Accessibility Tools

  • Content scaling 100%
  • Font size 100%
  • Line height 100%
  • Letter spacing 100%
  • الجمعة، 25 أيلول/سبتمبر 2026 | 13 Rabiulakhir 1448

e-FATWA

KEDUDUKAN FAHAMAN DAN AMALAN YANG DIBAWA OLEH A.S PANJI GUMILANG DI PONDOK PESANTREN AL-ZAYTUN (MAAHAD AL-ZAYTUN) INDRAMAYU, JAWA BARAT INDONESIA

Keputusan:
Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang Bil 01/2026 pada 27 dan 28 April 2026 telah memutuskan:


(a)Fahaman dan amalan yang dibawa serta diamalkan oleh A.S Panji Gumilang di Pondok Pesantren Al-Zaytun (Ma’had Al-Zaytun) Indramayu, Jawa Barat, Indonesia dan pengikutnya adalah sesat, menyeleweng dan bercanggah dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Keputusan ini dibaca bersama dengan Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak kali 1 tahun 2009 yang telah memutuskan mengenai ajaran panji gumilang berkaitan dengan Ajaran Pemuda Al-Kahfi atau Ajaran Bina Negara Islam adalah bertentangan dan menyeleweng daripada akidah dan syariat Islam. Penyelewengan dan kesesatannya adalah sepertimana berikut:

Aspek Akidah;

(i). Dakwaan seorang lelaki bahawa A.S Panji Gumilang sebagai seorang Nabi di hadapan A.S Panji Gumilang dalam satu upacara ulang tahun kelahiran beliau di Ma’had Al-Zaytun tanpa sebarang penafian oleh beliau.

(ii). Mendakwa bahawa al-Quran bukan Kalamullah secara langsung, serta menyatakan Allah SWT tidak memahami bahasa orang Indramayu.

(iii).Menyatakan bahawa tanah air Indonesia adalah tanah suci yang setaraf dengan Mekah dan Madinah.


Aspek Syariah;

(i).Pentafsiran dan pemahaman Panji Gumilang terhadap Surah alMujadalah ayat 11 sebagai dalil perenggangan saf dalam solat berjemaah dan pentafsirannya terhadap surah al-Taubah ayat 71 sebagai dalil menyejajarkan saf perempuan dengan saf laki-laki dalam solat berjemaah, merupakan istidlal (penggunaan dalil) yang salah dan menyimpang dari kaedah tafsir.

(ii).Mendakwa bahawa wanita boleh menjadi khatib Jumaat.

Aspek Akhlak;

(i).Dengan sengaja di khalayak umum melakukan perbuatan yang padanya bersifat penodaan dan nista terhadap agama Islam seperti perkara aspek Akidah dan Syariah di atas.

(b)Mana-mana orang, atau mana-mana orang daripada syarikat, firma, pertubuhan, persatuan atau kumpulan dan lain-lain yang mempunyai kaitan dengannya atau mana-mana orang lain yang mempunyai ciri-ciri penyelewengan hendaklah menjauhi ajaran, pegangan dan fahaman sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan (a) dan dilarang berpegang pada, mempercayai, mengajar, menyebarkan, mengamalkan atau menjadi pengikutnya atau agen. Mana-mana orang yang berpegang pada, mempercayai, mengajar, menyebarkan, mengamalkan atau menjadi pengikut ajaran, pegangan dan fahaman sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan (a) hendaklah segera bertaubat dengan taubat nasuha.

(c)Tiada seorang pun boleh memiliki, menyimpan, menjual, memuat naik, memuat turun, menyebarkan, mengedarkan, menggantungkan atau menerbitkan apa-apa poster, buku, majalah, risalah atau apa-apa bahan bacaan lain sama ada dicetak, ditaip, ditulis tangan atau dikeluarkan dalam apa-apa bentuk keluaran atau ulangannya, termasuklah apa-apa filem, audio visual, rakaman, laman sesawang, media cetak atau media elektronik yang mengandungi ciri-ciri ajaran, pegangan dan fahaman sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan (a).

(d)Mana-mana orang adalah dilarang daripada bersubahat dalam melakukan mana-mana perkara yang dilarang dalam perenggan (b) dan (c).

(e)Ma’had Al-Zaytun dan sebarang afiliasi yang berkaitan langsung atau tidak langsung dengan A.S Panji Gumilang hendaklah disekat atau dielakkan bagi mengekang sebarang ideologi yang dikhuatiri boleh membawa kepada ancaman akidah dan keselamatan negara.

(f)Umat Islam di negara ini digesa agar tidak menghantar para pelajar melanjutkan pengajian di Ma’had al-Zaytun, manakala pihak kerajaan dimohon untuk mengambil tindakan tegas dan sewajarnya bagi memastikan perkara tersebut tidak berlanjutan

© Hakcipta Terpelihara Jabatan Mufti Negeri Pahang.
Laman ini sesuai dipapar menggunakan pelayar web Microsoft Edge & Google Chrome versi terkini.
Kemaskini Terakhir : 22 أيلول/سبتمبر 2026. Jumlah Pelawat : 1,947,530
Kembali ke Atas
Malaysia 95.5% Malaysia

Total:

142

Countries
1947530
Today: 25
This Week: 9,611
This Month: 47,367
This Year: 671,306