Accessibility Tools

  • Content scaling 100%
  • Font size 100%
  • Line height 100%
  • Letter spacing 100%
  • Friday, 20 June 2025 | 23 Zulhijjah 1446

Panduan & Rujukan

Tanggungjawab Pemerintah Mencegah dan Membanteras Pencerobohan Moden Terhadap Tanah Rakyat dan Ancaman Syarak Buat Penceroboh
16 April 2025

Tanggungjawab Pemerintah Mencegah dan Membanteras Pencerobohan Moden Terhadap Tanah Rakyat dan Ancaman Syarak Buat Penceroboh


Dalam kepesatan arus kemajuan dunia moden ini, pencerobohan terhadap tanah tidak lagi terbatas kepada serangan fizikal oleh musuh luar sepertimana konflik di zaman dahulu yang berkisar soal peperangan dan penaklukan, tetapi juga meliputi pelbagai bentuk pencerobohan termasuk aktiviti perlombongan haram, perladangan haram dan pertanian haram, serta pembinaan infrastruktur tanpa kebenaran di atas tanah milik kerajaan (hakikatnya milik rakyat) atau tanah yang diiktiraf dan diperuntukkan di sisi undang-undang negara sebagai kawasan larangan.

Isu ini bukan sahaja melibatkan pelanggaran undang-undang yang serius, tetapi juga merupakan sebuah dosa di sisi Allah dan Rasul-Nya, serta jenayah dalam Syariat Islam yang mulia. Hal ini wajib ditangani oleh pihak berkuasa selaku autoriti ulil-amri yang memegang amanah kepimpinan dan mengurus tadbir hal-ehwal rakyat berlandaskan kemaslahatan dan keadilan. Pencerobohan tanah tersebut pula tidak boleh menggunakan konsep Ihya' Al-Mawat (mengusahakan tanah terbiar) kerana kerajaan tidak menjadikannya sebagai dasar perolehan tanah. Perlaksanaan berdasarkan konsep tersebut juga ketika pertanian moden mampu dilakukan dalam sekala besar, akan memberi mudarat kehilangan tanah yang besar kepada kerajaan untuk melaksanakan projek yang bermanfaat kepada seluruh rakyat. Konsep Ihya' Al-Mawat hanya dapat dilaksanakan dengan mendapatkan kelulusan permit oleh kerajaan kerana semua rakyat tertakluk kepada undang-undang Akta Kanun Tanah Negara 1965.

Terkini, Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Darul Makmur, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah dan murka ke atas sekalian penceroboh yang menceroboh tanah di Negeri Pahang Darul Makmur. Baginda Al-Sultan, menitahkan agar Rakyat menjadi mata dan telinga kepada Baginda memberi maklumat bagi mencegah aktiviti pencerobohan haram tanah-tanah di Pahang ini.


TANGGUNG JAWAB ULIL AMRI UNTUK MENJAGA KEMASLAHATAN RAKYAT

Memang menjadi hak dan tanggungjawab Pemerintah Islam (ulil-amri) untuk melaksanakan keadilan, memelihara keselamatan dan hak rakyat, termasuklah dalam isu pemilikan dan penjagaan tanah. Menjaga harta rakyat (hifz al-mal) merupakan salah satu intisari penting yang wajib dipelihara dan dipelihara oleh Maqasid al-Syariah.

Tentang kebertanggungjawaban ulil-amri, pihak pemimpin wajib memelihara segenap hal-ehwal rakyat jagaannya, ‘Abdullah b. ‘Umar RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَلَا كُلُّكُم رَاعٍ وَكُلُّكُم مَسؤولٌ عَن رَعِيَّتِهِ
Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Pemimpin wajib menjaga seluruh urusan rakyat, mencakupi urusan maslahat ukhrawi dan duniawi. Imam Muhyi al-Din al-Nawawi mensyarahkan hadis di atas, mensyarahkan bahawa:

قَالَ الْعُلَمَاءُ الرَّاعِي هُوَ الْحَافِظُ الْمُؤْتَمَنُ الْمُلْتَزِمُ صَلَاحَ مَا قَامَ عَلَيْهِ وَمَا هُوَ تَحْتَ نَظَرِهِ فَفِيهِ أَنَّ كُلَّ مَنْ كَانَ تَحْتَ نَظَرِهِ شَيْءٌ فَهُوَ مُطَالَبٌ بِالْعَدْلِ فِيهِ وَالْقِيَامِ بِمَصَالِحِهِ فِي دِينِهِ وَدُنْيَاهُ وَمُتَعَلِّقَاتِهِ

