Accessibility Tools

  • Content scaling 100%
  • Font size 100%
  • Line height 100%
  • Letter spacing 100%
  • الخميس، 31 تموز/يوليو 2025 | 6 Safar 1447

Panduan & Rujukan

S-LINE Trend di Media Sosial Dari Neraca Syarak
24 تموز/يوليو 2025

S-LINE Trend di Media Sosial Dari Neraca Syarak


1. S-Line Trend ditakrifkan sebagai: "The S-Line trend involves users posting photos with red lines drawn from their heads to others, representing real or imagined sexual relationships."
.
2. Yang bermaksud: melibatkan pengguna media sosial menyebarkan gambar foto mereka yang mempunyai garisan merah memanjang di atas kepala mereka, membawa maksud kekerapan telah melakukan hubungan seksual sama ada secara realiti mahupun sebatas imaginasi sahaja. Pengamalan ini diinspirasikan daripada K-Drama berjudul S-Line.
.
"S Line" is a Korean drama about a supernatural phenomenon where red lines appear above people who have had physical relationships, revealing their past encounters. The series, which explores themes of privacy, shame, and surveillance, features Lee Soo-hyuk, Arin, and Lee Da-hee."
.
3. S-Line (2025) merupakan drama Korea berkenaan fenomena luar kebiasaan apabila garisan merah muncul di atas kepala orang yang pernah melaksanakan hubungan fizikal, serta mendedahkan kisah silam setiap seorang. Siri ini bertemakan konsep privasi, memalukan dan siasatan yang mendalam. Drama ini dibintangi oleh artis Korea Selatan.
.
4. S-Line ini telah menjadi tren yang menular dalam kalangan rakyat Malaysia yang menjadi pengguna TikTok, terutamanya generasi muda-mudi dengan sebab dan tujuan yang pelbagai. Ada yang menggunakan untuk sekadar berhibur, bergurau dan membuat lawak. Ada yang menafsirkan garisan merah tersebut adalah bermaksud bilangan stres atau keserabutan. Ada yang menyatakan dengan jelas, ia bermaksud hubungan seksual namun bukan bilangan kekerapan sebenar; hanya sekadar jenaka atau fantasi. Perkara ini mendorong pembahasan beberapa hukum-hakam seperti berikut yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Pahang.
.
BERKAITAN AKIDAH DAN NIAT
.
5. Adakah trend ini termasuk dalam perbuatan riya’ (menunjuk-nunjuk)?
.
Makna al-Riya’ dalam Bahasa Arab ialah apabila seseorang individu melakukan sesuatu amalan untuk menunjuk-nunjuk kepada manusia, supaya manusia memuji dirinya.
.
Imam Ibn Faris menyatakan takrifan Riyak dari sudut bahasa:
.
(ورياء النّاس) ، وهو أن يفعل شيئا ليراه النّاس
.
“(Amalan riya’ untuk manusia) iaitu seseorang melakukan sesuatu perkara supaya dilihat oleh orang ramai.” [1]
.
Oleh yang demikian, amalan ini tidak dinamakan riyak dari sudut istilah penggunaan syarak mahupun bahasa.
.
6. Adakah menyertai trend ini melambangkan kebanggaan terhadap dosa (fakhru bi al-ma‘ṣiyah)?
.
Ya, ia termasuk dalam perbuatan yang melambangkan kebanggaan terhadap dosa silam. Hal ini telah dilarang oleh Rasulullah SAW, baginda bersabda:
.
اجْتَنِبُوا هَذِهِ الْقَاذُورَاتِ الَّتِي نَهَى اللَّهُ عَنْهَا، فَمَنْ أَلَمَّ بِهَا فَلْيَسْتَتِرْ بِسِتْرِ اللَّهِ، وَلِيَتُبْ إِلَى اللَّهِ، فَإِنَّهُ مَنْ يُبْدِ لَنَا صَفْحَتَهُ نُقِمْ عَلَيْهِ كِتَابَ اللَّهِ
.
“Hindarilah dosa-dosa terkutuk yang telah Allah SWT larang kalian daripada melakukannya; sesiapa yang diuji dengan salah satu dosa yang terlarang itu, maka wajiblah dia tutup ia dengan penutupan daripada Allah (selagi Allah tidak mendedahkannya); dan hendaklah dia bertaubat kepada Allah, kerana sesungguhnya sesiapa yang menceritakan kepada kami dosa-dosa kesalahannya, nescaya kami akan menegakkan hukum Kitab Allah ke atas dirinya.”[2]
