Accessibility Tools

  • Content scaling 100%
  • Font size 100%
  • Line height 100%
  • Letter spacing 100%
  • Thursday, 24 September 2026 | 12 Rabiulakhir 1448

e-FATWA

KAJIAN TERHADAP PROGRAM MOTIVASI EHATI ANJURAN DIYANA TAHIR

Keputusan:
Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang Bil 01 Tahun 2026 pada 27 dan 28 April 2026 telah memutuskan bahawa:


(a)Kedudukan Program Motivasi eHati Anjuran Nurdiyanah binti Haji Md Tahir yang dikenali sebagai Diyana Tahir daripada Syarikat eHati International Sdn. Bhd. dan pengikutnya atau mana-mana orang daripada syarikat, firma, pertubuhan, persatuan atau kumpulan yang mempunyai kaitan dengannya atau mana-mana orang lain yang mempunyai ciri-ciri penyelewengan termasuklah yang berikut adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam sepertimana berikut;

Aspek akidah;

  1. Mempercayai spiritualiti yang berlandaskan ideologi New Age Movement (NAM) dengan penggunaan konsep oneness (kebersatuan), light body, energy frequencies, self-realization dan sacred sexuality yang bercanggah dengan tauhid.
  2. Mendakwa manusia boleh bersatu dengan Allah atau alam semesta sebagaimana fahaman Wahdatul Wujud mulhidah/panteisme.
  3. Mentafsirkan ayat Nur ‘ala Nur (Surah al-Nur 24:35) dengan fahaman light body dan transformasi DNA spiritual.
  4. Menyerap fahaman pluralisme agama dengan mendakwa terdapat dua jalan menuju Tuhan iaitu jalan meditasi dan jalan cinta.
  5. Mendakwa roh memilih sendiri jalan hidup sebelum lahir (soul contract) yang bercanggah dengan konsep takdir.
  6. Mengamalkan kontemplasi hening di atas tanah tanpa alas kaki sebagai meditasi grounding/earthing berunsurkan amalan pagan earth worship dalam NAM.
  7. Mempercayai energi seksual boleh menarik keberlimpahan rezeki.
  8. Memuja tubuh (body worship) dengan menyanjung keinginan tubuh sebagai suci.
  9. Mengamalkan upacara rebirth atau kelahiran semula bagi mencapai tahap kesedaran baharu.
  10. Menggunakan kisah Raja Burung sebagai simbol kesedaran hakikat ketuhanan dalam diri manusia.
  11. Menjadikan pengalaman kematian palsu sebagai sumber kerohanian.
  12. Menjadikan pusat-pusat spiritualisme asing di Bali, Indonesia sebagai lokasi pemukiman penyembuhan spiritual. 

Aspek syariah;

  1. Menganjurkan program yang melampaui batas antara sesama wanita dengan alasan terapi diri seperti berbogel, berkucupan semasa sendiri dan mandi kolam bersama.
  2. Mengamalkan onani dan masturbasi dengan alasan self-healing.
  3. Mengajar kaedah squirting sebagai self-healing untuk kenikmatan, pelepasan trauma dan meningkatkan energi positif.
  4. Menganjurkan yoni massage pada organ sulit wanita walaupun oleh lelaki yang bukan suami atas alasan rawatan diri.
  5. Menormalisasi dan mempromosikan maksiat dengan mengajar amalan break the pattern seperti meninggalkan solat, berkelakuan gedik atau orgasme kendiri.
  6. Menyerupai amalan agama atau kepercayaan asing seperti kontemplasi hening berkaki ayam (grounding), seksualiti suci, upacara rebirth, meditasi sensual dan ritual tubuh.

Aspek Tasawuf;

  1. Menjadikan syahwat dan seks sebagai tazkiyah al-nafs untuk “pembersihan trauma” dan jalan mencapai spiritual.
  2. Berpegang dengan konsep ego dissolution yang menghapuskan batas haq dan batil sebagai maqam spiritual tertinggi.
  3. Menggantikan zikir dan ibadah dengan amalan jasmani erotik (yoni massage, body orgasm dan squirting) yang menyerupai ritual Tantra sebagai jalan kerohanian.
  4. Mencapai esensi diri menerusi amalan break the pattern seperti meninggalkan solat.
  5. Pencemaran maqam kerohanian Islam seperti syukur, ikhlas dan ma‘rifah yang diubah dengan “frekuensi energi” menerusi “carta kesedaran 12 dimensi” ala pseudo-sains NAM.
  6. Menjadikan hubungan intim tanpa klimaks selama 21 hari sebagai amalan spiritual untuk mencapai oneness.
  7. Mendakwa energi seksual boleh ditransformasikan menjadi energi Rohani (kekuatan Rohani).
  8. Mengelirukan konsep kasyaf dan karamah dengan mendakwa kepekaan batin boleh diperoleh melalui ritual seksual.
  9. Memutarbelitkan konsep mahabbah dan fana’ dengan ekstasi seksual untuk mencapai oneness.
  10. Mendakwa Latihan pernafasan (breathwork) dan perjalanan batin (inner journey) menerusi kaedah breath of fire, meditasi dan visualisasi boleh membawa kepada “jiwa sejati” atau fitrah. 

Aspek Akhlak;

  1. Mencemarkan maruah diri dan agama dengan aktiviti seperti berbogel, mendedahkan aurat dan urutan yoni oleh lelaki ajnabi.
  2. Mengaku berbohong mengajar ilmu keharmonian rumah tangga sebagai helah untuk menyebarkan ilmu transformasi spiritual.
  3. Mendedahkan rahsia hubungan intim suami isteri seperti teknik rangsangan, squirting dan pengalaman orgasme kepada orang lain.
  4. Mengekspoitasi kaum wanita bermasalah dengan mengenakan bayaran tinggi untuk menyertai program eHati demi keharmonian rumah tangga.

(b)Mana-mana orang hendaklah menjauhi ajaran, pegangan dan fahaman sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan (a) dan dilarang berpegang pada, mempercayai, mengajar, menyebarkan, mengamalkan atau menjadi pengikutnya atau agen. Mana-mana orang yang berpegang pada, mempercayai, mengajar, menyebarkan, mengamalkan atau menjadi pengikut ajaran, pegangan dan fahaman sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan (a) hendaklah segera bertaubat dengan taubat nasuha.

(c)Tiada seorang pun boleh memiliki, menyimpan, menjual, memuat naik, memuat turun, menyebarkan, mengedarkan, menggantungkan atau menerbitkan apa-apa poster, buku, majalah, risalah atau apa-apa bahan bacaan lain sama ada dicetak, ditaip, ditulis tangan atau dikeluarkan dalam apa-apa bentuk keluaran atau ulangannya, termasuklah apa-apa filem, audio visual, rakaman, laman sesawang, media cetak atau media elektronik yang mengandungi ciri-ciri ajaran, pegangan dan fahaman sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan (a).

(d)Mana-mana orang adalah dilarang daripada bersubahat dalam melakukan mana-mana perkara yang dilarang dalam perenggan (b) dan (c)

© Hakcipta Terpelihara Jabatan Mufti Negeri Pahang.
Laman ini sesuai dipapar menggunakan pelayar web Microsoft Edge & Google Chrome versi terkini.
Kemaskini Terakhir : 22 September 2026. Jumlah Pelawat : 1,947,499
Kembali ke Atas
Malaysia 95.5% Malaysia

Total:

142

Countries
1947499
Today: 2,333
This Week: 9,580
This Month: 47,336
This Year: 671,275