21 آب/أغسطس 2024
JABATAN MUFTI PAHANG MENYERU RAKYAT BERSATU MEMBERI TAAT SETIA KEPADA KEBAWAH DULI SULTAN PAHANG DAN RAJA RAJA MELAYU
Kempen dan perbezaan politik di kalangan ahli politik seharusnya tidak menyentuh Kebawah Duli Raja Raja Melayu. Raja Raja Melayu telah terbukti menjadi payung apabila keadaan politik tidak stabil sejak lebih lima tahun kebelakangan ini khususnya peranan Kebawah Duli Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.
Keputusan yang dibuat oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada ketika itu dibuat setelah segala pertimbangan dengan teliti dan bersesuaian bagi menyelesaikan keadaan sebenar suasana politik negara.
Jabatan Mufti Negeri Pahang menjunjung tinggi teguran yang dibuat oleh Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang menegur komen negatif oleh ahli politik terhadap keputusan Kebawah Duli Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong terdahulu dan menjunjung kasih terhadap titah baginda supaya Pihak Polis menyiasat dakwaan kesalahan menghina Raja Raja Melayu terhadap kesalahan tersebut.
Rakyat wajib memberikan ketaatan terhadap keputusan Kebawah Duli Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong tersebut kerana Baginda telah membuat keputusan berdasarkan fakta tanpa bias, dan untuk kestabilan negara.
PROF. DATO' DR. ASMADI BIN MOHAMED NAIM. DSSS., PMK.
SAHIBUS SAMAHAH MUFTI NEGERI PAHANG
21 OGOS 2024