.
7. Oleh yang demikian, jika seseorang pernah terlibat dengan dosa zina, hendaklah dia menyembunyikan perkara tersebut. Jika dia mendedahkan pekung sendiri, maka dia boleh dikenakan hukuman hudud oleh pihak berkuasa. Berbangga dengan maksiat bukanlah kebanggan, sebaliknya hanya membuka pekung di dada dan menyebabkan asalnya tidak dihukum, menjadi boleh didakwa dan dihukum.
.
8. Apakah niat sebenar di sebalik menyertai trend ini? hiburan, populariti atau dakwah tersirat?
.
Perkara ini diserahkan kepada para netizen untuk menjawabnya. Tepuk dada, tanyalah iman. Jika sekadar berhibur, kita diharamkan untuk berhibur dengan perkara yang haram. Jika untuk populariti semata, betapa teruk dan binasanya populariti yang dibina dengan publisiti murahan dan keji seperti ini. Jika didakwa untuk tujuan dakwah, dakwah hanya dilakukan dengan tatacara dan metode yang diajar dan diizinkan oleh Allah SWT. Firman-Nya:
.
قُلۡ هَـٰذِهِۦ سَبِیلِیۤ أَدۡعُوۤا۟ إِلَى ٱللَّهِۚ عَلَىٰ بَصِیرَةٍ أَنَا۠ وَمَنِ ٱتَّبَعَنِیۖ وَسُبۡحَـٰنَ ٱللَّهِ وَمَاۤ أَنَا۠ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِینَ
.
“Katakanlah: Inilah jalanku, aku menyeru kepada Allah di atas hujah bukti yang jelas. (Inilah jalan) aku dan sesiapa yang mengikutiku. Maha Suci Allah, dan aku bukanlah termasuk dalam golongan orang-orang musyrikin.” (QS Yusuf: 108)
.
9. Imam al-Baghawi al-Syafi’i menafsirkan:
.
وَالْبَصِيرَةُ: هِيَ الْمَعْرِفَةُ الَّتِي تُمَيِّزُ بِهَا بَيْنَ الْحَقِّ وَالْبَاطِلِ
.
“al-Basirah: ialah pengetahuan yang digunakan bagi membezakan mana satu yang haq (benar dan betul dalam dakwah); dan mana satu yang batil (salah, menyimpang dalam dakwah).”[3]
.
10. Adakah ia menormalisasikan perbuatan zina secara simbolik dalam masyarakat Islam?
.
Sudah tentu, ini merupakan tindakan yang jelas mendorong normalisasi zina serta segala simbolik berkenaannya dalam kalangan masyarakat Islam. Ketika Allah SWT mengharamkan zina, Allah SWT tidak berkata “jangan berzina” secara langsung; bahkan Allah SWT melarang segala perbuatan yang mendorong dan membawa ke arah zina. Firman-Nya:
.
وَلَا تَقۡرَبُوا۟ ٱلزِّنَىٰۤۖ إِنَّهُۥ كَانَ فَـٰحِشَةࣰ وَسَاۤءَ سَبِیلࣰا
.
“Janganlah kalian mendekati zina kerana ia merupakan perbuatan yang amat keji dan seburuk-buruk jalan.” (QS al-Isra’: 32)
.
11. Membuka pintu zina adalah amat dilarang, ia menghakis naluri kemanusiaan dan menghina tabiat manusia seakan persis sahaja dengan tabiat haiwan melata. Imam al-Razi al-Syafi’i berkata:
.
أنَّهُ إذا انْفَتَحَ بابُ الزِّنا فَحِينَئِذٍ لا يَبْقى لِرَجُلٍ اخْتِصاصٌ بِامْرَأةٍ، وكُلُّ رَجُلٍ يُمْكِنُهُ التَّواثُبُ عَلى كُلِّ امْرَأةٍ شاءَتْ وأرادَتْ، وحِينَئِذٍ لا يَبْقى بَيْنَ نَوْعِ الإنْسانِ وبَيْنَ سائِرِ البَهائِمِ فَرْقٌ في هَذا البابِ
.
“Jika dibuka pintu zina, ketika itu, seorang lelaki tidak boleh dikenal pasti mempunyai pasangannya (begitu juga seorang wanita tidak boleh dikenal pasti mempunyai satu lelaki sahaja; semua sudah celaru); semua lelaki boleh bergaul dengan menyetubuhi semua perempuan, siapa yang mereka hendaki dan mereka mahu. Ketika itu, tiada beza lagi antara tabiat manusia dengan tabiat binatang buas.”[4]
.
BERKAITAN HUKUM MENYEBARKAN AIB DAN RAHSIA
.