“Para ulama berkata: al-Ra’i (الرَّاعِي) merupakan penjaga, yang memegang amanah, wajib memastikan kebaikan segala urusan yang dia pegang, serta orang-orang di bawah pengawasannya. Berdasarkan hadis ini, kita fahami bahawa setiap yang mempunyai orang bawahan yang dia jaga, pimpin; maka wajiblah ke atasnya untuk menegakkan keadilan dan maslahat dalam setiap urusan orang jagannya itu; baik dalam urusan agama, dunia dan sebarang perkara yang berkaitan.” (Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim: 12/213)

PIHAK BERKUASA YANG DITITAHKAN OLEH ULIL AMRI MESTILAH JUJUR, BERINTEGRITI DAN PROFESIONAL KERANA PENGURUSAN HAL EHWAL TANAH MESTILAH TELUS MENURUT SYARAK

Berkenaan penjagaan harta dan hak milik secara telus dari sudut perspektif syarak, Islam amat menitik berat perkara ini menerusi firman Allah SWT:
وَلَا تَأۡكُلُوۤا۟ أَمۡوَ ٰ⁠لَكُم بَیۡنَكُم بِٱلۡبَـٰطِلِ
“Dan janganlah kalian makan harta sesama kalian dengan cara yang batil (salah).” (QS al-Baqarah: 188)

al-Mawardi menafsirkan ayat di atas:

﴿وَلا تَأْكُلُوا أمْوالَكم بَيْنَكم بِالباطِلِ﴾ فِيهِ تَأْوِيلانِ: أحَدُهُما: بِالغَصْبِ والظُّلْمِ.
“[Janganlah kalian makan harta sesama kalian dengan cara yang batil] ada dua tafsiran: Salah satunya, iaitu dengan cara al-ghasab (ceroboh, guna hak milik orang lain) dan zalim.” (al-Nukat wa al-‘Uyun: 1/248)

Abu Ishaq al-Syatibi jelaskan tentang hifz al-mal (penjagaan harta) dalam Daruriyat al-Khams yang dijamin pemeliharaannya dalam Maqasid al-Syariah, menyatakan:

والحفظ لها يكون بأمرين: أحدهما: ما يُقِيم أركانها ويُثَبِّت قواعدها، وذلك عبارة عن مراعاتها من جانب الوجود. والثاني: ما يدرأ عنها الاختلال الواقع أو المتوقع فيها، وذلك عبارة عن مراعاتها من جانب العدم.. وَالْمُعَامَلَاتُ رَاجِعَةٌ إِلَى حِفْظِ النَّسْلِ وَالْمَالِ مِنْ جَانِبِ الْوُجُودِ. وَالْجِنَايَاتُ- وَيَجْمَعُهَا٤ الْأَمْرُ بِالْمَعْرُوفِ وَالنَّهْيُ عن المنكر- ترجع إلى حِفْظِ الْجَمِيعِ مِنْ جَانِبِ الْعَدَمِ
“Penjagaannya adalah ditinjau daripada dua aspek. Aspek pertama: menjaga kewujudannya dan memelihara kesinambungan wujudnya, ini dipanggil penjagaannya dari aspek al-wujud. Kedua: Menghindarkan perkara yang dijaga itu (termasuk harta) dari sebarang perkara tidak diingini (kerosakan, kezaliman) yang berlaku atau yang akan berlaku, ini dipanggil penjagaannya dari aspek al-’adm. (Segala hukum-hakam) muamalat adalah untuk menjaga keturunan dan kemaslahatan harta dari aspek al-wujud manakala (segala hukum-hakam jenayah) menghimpunkan penjagaan terhadap semua aspek. Konsep amar ma’ruf nahi mungkar juga digariskan untuk memelihara semua aspek tersebut dari sudut al-’adm.” (al-Muwafaqat: 2/18-20)

Pemerintah juga wajib melaksanakan al-hisbah (الْحِسْبَةُ), iaitu melaksanakan aktiviti penguatkuasaan undang-undang, merealisasikan kemaslahatan dan mencegah keburukan. Ini merupakan amar ma’ruf dan nahi mungkar. Menghalang kemungkaran dan menegakkan keadilan adalah komponen utama hisbah. Membiarkan pencerobohan tanpa sebarang tindakan adalah tanda kecuaian dalam tanggungjawab kenegaraan dan agama, perkara ini pasti tidak dipandang sebelah mata oleh pemerintah kita.

