Accessibility Tools

  • Content scaling 100%
  • Font size 100%
  • Line height 100%
  • Letter spacing 100%
  • Monday, 12 May 2025 | 14 Zulkaedah 1446

e-FATWA

LARANGAN ALIRAN DAN DAKYAH/ GERAKAN SALAFIAH WAHABIAH DI NEGERI PAHANG

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang Kali Ke-2/2024, pada 25 – 26 November 2024

Keputusan :

Mesyuarat sebulat suara bersetuju dan memutuskan bahawa : -

1.Aliran dan dakyah Salafiah Wahhabiah didapati sesat dan bercanggah dengan pegangan dan amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi teras pegangan umat Islam di Negeri Pahang dan menyebabkan implikasi yang negatif terhadap umat Islam.

Percanggahan tersebut kerana sikap ekstrim mereka pada isu-isu akidah, fiqh, tasawuf dan manhaj seperti berikut:

i.Kefahaman konsep bidaah yang sempit dan berbeza dengan majoriti ulama’ sehingga mudah membidaahkan dan menyesatkan umat Islam yang tidak sealiran dengan mereka;

ii.Membidaahkan amalan-amalan sunat dan khilafiyyah khususnya yang telah menjadi amalan umat Islam tempatan seperti amalan tahlil, amalan talqin selepas pengebumian, bacaan Yasin malam Jumaat, bacaan Qunut Subuh, hadiah pahala buat si mati, pembacaan Al-Quran di sisi kubur, zikir berjemaah, sambutan Maulid Nabi, qiyam malam Nisfu Syaaban, doa akhir dan awal tahun, tambahan lafaz Saidina, dan sebagainya;

iii.Membawa pendekatan Tauhid yang berbilang-bilang atau Tauhid Tiga Serangkai atau Tri-Tauhid yang tidak pernah dikenali oleh ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah daripada kalangan generasi Salaf mahupun generasi Khalaf;

iv.Boleh membawa sikap mengkafirkan (takfiri) umat Islam berdasarkan pendekatan Tauhid Tiga Serangkai atau Tri-Tauhid mereka yang cenderung kepada dakwaan kufur dan syirik terhadap umat Islam yang melakukan Takwil, Tawassul, Tabarruk (mengambil berkat), Istighathah, dan ziarah kubur;

v.Mendakwa bahawa ulama dan umat Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah Al-Asyairah dan Al-Maturidiyah tidak termasuk dalam golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah khususnya berkaitan dengan keimanan kepada zat dan sifat Allah SWT;

vi.Membuat tuduhan sesat ke atas ramai tokoh ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti Imam Al-Ghazali, Imam Al-Nawawi, Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Imam Al-Sanusi, Imam Zakariyya Al-Ansari, Imam Shihabuddin al-Ramli, Imam Ibnu Hajar al-Haytami al-Makki, dan lain-lain.

vii.Berpegang dengan makna zahir ayat dan hadis mutashabihat yang boleh membawa kepada fahaman Tasybih dan Tajsim berkenaan zat dan sifat Allah SWT;

viii.Boleh membawa kepada ideologi mengkafirkan umat Islam (Takfiri) yang menjadi teras bagi gerakan-gerakan Salafi Jihadi seperti ISIS (DAESH), JI (Jemaah Islamiah) dan lain-lain yang terlibat dengan aktiviti terorisme dan keganasan. Hakikat ini telah dinyatakan oleh pihak berkuasa dan penyelidikan-penyelidikan di pelbagai negara.

2.Ajaran Salafiah-Wahhabiah juga boleh membawa kepada perpecahan dan pertelingkahan di kalangan umat Islam. Adalah dilarang untuk menimbulkan perpecahan seperti:

i.Mempertikaikan pengajian akidah sifat dua puluh (20);

ii.Mempertikaikan ulama Nusantara yang muktabar serta kitab-kitab karya mereka;

iii.Mempertikaikan amalan ulama Sufi dan Tariqah Tasawuf yang muktabar; dan

iv.Mempertikaikan keharusan beramal dengan perkara-perkara sunat (fada’il al-a’mal) berdasarkan hadis da’if yang diterima oleh para ulama’ muktabar.

v.Mempertikaikan fatwa-fatwa atau keputusan pihak berkuasa agama;


3.Mesyuarat juga bersetuju memutuskan dilarang mana-mana orang Islam menyebar dan menyimpan bahan bacaan Ajaran Salafiah-Wahhabiah dan seumpamanya.