HUKUM KUTIPAN ZAKAT DI NEGERI PAHANG DAN DIBAYAR DI NEGERI LAIN
Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang Bil. 1/2025 pada 14 Januari 2025 telah memutuskan bahawa Hukum Kutipan Zakat Di Negeri Pahang dan Dibayar ke Negeri Lain adalah seperti berikut :
1.Hukum lantikan atau tauliah yang diberikan oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) kepada mana-mana individu atau organisasi sebagai amil atau ejen zakat adalah sah di sisi hukum Syarak tetapi hanya terpakai di dalam ruang lingkup sempadan negeri atau bidang kuasa MAIN (wilayah ulil amri) yang melantik atau memberi tauliah tersebut sahaja. Sesuatu tauliah atau lantikan yang membenarkan amil atau ejen mengutip zakat di luar daripada sempadan negeri itu adalah tidak sah mengikut Hukum Syarak dan bercanggah dengan undang- undang berkaitan zakat yang berkuatkuasa di negeri-negeri.
2.Hukum perbuatan memindahkan hasil kutipan zakat oleh individu atau organisasi yang dilantik atau diberikan tauliah sebagai amil atau ejen zakat bagi mana-mana MAIN ke negeri lain, adalah tidak sah dan bercanggah dengan peruntukan undang-undang yang berkaitan zakat di negeri-negeri kerana tempat zakat itu di kutip berada di luar sempadan negeri dan bidang kuasa MAIN yang mengeluarkan tauliah tersebut serta bertentangan dengan syaratsyarat yang membenarkan zakat dipindahkan mengikut Hukum Syarak.
3.Hukum mengembalikan sebahagian hasil kutipan zakat kepada individu atau organisasi yang menjalankan tugas sebagai amil atau ejen zakat atas prinsip upah sedangkan zakat itu di pungut di luar daripada sempadan negeri yang mengeluarkan tauliah tersebut adalah tidak sah mengikut Hukum Syarak kerana mereka tidak dianggap sebagai amil di negeri tersebut (di luar wilayah ulil amri).
4.Hukum membayar zakat kepada pihak yang tidak dilantik sebagai amil atau ejen zakat untuk negeri tersebut adalah tidak sah.
5.Setiap individu atau syarikat milik orang islam yang memperolehi harta dan pendapatan di Negeri Pahang wajib menunaikan zakat kepada pihak berkuasa zakat di Negeri Pahang sebagaimana Seksyen 38 (Pemungutan zakat atau fitrah tanpa kuasa) , Seksyen 39
(Pembayaran zakat atau fitrah kepada orang yang tidak diberi kuasa) dan Seksyen 40 (Tidak membayar zakat atau fitrah), Enakmen kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pahang 2013.
6.Tiada halangan bagi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan yang beroperasi di Negeri Pahang untuk membayar zakat di Negeri Pahang.
7.Mana-mana orang islam yang bekerja di mana-mana syarikat / organisasi adalah dilarang untuk membuat kutipan zakat bagi
dibayar ke negeri lain.