Accessibility Tools

  • Content scaling 100%
  • Font size 100%
  • Line height 100%
  • Letter spacing 100%
  • Wednesday, 23 September 2026 | 11 Rabiulakhir 1448

e-FATWA

KAJIAN PENGGUNAAN ISTILAH ISLAM OLEH BUKAN ISLAM DI MALAYSIA : ANALISIS TERHADAP KONFLIK SOSIOPOLITIK DAN KERANGKA PERUNDANGAN SEMASA

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang Bil 02 Tahun 2026 pada 26 dan 27 Julai 2026 telah memutuskan mengenai Kajian Penggunaan Istilah Islam Oleh Bukan Islam Di Malaysia : Analisis Terhadap Konflik Sosiopolitik Dan Kerangka Perundangan Semasa


Keputusan:

Mesyuarat memutuskan bahawa:


1.Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang bersetuju menerima keputusan Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke-130 yang bersidang pada 13 hingga 15 Muharam 1448H bersamaan 29 Jun hingga 1 Julai 2026M yang telah meneliti isu penggunaan istilah, simbol dan amalan yang berkait dengan Islam oleh bukan Islam dalam ruang awam, termasuk dalam konteks politik dan institusi negara. Muzakarah telah yakin dan berpuas hati dengan hujah-hujah dan fakta-fakta yang telah dikemukakan oleh penyelidik dan berpandangan bahawa isu ini menyentuh aspek akidah, syiar Islam serta keharmonian masyarakat majmuk;


2.Istilah dan simbol tertentu yang bersumberkan Islam merupakan sebahagian daripada syiar dan identiti agama yang membawa makna tauhid dan penghambaan kepada Allah SWT. Oleh itu, penggunaannya tidak boleh dianggap sekadar unsur budaya atau retorik sosial semata-mata tanpa mengambil kira disiplin akidah;


3.Jawatankuasa Muzakarah MKI menegaskan bahawa ibadah khusus dan simbol yang jelas identiti Islamnya tidak boleh dinormalisasi sebagai simbol umum yang terpisah daripada makna akidah. Penyerupaan terhadap ibadah khusus tidak menjadikannya ibadah sah di sisi syarak dan tidak memberi kesan terhadap akidah umat Islam, namun boleh menimbulkan kekeliruan jika tidak diperjelaskan;


4.Dalam konteks Semenanjung Malaysia, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan di bawah Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan serta enakmen kawalan dan sekatan pengembangan agama bukan Islam kepada orang Islam di negeri-negeri hendaklah dijadikan rujukan utama dalam menentukan kesalahan atau tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya;
5.Jawatankuasa Muzakarah MKI menetapkan parameter dalam perkara ini sebagai garis panduan umum:


(a)Istilah dan simbol yang berkait secara langsung dan tidak langsung dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, syariah Islamiah, akhlak dan tasawuf Islam hendaklah dipatuhi, dihormati dan dipelihara sebagai syiar Islam, serta tidak digunakan bagi merujuk kepada kepercayaan, ajaran atau amalan agama lain;


(b)Penggunaan kalimah, lafaz, ungkapan, ucapan, kenyataan, penulisan, perfileman dan lain-lain yang mengandungi unsur istihza’ (provokasi, mengejek, mempersenda, menghina atau merendah-rendahkan), membawa maksud ibadah khusus, hikmah sesuatu ibadah umat Islam dan sensitiviti tentang agama Islam dan umatnya hendaklah dielakkan sama sekali;


(c)Segala bentuk ibadah umat Islam hendaklah dipatuhi, dihormati dan dipelihara serta tidak boleh dijadikan bahan sindiran, ejekan, persendaan atau retorik politik dalam semua ruang dan keadaan;


(d)Sebarang penggunaan Istilah Islam yang berpotensi mengelirukan umat Islam hendaklah dielakkan demi menjaga disiplin akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, syariah Islamiah, akhlak dan tasawuf Islam;

(e)Tindakan undang-undang hanya wajar dipertimbangkan sekiranya ungkapan, kenyataan atau perlakuan yang dipersoalkan memenuhi elemen kesalahan yang diperuntukkan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah dan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam di negeri-negeri ;

(f)Semua pihak perlu menghormati Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, di samping menjamin hak penganut agama lain untuk mengamalkan agama masing-masing dengan aman dan damai. Prinsip ini menjadi asas kepada keharmonian dan perpaduan masyarakat majmuk di Malaysia;

6.Jawatankuasa Muzakarah MKI menegaskan bahawa kesucian tauhid dan syiar Islam adalah amanah yang wajib dipelihara. Pendekatan terhadap penggunaan istilah Islam oleh bukan Islam hendaklah tegas pada prinsip, namun bijaksana dalam pelaksanaan selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan kestabilan negara.

© Hakcipta Terpelihara Jabatan Mufti Negeri Pahang.
Laman ini sesuai dipapar menggunakan pelayar web Microsoft Edge & Google Chrome versi terkini.
Kemaskini Terakhir : 22 September 2026. Jumlah Pelawat : 1,945,098
Kembali ke Atas
Malaysia 95.5% Malaysia
United States of America 2.0% United States of America

Total:

142

Countries
1945098
Today: 2,158
This Week: 7,179
This Month: 44,935
This Year: 668,874