AJARAN DI KAMPUNG UBAI, KUANTAN
Keputusan:
Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang Bil 01/2026 yang bersidang pada 27 dan 28 April 2026 telah memutuskan:
(a)Amalan penduduk Kampung Ubai, Kuantan dan Kampung Ubai, Pekan, Pahang dan sekitarnya serta mana-mana tempat di Pahang mempunyai ciri-ciri yang bercanggah dan bertentangan daripada ajaran Islam daripada aspek akidah, Syariah dan akhlak/adab sepertimana berikut:
Aspek Akidah;
- Kepercayaan atau niat tertentu ketika menyembelih ayam sebelum jenazah dihantar ke tanah perkuburan boleh membawa kepada kepercayaan khurafat dan bercanggah dengan syariat Islam.
- Doa menyampaikan roh haiwan kepada si mati adalah sesat dan bercanggah dengan akidah Islam.
- Amalan menolak bala dengan mencagar sebentuk cincin kepada ketua atau pihak lain apabila pokok dipanah petir adalah amalan khurafat dan haram dilakukan oleh umat Islam.
- Adat memotong jambul pengantin perempuan oleh lelaki bukan mahram (ketua masyarakat dengan niat dan kepercayaan tertentu adalah khurafat, haram dan bercanggah dengan syariat Islam.
- Amalan menyusup di bawah keranda dan mencampak duit syiling semasa jenazah diusung ke tanah perkuburan dengan niat dan kepercayaan tertentu adalah khurafat dan bercanggah dengan syariat Islam.
Aspek Syariah;
- Haram menyembelih binatang atas nama jenazah atau menyeru selain nama Allah Taala. Walaupun begitu diharuskan menyembelih binatang dengan nama Allah untuk dihadiahkan pahalanya kepada si mati.
- Rutin melewatkan pengurusan jenazah atas alasan menunggu diuruskan oleh ketua masyarakat sehingga memudaratkan jenazah adalah haram walaupun keluarga telah meminta untuk disegerakan.
- Memaksa keluarga melaksanakan majlis tahlil dan kenduri arwah mengikut bilangan hari tertentu iaitu 1,3,7,14,21,30 dan 100 yang membebankan keluarga si mati adalah bercanggah dengan syariat Islam.
- Perbuatan mengutip “zakat kenderaan” adalah amalan tanpa asas syarak dan boleh membawa kepada eksploitasi kewangan oleh ketua ke atas pengikut serta bertentangan dengan Undang-Undang Pentadbiran Islam Pahang.
- Mewajibkan masyarakat dengan niat qada Subuh bersama Solat Hari raya dan Solat Hajat disertakan dengan bacaan qunut adalah bercanggah dengan syarak kerana solat hari raya merupakan solat sunat yang terikat dengan waktu tertentu sahaja serta tidak boleh digabungkan dengan solat sunat yang lain.
- Pengabaian solat berjemaah di masjid yang merupakan syiar Islam, atau melampau dalam melewatkan solat fardhu atas alasan pengurusan jenazah, tahlil, talkin, ziarah dan “ambil arwah” adalah bertentangan dengan syarak.
- Amalan menolak bala dalam adat menepung tawar pada waktu sebelum Subuh sehingga hampir luput waktu Subuh tidak ada asas dalam syariat Islam.
- Adat memotong jambul pengantin perempuan oleh lelaki bukan mahram (ketua masyarakat) adalah bertentangan dengan syariat Islam kerana membuka aurat kepada bukan mahram.
Aspek Adab Dan Akhlak;
- Amalan membiarkan jenazah terdedah dan memandikan di tempat terbuka di khalayak ramai adalah bertentangan dengan adab Islam dalam tatacara pengurusan jenazah.
- Amalan ketua masyarakat menentukan imam Isyak dan Tarawih namun dia hanya berehat di belakang jemaah adalah bertentangan dengan adab atau akhlak Islam.
(b) Mana-mana orang hendaklah menjauhi ajaran, pegangan dan fahaman sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan (a), dan dilarang berpegang pada, mempercayai, mengajar, menyebarkan, mengamalkan atau menjadi pengikutnya atau agen. Mana-mana orang yang berpegang pada, mempercayai, mengajar, menyebarkan, mengamalkan atau menjadi pengikut ajaran, pegangandan fahaman sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan (a) hendaklah segera bertaubat dengan taubat nasuha.
(c) Tiada seorang pun boleh memiliki, menyimpan, menjual, memuat naik, memuat turun, menyebarkan, mengedarkan, menggantungkan atau menerbitkan apa-apa poster, buku, majalah, risalah atau apa-apa bahan bacaan lain sama ada dicetak, ditaip, ditulis tangan atau dikeluarkan dalam apa-apa bentuk keluaran atau ulangannya, termasuklah apa-apa filem, audio visual, rakaman, laman sesawang, media cetak atau media elektronik yang mengandungi ciri-ciri ajaran, pegangan dan fahaman sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan (a);
(d)Mana-mana orang adalah dilarang daripada bersubahat dalam melakukan mana-mana perkara yang dilarang dalam perenggan (b) dan (c)