Accessibility Tools

  • Content scaling 100%
  • Font size 100%
  • Line height 100%
  • Letter spacing 100%
  • Wednesday, 16 October 2024 | 13 Rabiulakhir 1446

Kenyataan Media

09 September 2024

ISU SYARIKAT ORANG ISLAM YANG DILIHAT MENGGUNAKAN AGAMA UNTUK PERNIAGAAN

1. Adalah menjadi tuntutan fardhu kifayah untuk orang-orang Islam terlibat dalam sesuatu perniagaan yang diharuskan oleh Syariat Islam.

2. Perniagaan umat Islam hendaklah mematuhi hukum syarak sama ada pada penghasilan dan pengeluaran produk atau perkhidmatan, mahupun pada pengurusan akad pekerjaan antara pekerja dan majikan.

3. Sesebuah syarikat apabila menjalankan perniagaan, mestilah mempunyai akad yang jelas dengan setiap pekerja mereka. Hendaklah dinyatakan mengenai data-data tentang spesifikasi kerja dan jumlah gaji yang akan diperolehi. Ini hendaklah dibuktikan dengan adanya slip gaji dan pekerja mestilah bebas menerima dan memegang gaji mereka.

4. Pekerja boleh menyumbang semula sebahagian atau semua gaji mereka kepada majikan (walau tindakan sebegini adalah pelik bila menyumbang semula pada majikan), namun sumbangan tersebut hendaklah datang daripada kehendak mereka sendiri iaitu bebas tanpa apa -apa tekanan atau paksaan. Namun jika pekerja diberi tekanan, sebenarnya itu bukanlah gaji atau upah mereka. Tindakan tekanan sebegitu boleh diibaratkan sebagai lakonan bayaran gaji kepada pekerja semata-mata. Majikan yang melaksanakan tindakan sedemikian seolah-olah menipu dan berkhianat kepada usaha dan keringat titik peluh mereka kepada sesebuah syarikat atau seolah-olah dijadikan buruh paksaan. Amalan begini adalah haram disudut syarak kerana majikan tidak memberi hak sebenar kepada pekerja atas kerja yang dilakukan. Apa yang ditakuti ialah akan berlaku "penghambaan moden" atas nama agama, jika pekerjaan mereka dikaitkan dengan upah yang tidak berbayar.

5. Syarikat yang terlibat dalam memaksa anak-anak bawah umur untuk bekerja, boleh didakwa di bawah akta yang melarang untuk menjadikan anak-anak bawah umur sebagai pekerja. Ini adalah satu jenayah terancang dan wajib dibanteras oleh pihak berkuasa.

6. Syarikat yang terlibat dalam jenayah dera dan liwat atau seksual yang lain, pihak berkuasa hendaklah mengambil tindakan terhadap kes-kes sedemikian dengan segera.

7. Pihak syarikat hanya berurusan dengan pekerja setakat melakukan kerja-kerja perniagaan tanpa mencampur adukkan dengan urusan peribadi pekerja seperti hal-hal rumahtangga dan cara pendidikan anak-anak mereka (lebih lebih lagi memisahkan mereka). Sebarang arahan menafikan kehidupan berkeluarga adalah suatu yang dilarang oleh Syarak sebab tujuan perkahwinan ialah untuk pasangan hidup bersama secara aman dan damai.

8. Dasar Syarikat yang memisahkan pasangan suami isteri adalah menafikan hak mereka. Tindakan sebegitu boleh menyebabkan mereka terlibat dengan maksiat dan menyebabkan mereka berada dalam penderitaan. Tindakan sebegitu adalah haram dan berdosa. Syarikat yang berjaya ialah syarikat yang berjaya menyediakan hak asasi manusia berupa tempat tinggal bersama suami isteri sepanjang masa dan sistem saraan yang jelas dan berpatutan tanpa diskriminasi.

9. Jika dasar pemisahan suami isteri dan anak anak terjadi atas nama syarikat, sesungguhnya syarikat tersebut telah melampaui bidang kuasanya. Biasanya jika perkara ini berlaku, masih sukar bagi pihak berkuasa untuk bertindak kerana prosedur memerlukan risikan, pengakuan, siasatan dan pembuktian.

10. Jika Syarikat dikaitkan dengan akidah dan syariah yang salah, atau amalan tasauf yang diselewengkan, mereka hendaklah bertaubat. Mereka hendaklah mendedahkan amalan-amalan mereka supaya boleh para alim ulama memberikan pandangan dan saranan.

Jika amalan-amalan ini disembunyikan, tuduhan-tuduhan akan terus berlaku kepada syarikat tersebut. Ini akan menimbulkan persepsi kepada orang ramai bahawa syarikat tersebut sememangnya mempunyai modus operandi untuk menutup ruang bagi memperbaiki kesilapan. Keadaan tersebut terjadi mungkin disebabkan faktor kesalahfahaman dalam memahami konsep perniagaan yang berjaya, bahkan mereka akan sentiasa dituduh sebagai syarikat mengorbankan pekerja dan keluarga mereka demi keuntungan dan populariti.

11. Syarikat tidak boleh mengaitkan ketaatan kepada syarikat sebagai ketaatan kepada agama kerana tindakan tersebut seperti menggunakan agama untuk kepentingan syarikat.

12. Masyarakat dinasihatkan tidak menjatuhkan hukuman ke atas mana-mana syarikat sehingga disahkan oleh siasatan pihak berkuasa bahawa mereka melakukan kesalahan di atas. Walaubagaimanapun, masyarakat boleh mengambil langkah berhati-hati dengan peringatan tersebut.

PROF. DATO' DR. ASMADI BIN MOHAMED NAIM. DSSS., PMK.
SAHIBUS SAMAHAH MUFTI NEGERI PAHANG
09 SEPTEMBER 2024