27.1.2017 Peranan Muslim Dalam Memilih Pemimpin

Umum mengetahui bahawa pilihanraya merupakan suatu proses pemilihan pemimpin yang akan membentuk pemerintahan sesebuah negara. Bagi negara yang mengamalkan sistem demokrasi seperti Malaysia, kepimpinan negara akan ditentukan melalui proses pilihanraya.  Setiap warganegara yang telah mendaftar sebagai pengundi mempunyai hak untuk memilih pemimpin yang disukainya dengan kuasa undi. 

Majoriti ulama berpendapat bahawa setiap Muslim perlu berperanan dalam proses pengundian. Ini kerana, mengundi dalam pilihanraya merupakan wasilah dalam memilih pemimpin dan hukum memilih pemimpin dalam sesebuah negara adalah wajib dan haram jika tidak menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud:

Yang bermaksud: Jika tiga (orang Islam) keluar bermusafir, maka lantiklah salah seorang sebagai ketua.

Para ulama juga berpendapat bahawa memilih pemimpin melalui sistem demokrasi dan pilihanraya adalah suatu urusan dunia yang dihukumkan harus. Ini berasaskan kaedah fekahالأصْلُ في الأَشْياءِ الإِباحَةُ yang bermaksud ‘asal kepada sesuatu adalah harus’. Pilihanraya mempunyai persamaan dengan konsep bai’ah. Sebahagian ulama berpendapat pilihanraya termasuk dalam konsep tolong menolong dalam perkara kebaikan dan kebajikan sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Taala dalam Surah al-Maidah ayat 2:

Yang bermaksud: Hendaklah kamu bantu-membantu dalam membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah pula kamu bantu-membantu pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan (melampaui batas-batas ajaran Allah).

 

Baru-baru ini dilaporkan bahawa kira-kira 1.8 juta orang Melayu di negara ini yang sudah cukup umur masih belum mendaftar sebagai pemilih. Sebahagian besarnya adalah golongan muda termasuk juga kakitangan awam. Ini merupakan suatu perkara yang amat menyedihkan dan menunjukkan betapa tidak caknanya sebahagian daripada kita kepada tanggungjawab memilih pemimpin.

 

Dalam sistem pilihanraya yang dilaksanakan di negara kita, setiap individu yang berdaftar sebagai pengundi berperanan menentukan pemimpin yang akan mewakili suara mereka bagi setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Sistem demokrasi juga memberi kebebasan untuk sesiapa jua bertanding dalam pilihanraya jika melepasi syarat-syarat yang ditentukan. Oleh yang demikian ada bermacam jenis individu dengan bermacam jenis ideologi serta bermacam jenis perwatakan peribadi akan tampil sebagai calon pemimpin. Di sinilah letaknya peranan pengundi untuk memilih calon terbaik bagi memimpin mereka baik pada peringkat DUN dan kawasan Parlimen.

Dalam menjalankan tanggungjawab kita sebagai pengundi, kita sepatutnya terlebih dahulu memahami ciri-ciri individu yang layak diangkat sebagai pemimpin. Al-Quran dan juga hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam banyak memberikan panduan tentang ciri pemimpin yang wajar dipilih. Antaranya ialah pemimpin itu hendaklah seorang yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, beriman, menjaga solatnya, sentiasa takut kepada Allah dalam segala tindak tanduknya, sentiasa berpegang kepada Quran dan Sunnah, tidak mengkhianati amanah, tidak menipu, tidak mementingkan diri, menegakkan amar makruf nahi munkar dan banyak lagi. Allah Subhanahu wa Taala berfirman dalam Surah al-Hajj ayat 41:

Yang bermaksud: Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. (Ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.

Semasa Nabi Daud Alaihissalam dilantik menjadi pemimpin, Allah Subhanahu wa Taala berfirman kepada Baginda:

Yang bermaksud: Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikan engkau sebagai khalifah di bumi, maka jalankanlah hukuman antara manusia dengan (hukuman) yang benar (mengikut apa yang diwahyukan kepadamu). Janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu daripada jalan Allah. Sesungguhnya orang yang sesat daripada jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hisab, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.

Janganlah kita mengangkat pemimpin daripada kalangan orang yang dikenali dengan kejahatannya, suka mengikut hawa nafsunya atau pernah terlibat dengan rasuah. Lantiklah pemimpin yang berakhlak mulia, benar-benar ikhlas untuk berkhidmat kepada rakyatnya, adil, sudi menerima teguran orang lain serta bukan dari jenis orang yang suka meminta-minta jawatan. 

Sebagai mengakhiri khutbah, mimbar ingin mengajak sidang Jumaat sekalian untuk menunaikan tanggungjawab untuk mendaftar sebagai pengundi jika berkelayakan. Apabila pilihanraya diadakan nanti, tunaikanlah tanggungjawab sebagai pengundi. Sikap ambil mudah atau mengabaikan tanggungjawab mengundi boleh membawa kepada kesan yang buruk. Apakah kita mahu dipimpin oleh orang yang tidak amanah, tidak pandai mentadbir, lebih-lebih lagi memilih orang kafir yang jelas menentang hukum Allah? Pilihlah pemimpin beragama Islam yang diyakini mampu menunaikan amanah Allah, melaksanakan tuntutan syariat dan membela kesejahteraan rakyat yang dipimpin.

 

You are here: Laman Utama Perkhidmatan Bahagian Rujukan Fatwa Mimbar 2017 27.1.2017 Peranan Muslim Dalam Memilih Pemimpin

DASAR KESELAMATAN | DASAR PRIVASI | PENAFIAN FAQ

 Laman Web Rasmi ini sesuai dilayari oleh pada pelayar web Internet Explorer 8.0 dan Mozilla Firefox 3.0 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1366 x 768 dan ke atas.

Diselenggara olehWebmaster Jabatan Mufti Negeri Pahang

 Tarikh Akhir Kemaskini : 10 OGOS 2017