Accessibility Tools

  • Content scaling 100%
  • Font size 100%
  • Line height 100%
  • Letter spacing 100%
  • Rabu, 16 Oktober 2024 | 13 Rabiulakhir 1446

Berkaitan Ibadah Korban

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam ke atas Nabi Junjungan Besar Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Soalan 1 : Korban yang terbaik adalah yang dibuat sendiri, dilihat depan mata, dimasak dan dijamu pada orang ramai tentunya yang dibuat dalam negara di tempat kita bermukim. Boleh Datuk terangkan mengenainya dari segi hukum dan juga apakah dibolehkan korban luar negara?

Jawapan :
Kebanyakan ulama bersepakat bahawa sebaik-baik penyembelihan korban adalah:-

1. Dilakukan peyembelihan itu dengan tangan orang yang melakukan korban itu sendiri. Ianya telah disepakati sebagai yang paling afdhal kerana ia adalah suatu ibadah dan juga Sunnah baginda Nabi Muhammad saw.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik ra, katanya:

ضَحَّى النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ، ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ، وَسَمَّى وَكَبَّرَ وَوَضَعَ رِجْلَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا
Maksudnya: “Nabi saw menyembelih dua ekor kibasy yang berwarna putih dan terbaik, yang bertanduk besar sebagai korban dengan tangannya sendiri sambil menyebut nama Allah dan bertakbir, serta Baginda meletakkan kakinya di tengkuk kibasy tersebut.” - Riwayat al-Bukhari (5565) dan Muslim (1966)

2. Walau bagaimanapun jika kita berkongsi bahagian (seperti lembu yang dikongsi 7 bahagian) dan kita tidak mampu untuk menyembelih sendiri haiwan korban, maka diharuskan mewakilkan kepada orang yang lebih alim dan biasa menyembelih untuk melaksanakannya.

3. Jika sudah diwakilkan, maka menjadi sunat hukumnya untuk kita hadir majlis penyembelihan korban tersebut dan menyaksikannya, sama ada lelaki ataupun wanita. Dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda kepada Fatimah R.A untuk menyaksikan upacara terbabit.

يَا فَاطِمَةُ قُوْمِي فَاشْهَديِ أُضْحِيَّتَكِ، فَإِنَّهُ يُغْفَرُ لَكِ بِكُلِّ قَطْرَةٍ مِنْ دَمِهَا كُلُّ ذَنْبٍ عَمِلْتِيهِ
Maksudnya: “Wahai Fatimah, bangunlah dan lihatlah korbanmu. Sesungguhnya ia mengampunkanmu kerana setiap titis daripada darahnya mewakili setiap dosa yang kamu lakukan.” - Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat (3/247)

Dengan demikian, orang yang melaksanakan korban itu dapat menjiwai dan merasa sendiri proses ibadah korban itu dilakukan kerana itu merupakan sebuah syiar Islam yang agung,

4. Menyembelih korban di tempat sendiri adalah cara yang paling baik dan afdhal untuk menaikkan syiar Allah SWT iaitu korban pada Hari Raya Aidil Adha. Ini dijelaskan di dalam al-Quran (surah al-Hajj ayat ke-28) فَكُلُوْا مِنْهَا وَاَطْعِمُوا الْبَاۤىِٕسَ الْفَقِيْر yang jelas menyatakan orang yang berkorban untuk makan sebahagian dari daging korbannya, hal ini akan terhalang disebabkan berkorban secara wakil ke luar negara. Walau bagaimanapun melaksanakan korban diluar negara jika menepati syarat-syarat korban adalah tetap sah hukumnya.

Justeru itu, dari keadaan yang yang disebut di atas maka yang disepakati afdhal oleh para ulama, secara umumnya korban yang lebih baik adalah dilaksanakan di tempat kita berada sewaktu mencari rezeki dalam kehidupan sehari-hari.

Soalan 2 : Ada pihak pengiklan (korban luar negara) yang guna sentimen lebih murah buat korban di luar. Harga contoh lembu jauh lebih murah jadi banyak nama boleh dimasukkan. Bagaimana Datuk melihat promosi melalui cara sebegini.

