Accessibility Tools

  • Content scaling 100%
  • Font size 100%
  • Line height 100%
  • Letter spacing 100%
  • السبت، 23 تشرين2/نوفمبر 2024 | 21 Jamadil Awal 1446

Hukum Tabung Masjid

Soalan :
Bolehkah duit tabung masjid digunakan oleh ajk masjid untuk menaja umrah dari kalangan ajk masjid di mana duit tabung masjid itu diklasifikasikan sebagai
tabung kebajikan?

Jawapan :
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT, selawat dan salam ke atas Nabi besar junjungan kita Muhammad SAW, keluarga, sahabatnya dan merekamereka yang mengikuti segala sunnah Nabi Muhammad SAW sehingga ke hari kiamat. Terima kasih kepada tuan di atas soalan yang telah diajukan kepada kami.

Tidak boleh menggunakan duit tabung masjid bagi tujuan tajaan umrah untuk kariah masjid.Kebiasaannya tabung masjid adalah untuk tujuan infaq umum serta atas tujuan kebajikan masjid. Tabung yang biasa diletakkan di masjid ada dua kategori:
i. Tabung umum
ii. Tabung khusus

Tabung umum pada kebiasaannya adalah yang diletak tanpa label dan para jemaah maklum bahawa sumbangan ke dalam tabung tersebut adalah untuk tujuan kegunaan masjid dari sudut kebajikan, pengimarahan dan faedah yang kembali kepada masjid.Tabung khusus pula kebiasaannya berlabel dan ada ditulis pada tabung itu mengikut tujuan pihak JKK masjid mengedarkan seperti tabung anak yatim, tabung mualaf, tabung infaq Ramadan, tabung khairat, tabung bantuan fakir miskin dan lain-lain tujuan.

Firman Allah Taala dalam surah al-Taubah ayat 18 ayat menyatakan bahawa:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَـٰجِدَ ٱللَّهِ مَنْ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّكَوٰةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا ٱللَّهَ ۖ فَعَسَىٰٓ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَن يَكُونُوا۟ مِنَ ٱلْمُهْتَدِينَ
Maksudnya: “Hanya sanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjidmasjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat
serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapaat petunjuk.

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa yang benar-benar layak memakmurkan masjid adalah mereka yang cukup iman dan amalannya serta ikhlas. Dengan ciri-ciri inilah masjid dapat ditadbir dengan baik dan telus dalam semua hal dan keadaan termasuklah yang bersangkutan dengan kewangan.

Jadi dalam permasalahan berkaitan, maka tidak selayaknya tabung masjid digunakan untuk kepentingan individu walaupun ia berjasa dalam urusan memajukan masjid. Jika benar mahu edarkan tabung bagi tujuan pembiayaan ajk ke umrah maka tabung masjid itu hendaklah dilabelkan sebagai tabung biaya ajk kerjakan umrah.

Jika dilabelkan untuk tujuan yang dinyatakan maka ia boleh digunakan untuk tujuan tersebut.Walaupun begitu jika pembiayaan itu berlaku, maka hukum umrah itu adalah sah dan wang yang digunakan dari tabung masjid hendaklah diganti semula.

Sebaiknya bagi ajk masjid yang dilantik mengambil jalan selamat iaitu apa sahaja jenis derma, infaq melalui tabung masjid atau surau jika ia dikutip dari jemaah, hendaklah dinyatakan tujuan kutipan itu dilakukan. Ini bagi mengelakkan berlakunya tohmahan serta salah guna kuasa demi kepentingan individu tertentu. Sekiranya tidak dinyatakan tujuan tersebut maka akan kembali kepada hukum asal tabung itu diwujudkan iaitu berkait dengan aktiviti pengimarahan masjid, kebajikan dan maslahat.

Contoh manfaat atau kegunaan untuk masjid adalah seperti menggantikan mentol lampu masjid yang terbakar, bayaran bil elektrik dan air serta tujuan lain yang berkait dengan kebajikan masjid. Wang tabung juga boleh diguna untuk jamuan makan jika ada ustaz atau penceramah mengadakan program kerana jamuan makan itu adalah satu bentuk pengimarahan masjid sebagai galakan meramaikan jemaah ke masjid.

Rujukan
1. Al-Quran Dan Terjemahan
2. Kaedah-Kaedah Masjid. (1998). Tambahan Perundangan: Enakmen Pentadbiran UndangUndang Islam Negeri Pahang (1991).
3. https://muftiwp.gov.my/en/artikel/bayan-linnas/3856-bayan-linnas-siri-ke218-pandangan-mengenai-isu-pengurusan-wang-tabung-masjid