ANCAMAN SYARAK TERHADAP PENCEROBOHAN TANAH

Pencerobohan tanpa hak terhadap tanah milik individu atau negara termasuk dalam kategori kesalahan al-Ghasab (الغَصَبُ), iaitu perbuatan mengambil atau menggunakan sesuatu secara zalim. al-Khatib al-Syirbini mengulas kalam al-Nawawi ketika mentakrifkan al-Ghasab menerusi ujaran beliau:

ِ (هُوَ) لُغَةً أَخْذُ الشَّيْءِ ظُلْمًا، وَقِيلَ: أَخَذَهُ ظُلْمًا جِهَارًا. وَشَرْعًا (الِاسْتِيلَاءُ عَلَى حَقِّ الْغَيْرِ عُدْوَانًا) أَيْ عَلَى وَجْهِ التَّعَدِّي وَيُرْجَعُ فِي الِاسْتِيلَاءِ لِلْعُرْفِ
“(Ia) dari sudut bahasa: mengambil sesuatu secara zalim. Dikatakan juga: Mengambil sesuatu secara zalim dan terang-terangan. Manakala dari sudut syarak: (Menguasai hak orang lain secara melampaui batas) iaitu dengan cara yang melanggar keadilan dan nilai baik, dan penentuan bentuk keburukan ini dikembalikan kepada dimensi ‘uruf (kebiasaan masyarakat).” (Mughni al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj: 3/334)

Dalil pengharamannya adalah berdasarkan hadis sahih yang jelas menyebut tentang balasan dosa mencerobohi tanah milik orang lain. Umm al-Mukminin Aisyah bt. Abu Bakr RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ ظَلَمَ قَيْدَ شِبْرٍ مِنْ أَرْضٍ طَوَّقَهُ مِنْ سَبْعِ أَرَضِينَ
“Barang siapa yang mengambil sejengkal tanah secara zalim, maka Allah akan kalungkan lehernya dengan tanah itu dari tujuh lapis bumi (pada hari kiamat).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ibn al-Mulaqqin, ketika mensyarahkan hadis ini, menegaskan tentang perincian hukuman tersebut:

قال الخطابي: قوله: (طوقه من سبع أرضين) له وجهان:أحدهما: أنه يكلف نقل ما ظلم منها في القيامة إلى المحشر، فيكون كالطوق في عنقه.وروي معناه في بعض الأحاديث.والآخر: أن يعاقب بالخسف إلى سبع أرضين
“al-Khattabi kata: “Sabda baginda: [Akan dikalungkan di lehernya tanah dari tujuh bumi] mempunyai dua sisi makna. Pertama: Akan dihukum dengan membawa tanah yang dia rampas secara zalim itu kelak di hari kiamat sampai ke padang Mahsyar, maka ia berbentuk kalungan di lehernya. Makna seperti ini ada diriwayatkan dalam sebahagian hadis. Makna yang lainnya: Akan dihukum dengan dibenamkan ke dalam bumi ketujuh.” (al-Taudih li Syarh al-Jami’ al-Sahih: 15/604)
Oleh yang demikian, begitu jelas ancaman yang besar terhadap orang-orang yang menceroboh atau merampas tanah tanpa sebarang kebenaran dan keizinan, dengan jalan yang batil lagi menimbulkan permusuhan. Mereka akan dihukum kelak oleh Allah SWT dengan hukuman yang begitu berat lagi dahsyat azabnya. Hal ini jika dilihat secara mendalam, ia sebenarnya bagi melindungi kemaslahatan negara itu sendiri kerana penerokaan sesuatu alam sekitar tanpa perancangan dan kawalan akan mendatangkan bencana buat Rakyat sekitar.

MENIMBULKAN KEROSAKAN DI MUKA BUMI

Aktiviti yang diusahakan oleh penceroboh ini pula seperti perlombongan haram dan pembukaan hutan tanpa kawalan boleh menyebabkan pencemaran dan kerosakan alam sekitar, mencemarkan sungai, merosakkan habitat dan mengancam nyawa penduduk.

Perbuatan merosakkan sebarang anasir dan kejadian atas muka Bumi adalah dilarang tegas oleh Allah SWT menerusi firman-Nya:

وَلَا تُفۡسِدُوا۟ فِی ٱلۡأَرۡضِ بَعۡدَ إِصۡلَـٰحِهَا
“Dan janganlah kalian membuat kerosakan di atas muka bumi setelah ia diperbaiki.” (QS al-A‘rāf: 56)

al-Qadi al-Baghawi menafsirkan ayat di atas selepas menukilkan tafsiran Salaf, seraya berkata:

