TAJUK :

Hukum Menggunakan Rawatan Terapi Larva

 

OLEH :

Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Negeri Pahang Kali Ke-1/2012, pada14-15 Mac 2012

 

KEPUTUSAN :

Mesyuarat menegaskan bahawa Islam tidak pernah melarang bahkan menggalakkan umat Islam mencari penawar kepada penyakit yang dialami sepertimana sabda Rasulullah SAW ketika ditanya oleh para sahabat:

Maksudnya: Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah berdosa jika kami tidak merawat (penyakit kami)?” Rasulullah bersabda, “Dapatkanlah rawatan wahai hamba-hamba Allah! Sesungguhnya Allah Yang Maha Suci tidak menjadikan sesuatu penyakit melainkan dijadikan bersama-samanya penawar, melainkan penyakit tua”. (Riwayat Ibn Majah)

Penegasan ini juga adalah selaras dengan kaedah fiqhiyyah yang menyebutkan bahawa : “Kemudaratan perlu dihilangkan” (الضرر يزال).

Mesyuarat berpandangan bahawa asal sesuatu haiwan itu adalah suci melainkan babi dan anjing yang jelas hukumnya najis. Pandangan ini adalah selaras dengan kaedah fiqhiyyah yang menetapkan bahawa:


الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإِبَاحَةِ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيْلُ عَلَى التَّحْرِيْمِ


Maksudnya: “Hukum asal dalam semua perkara (kecuali ibadat dan hubungan lelaki dan perempuan) adalah harus dilakukan kecuali terdapat dalil yang menyatakannya sebagai haram.”

Mesyuarat juga berpandangan bahawa hukum bagi bangkai haiwan yang tidak mempunyai darah adalah suci. Ini bermakna, sekiranya larva yang digunakan semasa proses rawatan tersebut mati, maka hukumnya adalah suci kerana komponen tubuh larva itu sendiri tidak mengandungi darah. Justeru, ia tidak menjejaskan kesucian ibadah seseorang pesakit yang menjalani Rawatan Terapi Larva tersebut.

Sehubungan itu, selaras dengan ketetapan-ketetapan tersebut Mesyuarat bersetuju memutuskan bahawa hukum menggunakan Rawatan Terapi Larva (Maggot Debridement Therapy) bagi pesakit luka kronik adalah harus dan ibadah yang dilakukan oleh pesakit terutamanya solat ketika menjalani rawatan terapi ini adalah sah.

Mesyuarat juga memutuskan bahawa pesakit luka kronik yang menjalani rawatan ini dibolehkan bertayammum untuk mengangkat hadas besar atau hadas kecil bagi mengelakkan mudarat apabila terkena air pada anggota yang sakit.

 

 

 

Print