Jawapan :
Terdapat sebahagian individu yang melakukan kerja amal dan berkorban di luar negara kerana menguruskan korban bagi pihak lain. Maka sah hukumnya untuk berkorban di luar negara dan dia sendiri turut menyembelih dengan tangannya.

Dalam keadaan biasa seperti tiada melakukan kerja amal di luar negara tetapi mempromosikan secara aggresif kehebatan berkorban diluar negara kerana dari segi harganya yang murah di samping bertujuan membantu fakir miskin di negara tersebut, para ulama berbeza pendapat dalam menentukan keharusan melakukan ibadah korban di luar negara atau di luar kawasan hidup dan pekerjaannya. Berikut pendapat ulama atau mazhab mengenai perkara tersebut: (Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh (4/282)

a) Mazhab Hanafi: Makruh dipindahkan ke luar kawasan kecuali jika disebabkan ada kerabatnya di sana atau yang lebih memerlukan.

b) Mazhab Maliki: Tidak harus dipindahkan sembelihan ke luar kawasan yang melebihi jarak musafir, kecuali jika ahli di luar kawasan lain tadi sangat memerlukan maka bolehlah sebahagian besar dipindahkan, dan berbaki sedikit di kawasannya sahaja.

c) Mazhab Syafie dan Hanbali: Harus dipindah ke luar kawasan yang tidak melebihi jarak musafir, namun terdapat ulama dari kalangan mereka yang mengharamkan memindahkannya jika lebih dari jarak musafir.

Imam Al-Nawawi dalam kitab al-Majmu’ mengakui terdapat dua pendapat di dalam hal ini.(al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab (8/403) beliau menukilkan:
Maksudnya, “Tempat ibadah korban hendaklah dalam daerah orang yang berkorban itu, atau diharuskan juga dit tempat di mana orang yang melaksanakan ibadah korban itu sedang bermusafir. Ketentuan ini berbeza dengan dam haji karena penyembelihan binatang ternakan dam haji itu khusus di tanah suci. Sedangkan perihal memindahkan korban terdapat dua pendapat ulama. Kedua pandangan ini dinyatakan oleh Imam Ar-Rafi’i dan lainnya yang dikias dengan pemindahan zakat,”

Berdepan dengan perbezaan pandangan ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-66 yang bersidang pada 25 Nov 2004 turut memutuskan bahawa hukumnya harus untuk mengagihkan daging korban ke tempat atau negara lain. (Lihat Kompilasi Muzakarah MKI 2016, hlm. 44).Diterbitkan pada 2 Disember 2006. (http://ar.islamway.com/fatwa/5759).

Manakala bagi ulama kontemporari dan beberapa badan Fatwa seperti Saudi, UAE dan lain-lain, mereka menghukumkan sebagai harus dipindahkan ke negara yang terdapat ramai yang lebih memerlukan. (Lihat Ikhraj al-Udhiyah Kharij al-Bilad li Syiddah al-Hajah.

Jadi, boleh kita disimpulkan, adalah harus dan sah hukumnya melaksanakan korban secara wakil ke luar negara tetapi yang terbaik dan tiada khilaf adalah di tempat sendiri.

Soalan 3 : Saban tahun ada saja penipuan dilapor isu “scam” korban menjelang Aidiladha. Apa nasihat Datuk untuk umat Islam supaya tidak terkorban atau mudah tertipu dengan tawaran tidak masuk akal.

Jawapan :
Nasihat saya:

  1. Jika jelas “scam” atau bentuk penipuan, jangan sertai program korban tersebut. Jika berlaku “scam”, korban tersebut sebenar tidak berlaku. Penganjur mengaut wang tunai tersebut. Sedikit kos mereka guna menghantar gambar-gambar yang diulang guna.
  2. Pastikan syarikat yang menganjurkan korban diluar negara itu anda kenali sebahagian dari pegawai mereka dan boleh dipercayai untuk melaksanakan program korban di luar negara.
  3. Elakkan membuat korban kepada pihak “wakil atas wakil” tanpa wakil hadir ke sana kerana tidak dapat dipastikan kesahihannya. Apatah lagi, wakil mendapat upah daripada ‘wakil di sana’. Saya tidak pasti pendedahan upah kepada peserta korban dinyatakan secara jelas.
  4. Buat carian dalam internet harga binatang korban di negara yang ditawarkan dan bandingkan dengan harga yang ditawarkan oleh syarikat terbabit jika terlalu murah harga apabila dibandingkan jangan sertai program korban mereka kerana ia bentuk penipuan.
Soalan 4 : Bolehkah penganjur korban menjadikan ibadah korban sebagai urusan komersial dan mendapatkan keuntungan dari urusan korban ini.

Jawapan :
Pengurusan korban ni biasanya dianjurkan oleh dua kumpulan penganjur. Pertama ialah badan amal yang bukan tujuannya mengambil untung, samada pihak masjid-masjid atau surau, persatuan penduduk, atau NGO-NGO Islam. Mereka biasanya keluar negara mencari umat Islam yang miskin. Tujuan mereka ialah membantu dan bukan mendapatkan keuntungan. Biasanya akad yang diguna ialah akad wakalah (pewakilan) dengan anggaran harga sebenar binatang setelah dibuat semakan awal, dan kos pengangkutan mereka ke negara negara tersebut, Biasanya mereka mempunyai kenalan di negara negara tersebut. Bahkan kadang-kadang, badan amal tersebut menanggung kos pengangkutan program tersebut, dan ahli yang turut serta juga menyertai mereka menggunakan kos sendiri atas tujuan bermusafir ke negara lain. Jika ada lebihan wang korban, biasanya disedekahkan atau dijadikan duit kenduri. Akadnya adalah akad kebajikan dan bantu membantu. Akad bantu membantu sebegini, Syarak memberi banyak kelonggaran.

Kedua ialah korban anjuran syarikat komersial. Penganjur korban komersial biasanya menganjurkannya untuk mendapatkan keuntungan. Di sini, jika penganjur tidak berhati hati, ditakuti mereka memperolehi keuntungan dengan cara tipu daya (cara batil). Jika mereka berakad jualan, kena pastikan mereka telah memiliki binatang korban. Jika hanya sebagai wakil orang yang melakukan korban, mereka kena jelaskan kadar upah (yang merupakan keuntungan) yang mereka kenakan kepada muwakkil (pewakil) supaya ada konsep redha meredhai. Jika mereka wakil penternak binatang yang telah menetapkan harga binatang, wakil tidak boleh menaikkan harga melebihi kadar yang diberikan oleh penternak tanpa kebenaran penternak. Ini mengelakkan mereka untung atas angin dalam akad yang penuh unsur gharar.

Malangnya, syarikat komersial, sesetengahnya agak keberatan memberitahu kadar upah mereka yang sebenar. Jika mereka membiasakan memberitahu upah mereka kenakan kepada pelanggan, urusan mereka lebih telus dan memenuhi tuntutan kontrak.

Soalan 5 : Bagaimana hukum bagi syarikat/pihak yang tawarkan korban luar negara tapi tak nyatakan secara khusus negara mana. Mereka hanya berikan senarai kesemua negara yg akan mereka pergi/lakukan ibadat korban. Ada yg bayar pakej tapi tak tahu harganya tu dibayar utk lokasi mana. Adakah sah hukum korban tersebut dari segi syarak? Mohon perincian.

Jawapan :
Konsep sedemikian ialah wakalah mutlaqah (pewakilan secara mutlak dengan kebebasan kepada penganjur). Secara umumnya ia harus. Cuma dalam konteks korban anjuran penganjur komersial, mereka kena pastikan penganjuran di negara negara tertentu bukan untuk lebih membesarkan keuntungan mereka (penganjur komersial). Itu yang saya tekankan sebentar tadi, program komersial sebegini perlu telus kadar upah yang dikenakan.

Bagi penganjur yang bersifat kebajikan, perwakilan secara umum ini lebih boleh memberikan mereka fleksibel mencari negara negara miskin yang memerlukan bantuan sebegini.