وَقَالَ عَطِيَّةُ: لَا تَعْصُوا فِي الْأَرْضِ فَيُمْسِكُ اللَّهُ الْمَطَرَ وَيُهْلِكُ الْحَرْثَ بِمَعَاصِيكُمْ. فَعَلَى هَذَا مَعْنَى قَوْلِهِ: "بَعْدَ إِصْلَاحِهَا" أَيْ: بَعْدَ إِصْلَاحِ اللَّهِ إِيَّاهَا بِالْمَطَرِ وَالْخِصْبِ
“‘Atiyyah (al-’Aufi) kata: “Janganlah kalian melakukan sebarang keburukan atas muka bumi, lantas Allah menahan hujan serta merosakkan tanaman kalian, hasil daripada perbuatan maksiat buruk kalian.” Berdasarkan tafsiran terhadap ayat ini, maka ayat: “setelah ia diperbaiki” iaitu: setelah Allah memperbaiki (Bumi) buat kalian dengan menurunkan hujan dan menumbuhkan tumbuhan.” (Ma’alim al-Tanzil: 3/238)

Aktiviti pembalakan dan penebangan pokok misalnya yang semakin berleluasa, diharamkan oleh syariat Islam. ‘Abdullah bin Hubaisy RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

منْ قطعَ سِدرةً في فَلاةٍ يَسْتَظِلُّ بها ابن السبيلِ والبهائُم غَشْماً وظُلماً بغيرِ حق يكونُ لهُ فيها، صَوَّبَ الله رأسَهُ في النَّار
“Sesiapa yang memotong pokok bidara di padang pasir, yang digunakan sebagai teduhan oleh para musafir, haiwan liar; dalam keadaan jahat dan zalim tanpa sebarang kebenaran atas dirinya melakukan perkara tersebut, Allah pasti akan mencelupkan kepalanya dalam api neraka.” (Riwayat Abu Daud)

Menurut nas-nas mazhab al-Syafi’i, larangan ini bukanlah larangan menebang pokok secara umum, namun ia merupakan larangan menebang pohon yang berada dalam tanah milik orang lain, atau penebangan itu mendorong kepada rampasan hak, kezaliman dan kemudaratan. al-Muzani menafsirkan ayat ini berkata:

إن ثبت أن النبي قاله فيُشْبِه أن يكون سُئل مَنْ هجَم على قطع سدرةٍ للرجل أو ليتيم أو لمن حرّم الله عليه أن يقطعها عليه، فتحامل عليها وقطعها بعد نهي الله عز وجل أو نهي رسوله صلى الله عليه أو بدلالة
“Jika hadis ini sabit daripada Nabi, maka besar barangkali maknanya adalah: baginda disoal tentang seseorang yang secara zalim memotong pohon milik orang lain, atau milik anak yatim, atau mana-mana harta benda yang diharamkan oleh Allah atas dirinya untuk ditebang, lantas dia mengingkari arahan tersebut dan tetap memotongnya selepas jelas larangan Allah dan Rasul-Nya itu termeterai; atau jua dengan sebarang dalil (pengharamannya).” (al-Amr wa al-Nahyi ‘ala Ma’na al-Syafi’i, h. 342)

Jelaslah, sebarang perbuatan buruk menyebabkan tanaman rosak dan tidak lestari adalah dilarang dan dikira sebagai maksiat serta dosa di sisi syariat Islam yang suci.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, aktiviti seperti perlombongan haram di kawasan hutan simpan atau berhampiran sungai, pembukaan ladang tanaman atau ternakan secara tidak sah, juga sebarang pembinaan bangunan, premis atas tanah rizab atau milik orang lain adalah sebuah kemaksiatan dan kemungkaran jika dilakukan tanpa kebenaran syarak dan undang-undang. Syariat begitu tegas dalam perkara ini, hatta jika dahan pokok pun telah memasuki tanah orang lain, pemilik tanah tersebut berhak memindahkan atau memotong bahagian yang masuk ke dalam kawasan tanah miliknya.

Maka, semua rakyat mestilah memberi kerjasama penuh terhadap arahan pihak berkuasa yang dilantik oleh Ulil Amri seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan lain-lain Agensi Kerajaan bagi melancarkan proses penguatkuasaan undang-undang dengan adil serta menurut prosedur yang telah digaris pandukan. Hal ini bertujuan melindungi rakyat daripada kerugian dan bahaya serta memulihkan kawasan yang rosak atau dicerobohi akibat pencerobohan tersebut, bagi mengembalikannya kepada pemilik asal dengan keadaan asli miliknya.
© Hakcipta Terpelihara Jabatan Mufti Negeri Pahang.
Laman ini sesuai dipapar menggunakan pelayar web Microsoft Edge & Google Chrome versi terkini.
Kemaskini Terakhir : 19 June 2025. Jumlah Pelawat : 935,611
Kembali ke Atas
Malaysia 96.1% Malaysia
United States of America 2.3% United States of America

Total:

84

Countries
935611
Today: 1,157
This Week: 5,251
This Month: 119,632
This Year: 328,947