13.1.2017 Bahaya Penyalahgunaan Dadah

Allah Subhanahu wa Taala melantik manusia sebagai khalifah di muka bumi ini, mereka dikurniakan akal dan fikiran. Atas dasar inilah, antara maqasid, atau maksudnya tujuan pensyariatan Islam ialah untuk memelihara akal daripada kerosakan. Di dalam Islam, semua perkara yang boleh membawa mudarat kepada akal adalah diharamkan. Sebahagian pengharaman disebut dengan jelas di dalam nas, seperti pengharaman arak. Walaupun tidak dinafikan arak mempunyai manfaat yang tertentu, tetapi mudaratnya kepada akal dan kemanusiaan, adalah lebih besar. Begitu juga, apa-apa perkara yang boleh merosakkan akal dan hukumnya tetap diharamkan seperti penyalahgunaan dadah. Ulama telah bersepakat menyatakan bahawa hukum penyalahgunaan dadah adalah haram di sisi syarak. Ia berdasarkan kepada ayat 195 daripada Surah al-Baqarah:

Yang bermaksud: Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan; dan baikilah perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya.

          Sejak tahun 1983, dadah telah diisytiharkan sebagai musuh nombor satu negara. Istilah dadah mempunyai sejarah perkembangannya yang tersendiri.

          Penyalahgunaan dadah pula bermaksud menggunakan dadah berbahaya termasuk memakan, mengunyah, menghisap, menelan, meminum, menyedut atau memasukkan bahan-bahan itu ke dalam badan dengan apa jua cara atau dengan menggunakan apa jua alat. Di negara kita, bahan ini telah mula dibawa masuk semasa zaman penjajahan British, apabila mereka membawa masuk pekerja-pekerja dari Cina dan India, bersama-sama dengan candu yang telah menjadi ketagihan sesama mereka, lalu mempengaruhi anak-anak muda tempatan pada zaman tersebut.

Berdasarkan kepada statistik Agensi Antidadah Kebangsaan pada tahun 2015, 63% daripada penagih dadah yang baru, mula mengambil dadah kerana pengaruh kawan. Faktor-faktor lain pula ialah seperti perasaan ingin tahu, keseronokan dan tekanan jiwa. Laporan yang dikeluarkan juga membongkar bagaimana ada penagih dadah mula terjebak seawal usia sekolah rendah lagi. Sementara jumlah penagih dadah dalam kalangan remaja serta pemuda di bawah 40 tahun juga amat membimbangkan, serta menyaksikan peningkatan dari tahun ke tahun.

Sesungguhnya, tanggungjawab untuk membendung najis dadah ini, bukanlah semata-mata dipikul oleh agensi kerajaan seperti Agensi Antidadah Kebangsaan atau pun badan bukan kerajaan dan pertubuhan dakwah yang tertentu sahaja. Tetapi tanggungjawab ini adalah tanggungjawab bersama. Ia bermula di rumah. Seharusnya, ibu bapa perlu mencurahkan kasih dan sayang tanpa sempadan kepada anak-anak sejak kecil hingga mereka masuk ke usia remaja. Anak-anak yang dibiarkan tanpa rasa cinta, akan mencari kebebasan hidup dengan rakan-rakan sebaya. Kalau persekitaran rakan sebaya tidak sihat, ia boleh menjerumuskan mereka kepada pelbagai unsur negatif, bermula dengan rokok, pergaulan bebas, kemudian diikuti dengan dadah. Bagi mengatasi gejala ini, antara cara yang amat sesuai membendung dengan mengajak anak-anak supaya hadir ke masjid bagi solat berjemaah, pantaulah dengan siapa mereka berkawan, dan libatkan diri mereka dengan aktiviti yang sihat di luar rumah supaya mereka terselamat daripada penyalahgunaan dadah.

Selain itu, semua ahli karyah, penduduk kampung dan taman perumahan juga perlu bersikap proaktif membendung aktiviti yang tidak sihat ini. Sekiranya ternampak mana-mana anak ahli karyah yang disyaki terlibat dalam perkumpulan yang tidak sihat dan meragukan, jangan biarkan ia berlaku begitu sahaja. Sebaliknya, tegurlah mereka dengan penuh hikmah dan sopan. Sekiranya tidak mampu, beritahu kepada ibu bapa, atau mungkin kepada imam dan pemimpin masyarakat setempat, dengan harapan ada tindakan susulan yang bakal diambil. Sekiranya disyaki terdapat aktiviti pengedaran dadah di kejiranan anda, laporkan segera kepada pihak berkuasa. Membiarkan anak-anak ahli karyah terlibat dengan budaya negatif, bermaksud merelakan anak-anak sendiri terdedah kepada budaya tersebut. Hayatilah pesanan nabi Muhammad Sallahu alaihi wasallam dalam hadith Sahih Muslim:

Yang bermaksud: Barangsiapa antara kamu melihat kemungkaran, maka ubahlah ia dengan tangan (kuasanya). Sekiranya tidak mampu, ubahlah dengan dengan lisan (memberi nasihat). Sekiranya tidak mampu, ubahlah dengan hati (membenci kemungkaran tersebut). Dan demikian itu adalah selemah-lemah iman.

Firman Allah subhanahu wa ta’ala dalam Surah al-Tahrim ayat ke-6:

Yang bermaksud: Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.

 

You are here: Laman Utama Perkhidmatan Bahagian Rujukan Fatwa Mimbar 2017 13.1.2017 Bahaya Penyalahgunaan Dadah

DASAR KESELAMATAN | DASAR PRIVASI | PENAFIAN FAQ

 Laman Web Rasmi ini sesuai dilayari oleh pada pelayar web Internet Explorer 8.0 dan Mozilla Firefox 3.0 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1366 x 768 dan ke atas.

Diselenggara olehWebmaster Jabatan Mufti Negeri Pahang

 Tarikh Akhir Kemaskini : 10 OGOS 2017