Accessibility Tools

  • Content scaling 100%
  • Font size 100%
  • Line height 100%
  • Letter spacing 100%
  • Tuesday, 03 December 2024 | 01 Jamadil Akhir 1446

Hukum Mengambil Ubat Viagra Bagi Mendapatkan Zuriat

Soalan :
Apakah hukum mengambil ubat Viagra bagi mendapatkan zuriat?

Jawapan :
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT , selawat dan salam atas Nabi besar Junjungan kita Muhammad SAW berserta keluarga dan sahabatnya, dan mereka-mereka yang mengikuti segala sunnah Nabi Muhammad SAW sehingga ke hari kiamat. Terima kasih kepada saudara sekalian, di atas soalan yang telah diajukan kepada kami.

Secara umum ubat ialah bahan yang digunakan untuk meringankan, merawat, menyembuh atau mencegah penyakit serta meningkatkan taraf kesihatan. Ubat boleh didapati dalam pelbagai bentuk dan diambil dengan bermacam cara. Sekiranya ubat diguna seperti diarahkan, InysaAllah ia dapat merawat atau mengawal penyakit sama ada ubat tersebut bagi tujuan merawat zahir tubuh atau masalah lemah tenaga batin seperti penggunaan viagra atau seumpamanya.

Di dalam Islam keharusan menggunakan ubat bergantung kepada status halal yang telah digariskan oleh syarak iaitu dengan memenuhi syarat-syarat berikut:
  1. Tidak mengandungi bahan daripada haiwan yang tidak halal atau tidak disembelih mengikut syarak.
  2. Tidak mengandungi bahan yang dihukum sebagai najis mengikut hukum syarak.
  3. Selamat untuk diambil, tidak beracun, tidak merosakkan atau memabukkan dan tidak membahayakan kesihatan.
  4. Tidak disedia, diproses atau dihasilkan menggunakan peralatan yang dicemari najis mengikut hukum syarak.
  5. Tidak mengandungi apa-apa bahagian tubuh manusia atau hasil daripadanya yang tidak dibenarkan oleh hukum syarak.
Justeru sekiranya viagra yang ditanya oleh pihak tuan mempunyai ciri-ciri seperti di atas maka ia harus digunakan oleh pelanggan tuan yang bertanya itu.
Hukum Menggunakan Viagra Bagi Mendapatkan Zuriat Sebagai agama yang lengkap dan sempurna, Islam memelihara dan menyelesaikan permasalahan
dan keperluan manusia yang boleh dibahagikan kepada 5 prinsip utama iaitu Agama, Nyawa, Akal, Keturunan/Nasab dan Harta Benda.

Justeru bagi mendapat zuriat demi memelihara keturunan termasuk di dalam 5 prinsip di atas. Oleh itu harus hukumnya jika pasangan berikhtiar bagi mendapatkan zuriat dengan menggunakan viagra atau seumpamanya bagi memelihara kesihatan tubuh badan, ini kerana Allah memerintahkan supaya kita berusaha mencari ubatnya dan memohon kesembuhan dariNya.

Walau bagaimanapun pasangan tersebut perlu mendapat kaunseling daripada doktor pakar terlebih dahulu sama ada viagra tersebut sesuai atau tidak. Ini kerana viagra mempunyai kesan sampingan yang serius bagi orang-orang tertentu. Di samping mendapatkan kepastian dari pihak farmasitikal sama ada viagra itu mengandungi bahan-bahan yang diharamkan oleh syarak. Ini kerana semenjak viagra berada di pasaran pelbagai jenis versi viagra telah dijual di kedai-kedai ubat di seluruh negara.

Dalam aspek Nasab/Keturunan, Islam menjaganya dengan mengizinkan perkahwinan supaya keturunan dapat diteruskan di samping melindungi keturunan dengan mengharamkan zina dan pergaulan bebas yang akan merosakkan keturunan manusia. Keperluan Merawat Penyakit Menurut Syarak Islam sangat mengambil berat dalam aspek penjagaan kesihatan dan rawatan penyakit. Umat Islam disuruh menjaga tubuh badan supaya sentiasa berada dalam keadaan sihat dan berikhtiar mengubat
apabila dijangkiti penyakit. Ini bertepatan dengan pesanan Rasulullah:

“Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan penawarnya, dan Dia telah menjadikan bagi setiap penyakit itu penawar, maka kamu semua berubatlah dan janganlah kamu semua
berubat dengan benda-benda yang haram” – Hadis riwayat Abi Darda r.a.

Ringkasnya, hukum berubat ada dua iaitu wajib dan harus. Bagi orang awam, hukumnya harus iaitu ketika ia masih dapat menanggung kesakitan, dapat bersabar ataupun penyakit itu belum teruk. Keperluan berubat menjadi wajib ke atas umat Islam yang tidak mampu menanggung kesakitan yang dialaminya ataupun penyakit itu boleh mengancam nyawanya.

Oleh sebab itu, umat Islam mempunyai pilihan sama ada hendak berusaha mengubati penyakit ataupun bersabar menanggung kesakitan yang merupakan ujian Allah.Walaubagaimanapun, hukum berubat ini boleh berubah menjadi haram apabila pesakit itu beriktikad yang kuasa menyembuhkan penyakit adalah daripada ubat yang digunakan sedangkan hakikat penyembuhan adalah kuasa Allah. Begitu juga sekiranya pesakit berubat dengan bendabenda yang diharamkan dan dilarang oleh syarak.

Rujukan :
1) Al-Quran dan terjemahannya.
2) Abdul Rahman, (2010). Halalkah Ubat Anda? Ubat daripada sumber babi dan pilihan alternatif. Kuala Lumpur, Malaysia: H Science Solution
3) Harmy, M.Y, Syamsul, K.A, Rosediani, M., & Wan Nor Ainon, W.A. (2011). Fikah Perubatan. Malaysia: PTS Millennia
4) MS2424:2012 Halal Pharmaceuticals – General Guidelines. Jabatan Standard Malaysia
© Hakcipta Terpelihara Jabatan Mufti Negeri Pahang.
Laman ini sesuai dipapar menggunakan pelayar web Microsoft Edge & Google Chrome versi terkini.
Kemaskini Terakhir : 03 December 2024. Jumlah Pelawat : 595,174
Kembali ke Atas
Malaysia 88.9% Malaysia
United States of America 8.6% United States of America

Total:

42

Countries
595174
Today: 308
This Week: 580
This Month: 761
This Year: 19,589