliah-kuliah tauhid yang berasaskan kepada ilmu ini.  Firman Allah Subhanahu wa Taala dalam surah Luqman ayat 13:

Yang bermaksud: Dan ketika Luqman berkata kepada anaknya, Wahai anak kesayanganku, janganlah Engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar." 

Apabila kita menafikan kebenaran mempelajari tauhid sifat 20 yang diasaskan oleh al-Asyairah dan al-Maturidiah  boleh membawa kepada syirik,  maka rosaklah akidah. Maka sesiapa yang rosak akidahnya boleh  melahirkan sifat-sifat keji, kefasikan, kezaliman, kemunafikan dan membawa kepada kekufuran. Kita hendaklah memahami akidah yang sebenar supaya segala ibadah yang kita laksanakan diterima oleh Allah Subhanahu wa Taala. Firman Allah Subhanahu wa Taala dalam surah Ali-Imran 139:

Yang bermaksud: “Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang- yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang yang beriman.” 

Inilah peranan yang wajib dilakukan oleh kita semua khusunya ibubapa dalam mendidik anak-anak. Keteguhan pegangan tauhid di kalangan anak-anak, in sya Allah akan menyuburkan iman dan ihsan serta akan menyelamatkan akidah anak-anak daripada ancaman Kristianisasi, Islam Plural, Islam Liberal, Wahabi, Syiah, ajaran sesat dan sebagainya. Inilah asas awal untuk mendidik anak-anak supaya mereka selamat di dunia dan akhirat. Maka oleh kerana itu, kaum bapa sangatlah wajib mendidik isteri dan anak-anak dalam ilmu tauhid kerana kelekaan dalam pendidikan tauhid, akan menjerumuskan kesemua ahli-ahli keluarga ke dalam lembah neraka, dan ini sudah tentu akan menyebabkan kita semua sebagai kaum bapa akan juga terseret sama. Firman Allah Subhanahu wa Taala dalam Surah al-Tahrim ayat 6:

Yang bermaksud: Wahai orang yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.   

 

You are here: Laman Utama Perkhidmatan Bahagian Rujukan Fatwa Mimbar 2017 6.1.2017 Peranan Ibu Bapa Dalam Pendidikan Tauhid

DASAR KESELAMATAN | DASAR PRIVASI | PENAFIAN FAQ

 Laman Web Rasmi ini sesuai dilayari oleh pada pelayar web Internet Explorer 8.0 dan Mozilla Firefox 3.0 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1366 x 768 dan ke atas.

Diselenggara olehWebmaster Jabatan Mufti Negeri Pahang

 Tarikh Akhir Kemaskini : 10 OGOS 2017