LATAR BELAKANG
Dalam konsep pentadbiran Islam, Mufti merupakan satu jawatan yang tertinggi dan
dihormati di Malaysia. Di Pahang jawatan Mufti diwujudkan secara rasmi bermula di
zaman pemerintahan Bendahara Wan Ali (1806-1857), di mana Mufti diberikan tanggungjawab
menasihati Sultan dan mengajar Kerabat-kerabat Diraja. Menurut catatan sejarah, Mufti Pahang
semasa itu ialah Tuan Haji Abdul Shukur dan selepas itu, Tuan Haji Habib Muhammad Amin pula dilantik
sebagai Mufti, namun begitu kedua-dua tokoh tersebut tidak dapat disahkan sebagai Mufti berdasarkan
kepada catatan rekod perkhidmatan pegawai-pegawai kerajaan Pahang. Berdasarkan catatan rekod, Mufti Pahang yang
pertama ialah Haji Uthman bin Senik (1905-1918) yang lebih dikenali sebagai Haji Montok.
Dalam struktur organisasi Majlis dan Jabatan Agama Islam Pahang (sebelum Perlaksanaan penyusunan
semula struktur organisasi, Mufti diletakkan dibawah Jabatan Agama Islam Pahang). Hanya satu
jawatan sahaja diwujudkan iaitu jawatan Mufti, tiada Timbalan dan kakitangan pembantu. Mufti adalah
anggota tetap Majlis Ugama Islam Pahang.
Unit Pemodenan Pentadbiran dan Perancangan Tenaga Manusia, Jabatan Perdana Menteri (MAMPU) dalam
laporan kajian penyusunan semula Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri sebagaimana yang telah
diluluskan telah memperakukan supaya Jabatan Mufti diasingkan terus daripada Majlis/Jabatan Agama Islam
Pahang mulai 1 Januari 1997.