Keputusan:
Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang Bil 01 Tahun 2026 pada 27 dan 28 April 2026 telah memutuskan bahawa kedudukan “amil zakat fitrah” dalam isu-isu urusan pengurusan zakat adalah sepertimana berikut:
1.Hukum asal pemegang amanah khususnya yang memegang kuasa adalah diharamkan menerima apa-apa hadiah yang boleh menimbulkan tohmahan dan fitnah ke atas tugasnya termasuklah amil zakat harta.
2.Amil zakat fitrah dalam konteks semasa tidak mempunyai apa-apa kuasa dalam menentukan kadar bayaran zakat kerana kadarnya telah ditentukan oleh fatwa, maka ia terkeluar daripada konteks memegang kuasa sepertimana di atas.
3.Walaupun begitu, pemerintah berhak meletakkan larangan pengambilan hadiah (lebihan zakat) terhadap amil zakat fitrah bagi mengelakkan sebarang tohmahan dan fitnah ke atas mereka. Ia berdasarkan kepada kaedah “tindakan pemerintah ke atas rakyatnya berdasarkan kepada maslahah” (تصرفات الإمام على الرعية منوطة بالمصلحة).
4.Pada ketika itu, adalah dilarang kepada amil zakat fitrah mengambil lebihan tersebut.
5.Bersetuju dengan ketetapan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) melarang pengambilan lebihan oleh amil zakat fitrah.