12. Apakah hukum menyebarkan atau memberi isyarat terhadap hubungan peribadi (seksual) secara umum di media sosial?
.
Hukumnya adalah haram, kerana ia termasuk dosa al-mujahir bi al-ma’asi iaitu menzahirkan secara terang-terangan sesuatu maksiat dan dosa. Rasulullah SAW bersabda:
.
كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلَّا الْمُجَاهِرُونَ وَإِنَّ مِنَ الْمَجَانَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ عَمَلًا بِاللَّيْلِ ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ. فَيَقُولَ: يَا فُلَانُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ
.
“Setiap umatku akan diampunkan, melainkan orang yang menzahirkan (dosanya sendiri). Antara benda gila yang dilakukan: seseorang berbuat dosa pada malam hari, kemudian berpagian dalam keadaan Allah telah menutup aibnya itu, namun dia sendiri yang berkata: “Wahai fulan, semalam saya buat dosa sekian sekian.” Sedangkan, Allah telah tutup dosanya sepanjang dia bermalam, lantas dia berpagian dalam keadaan membuka sendiri aib yang Allah telah tutupi.” (Muttafaqun ‘alayhi)
.
13. Adakah menggunakan isyarat seperti ‘garis merah’ dikira menyebarkan aib, walaupun tanpa menyebut secara jelas?
.
Ya, dikira menyebarkan aib walaupun tidak menyebut secara jelas. Hal ini kerana bilangan garis merah tersebut sendiri difahami oleh orang ramai dengan makna bilangan aib zina. Kefahaman dan makna tersebut menjadi kayu ukur larangan bagi tren ini. Kaedah fiqh terang menyatakan:
.
الْعِبْرَةُ بِالْمَعَانِي
.
“Yang menjadi kayu ukur [dalam sebarang perkara] adalah makna [di sebalik setiap perkara].”
.
14. Bolehkah seseorang mendedahkan hubungan halal (nikah) mereka secara umum jika mengundang fitnah?
.
Meski jika hubungan seksual itu dilaksanakan dalam pernikahan yang sah dan berstatus halal pun, ia haram untuk disebarkan ke khalayak ramai. Rasulullah SAW bersabda:
.
إِنَّ مِنْ أَعْظَمِ الأَمَانَةِ عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ الرَّجُلَ يُفْضِى إِلَى امْرَأَتِهِ وَتُفْضِى إِلَيْهِ ثُمَّ يَنْشُرُ سِرَّهَا
.
“Sesungguhnya di antara dosa yang paling berat di sisi Allah pada hari kiamat kelak ialah seorang lelaki yang menyetubuhi isterinya dan isterinya menyetubuhinya jua; kemudian dia menyebarkan berkenaan rahsia (hubungan kelamin tersebut).” [5]
.
15. Imam al-Munawi al-Syafi’i berkata:
.
وَالظَّاهِرُ أَنَّ الْمَرْأَةَ كَالرَّجُلِ فَيَحْرُمُ عَلَيْهَا إِفْشَاءُ سِرَّهُ.
.
“Zahir hadis ini menyatakan: wanita juga hukumnya sama seperti lelaki; haram bagi wanita menyebarkan rahsia hubungan seks suami-isteri (kepada khalayak).” [6]
.
BERKAITAN ADAB DAN AKHLAK MUSLIM
.
16. Adakah trend ini bertentangan dengan adab ḥayā’ (malu) dalam Islam?
.
Ya, jelas sekali bertentangan dengan adab sifat malu yang diajarkan oleh syariat Islam. Rasulullah SAW bersabda:
.
الْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الْإِيمَانِ
.
“Sifat malu itu salah satu cabang daripada keimanan.” (Muttafaq ‘alayhi)
.
17. Setiap amalan zahir kita adalah cerminan niat di hati. Jika hati asyik terfikir seks, perbuatan luaran juga akan menzahirkan sikap tersebut. Kaedah fiqh menyatakan:
.
التَّصَرُّفَاتُ دَلِيلُ الْمَقَاصِدِ الْبَاطِنَةِ
.
“Gerak-geri dan tingkah (zahir) adalah cerminan kepada niat sebenar di dalam jiwa (batin).”
.
Adakah trend ini mendorong umat Islam, khususnya remaja, untuk membuat konten yang tidak berfaedah atau membuka jalan ke arah maksiat digital?
.
