HUKUM MASJID, SURAU BERSTATUS MASJID DAN SURAU BIASA SERTA HUKUM SOLAT TAHIYATUL MASJID, IKTIKAF DAN LARANGAN MEMASUKINYA
Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang Bilangan 3/2025 yang bersidang pada 2 & 3 Julai 2025 telah memutuskan sebagaimana berikut:
- Masjid ialah suatu tempat yang diwakafkan secara khusus sebagai masjid, atau didaftarkan, atau suatu tempat yang dikhususkan untuk dijadikan masjid. Walaupun begitu, penentuan status sesebuah bangunan sebagai masjid mestilah diputuskan oleh pemerintah berdasarkan kaedah tasarrufat al-imam.
- Surau ialah suatu tempat yang diwakafkan untuk solat (lima waktu), atau didaftarkan untuk tujuan dijadikan surau bagi solat lima waktu.
- Surau Kebenaran Jumaat (SKJ) adalah surau yang mendapat kebenaran mendirikan solat Jumaat oleh pemerintah dan hendaklah mempunyai ciri-ciri berikut :
a) Tapak tanah surau adalah wakaf, atau didaftarkan, atau diserahkan pemilikannya kepada pemerintah.
b) Mempunyai jawatankuasa pengurusan yang diiktiraf oleh pemerintah.
c) Mempunyai pegawai-pegawai surau yang tetap yang diiktiraf oleh pemerintah.
d) Mendirikan solat lima waktu berjemaah secara tetap.
4. Surau Kebenaran Jumaat (SKJ) hanya boleh mengambil hukum masjid jika memenuhi syarat di atas dan mendapat kebenaran pemerintah setelah memperolehi kelulusan daripada Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak.
5. Sah solat Sunat Tahiyat masjid dan iktikaf di dalam surau yang mengambil hukum masjid dan terpakai kepadanya larangan- larangan dalam masjid.