20.1.2017 Membentuk Masyarakat Yang Cintakan Ilmu

Islam mewajibkan kita menuntut ilmu sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah:

Yang bermaksud: Menuntut ilmu itu wajib ke atas setiap muslim

Berdasarkan hakikat ini, kita semua seharusnya merasa kerdil. Mungkin banyak ilmu di dunia ini sudah kita kuasai, tetapi sebenarnya lebih banyak perkara yang masih tidak kita ketahui. Sebab itu ulama menganjurkan kita supaya menuntut ilmu daripada buaian sehinggalah ke liang lahad. Meskipun umur kita mungkin sudah tua, itu bukanlah penghalang untuk kita terus belajar dan belajar.

Ketua dalam sesebuah keluarga perlu memainkan peranan untuk memupuk sifat ‘cinta ilmu’ dalam kalangan semua ahli keluarganya. Sebagai contoh, disyorkan agar setiap rumah mempunyai perpustakaan mini atau setidak-tidaknya rak yang menempatkan buku-buku ilmiah untuk bacaan setiap ahli keluarga. Pupuklah minat dalam diri dan ahli keluarga untuk membaca, menonton rancangan-rancangan ilmiah di televisyen serta rajin-rajinlah menghadiri ceramah sama ada berkaitan ilmu agama atau ilmu akademik yang lain.

Anak-anak remaja baik lelaki mahupun perempuan perlu melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu asas Islam dengan secukupnya. Antaranya adalah ilmu al-Quran, fiqh, aqidah, sirah nabawiyyah dan akhlak.

Pada masa kini terdapat banyak ruang dan peluang untuk belajar bermacam-macam cabang ilmu yang disediakan kepada pelbagai lapisan masyarakat. Dalam bidang agama, kita boleh belajar di pelbagai institusi bermula pada peringkat KAFA, J-QAF, institusi-institusi pengajian tinggi, institusi pondok, kelas agama untuk orang dewasa, program ‘Tafaqquh Fiddin’ hinggalah pengajian percuma dalam bentuk kuliah subuh atau kuliah maghrib di masjid-masjid dan surau-surau berdekatan kita. Banyak kemudahan telah tersedia. Namun segalanya terletak kepada diri kita untuk bertindak. Alangkah baiknya kita semua sanggup berkorban masa dengan menunggu seketika untuk mendengar kuliah ilmu yang disampaikan di masjid atau surau. Janganlah kita mengundurkan diri apabila majlis ilmu bermula. Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi:

Yang bermaksud: Jadikanlah dirimu orang alim atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pelajaran agama, atau pun orang yang mencintai ilmu dan janganlah engkau menjadi golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

 

Yang bermaksud: Sesiapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga.

 

Allah Subhanahu wa Taala berfirman dalam Surah al-Mujadalah ayat 11:

Yang bermaksud: Allah akan meninggikan orang yang beriman antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Sebagai mengakhiri khutbah, mimbar ingin mengajak sidang Jumaat sekalian untuk mengamalkan doa yang dipetik dari Surah Taha ayat 114:

Yang bermaksud: Wahai Tuhanku, tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan.

Mudah-mudahan kita termasuk dalam kalangan orang yang istiqamah mempelajari ilmu yang bermanfaat selagi hayat kita masih ada.

 

 

You are here: Laman Utama Perkhidmatan Bahagian Rujukan Fatwa Mimbar 2017 20.1.2017 Membentuk Masyarakat Yang Cintakan Ilmu

DASAR KESELAMATAN | DASAR PRIVASI | PENAFIAN FAQ

 Laman Web Rasmi ini sesuai dilayari oleh pada pelayar web Internet Explorer 8.0 dan Mozilla Firefox 3.0 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1366 x 768 dan ke atas.

Diselenggara olehWebmaster Jabatan Mufti Negeri Pahang

 Tarikh Akhir Kemaskini : 26 APRIL 2017