18. S-Trend ini jelas mendorong umat Islam, khususnya generasi muda remaja ke arah menjana konten-konten media sosial yang tidak berfaedah serta membuka jalan ke arah maksiat digital. Perilaku seperti ini wajib dihalang berdasarkan kaedah Sadd al-Zara’i yang masyhur digunakan dalam usul mazhab Maliki.
.
Imam al-Qarafi al-Maliki berkata:
.
سَدُّ الذَّرَائِعِ ، وَمَعْنَاهُ : حَسْمُ مَادَّةِ وَسَائِلِ الْفَسَادِ ؛ دَفْعًا لَهَا ، فَمَتَى كَانَ الْفِعْلُ السَّالِمُ عَنْ الْمَفْسَدَةِ ، وَسِيلَةً لِلْمَفْسَدَةِ : مَنَعَ الإمام مَالِكٌ مِنْ ذَلِكَ الْفِعْلِ
.
“Sadd al-Zara’i’, maknanya ialah mengenal pasti setiap anasir yang merupakan jalan menuju ke arah keburukan; serta mengelakkannya. Setiap kali sebuah perbuatan yang asalnya selamat daripada sebarang keburukan, namun ia mendorong ke arah keburukan: maka Imam Malik menghalang perbuatan tersebut.”[7]
.
19. Adakah keterlibatan dalam trend ini mempengaruhi izzah (kemuliaan) seorang Muslim?
.
Amat mempengaruhi ‘izzah seorang Muslim yang asalnya berbangga dengan amal soleh serta ketaatan, kepada merendah dan menghina dirinya dengan kekejian dosa jua maksiat.
.
BERKAITAN KONTEN MEDIA SOSIAL
.
20. Adakah perbuatan mengikuti trend seperti ini termasuk dalam amalan al-laghw (perbuatan sia-sia)?
.
Ya, tren ini merupakan perbuatan yang sia-sia lagi mendorong ke arah dosa. Allah SWT berfirman tentang sifat orang-orang yang beriman:
.
وَٱلَّذِینَ هُمۡ عَنِ ٱللَّغۡوِ مُعۡرِضُونَ
.
“Dan mereka (orang Mukminun) adalah (orang-orang yang) berpaling menghindari daripada sebarang perbuatan sia-sia.” (QS al-Mu’minun: 3)
.
21. Imam Ibn al-Jawzi al-Hanbali menukikan:
.
قالَ الزَّجّاجُ: واللَّغْوُ: كُلُّ لَعِبٍ ولَهْوٍ، وكُلُّ مَعْصِيَةٍ فَهي مُطَّرَحَةٌ مُلْغاةٌ؛ فالمَعْنى: شَغَلَهُمُ الجِدُّ فِيما أمَرَهُمُ اللَّهُ بِهِ عَنِ اللَّغْوِ
.
“Imam al-Zajjaj berkata: al-Laghw ialah setiap permainan dan yang melalaikan; serta setiap maksiat maka ia adalah seharusnya dicampak (tidak bernilai) dan tidak perlu diambil kira (tiada kemuliaan); makna ayat ini: Fokus orang beriman kepada kebaikan yang Allah arahkan berbanding ke arah dosa yang sia-sia.” [8]
.
KESIMPULAN
.
22. Hindarilah tren yang buruk ini. Tutuplah aib kita, jika pernah terjerumus ke dalamnya. Jangan dedahkan aib kita sama ada secara jelas langsung mahupun apa-apa isyarat. Bertaubatlah kepada Allah SWT kerana Dia Maha Pengampun lagi Menerima Taubat sekalian hamba-Nya. Dalam masa yang sama, berguraulah dan berhiburlah dengan pedoman syariat Islam. Jangan bergurau dengan dosa dan maksiat.
.
Disediakan Oleh:
.
Felo Penyelidik
Jabatan Mufti Negeri Pahang
.
RUJUKAN:
.
[1] Maqayis al-Lughah, 2/472
[2] al-Hakim: Mustadrak (2807), Muwatta’ Malik (2386) secara mursal daripada Zayd b. Aslam; dinilai mursal oleh al-Syafi’i, al-Daraqutni, Ibn ‘Abd al-Barr dan lain-lain huffaz.
[3] Ma’alim al-Tanzil, 6/554
[4] Mafatih al-Ghayb, 8/114
[5] Muslim: Sahih Muslim (1437)
[6] Fayd al-Qadir Syarh Ahadith al-Jami’ al-Saghir, 2/538
[7] al-Furuq, 2/32
[8] Zad al-Masir, 7/88
© Hakcipta Terpelihara Jabatan Mufti Negeri Pahang.
Laman ini sesuai dipapar menggunakan pelayar web Microsoft Edge & Google Chrome versi terkini.
Kemaskini Terakhir : 31 تموز/يوليو 2025. Jumlah Pelawat : 1,004,857
Kembali ke Atas
Malaysia 96.2% Malaysia
United States of America 2.2% United States of America

Total:

85

Countries
1004857
Today: 502
This Week: 4,854
This Month: 54,647
This Year: 398,193