Accessibility Tools

  • Content scaling 100%
  • Font size 100%
  • Line height 100%
  • Letter spacing 100%
  • Thursday, 24 September 2026 | 12 Rabiulakhir 1448

e-FATWA

TRANSAKSI PELABURAN EMAS

Keputusan:
Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang Bil 01/2026 pada 27 & 28 April 2026 telah memutuskan hukum transaksi pelaburan emas adalah sepertimana berikut:


1.Hukum Jual Beli dalam Talian

a)Harus, sekiranya memenuhi syarat bay' al-sarf (emas wujud, harga jelas, serahan segera secara qabd hakiki atau hukmi).

b)Penggunaan gerbang pembayaran (payment gateway) semasa pembelian mestilah secara masa sebernar (real time).

c)Untuk tujuan belian semula oleh syarikat, adalah disyorkan penggunaan e-wallet patuh Syariah secara real time digunakan jika mampu untuk memastikan konsep yadan biyadin semasa bayaran wang kepada pelanggan ketika jualan semula berlaku dengan baik. Jika tidak berkemampuan, penasihat Syariah syarikat perlu memastikan struktur proses akad dan serahan wang dengan susunan yang tepat dengan kaedah taqabud dalam majlis akad.

2.Hukum Pemilikan Bersama dan Simpanan Emas

a)Harus dengan syarat bahagian setiap pemilik jelas, direkodkan, emas diasingkan (allocated dan segregated) dan hak pemilik untuk menuntut emas terpelihara.

b)Berasaskan prinsip menjaga kepentingan awam, syarikat adalah dilarang menggunakan emas pelanggan melalui akad alqard.

c)Proses penukaran emas (gold redemption) daripada pemilikan bersama kepada kepingan emas fizikal yang tersendiri dengan denominasi berat tertentu adalah dianggap sebagai tukaran emas dengan emas. Justeru, sebarang caj yang dikenakan oleh syarikat hendaklah tidak melebihi daripada kos sebenar (taklufah fi’liyyah) bagi mengelakkan berlaku riba al-fadhl

d)Proses penebusan emas fizikal (redemption) mestilah mengambil masa yang munasabah dan dijelaskan secara kepada pelanggan.

3.Perlindungan Emas dengan Takaful dan Trustee

a)Emas milik pelanggan yang disimpan oleh syarikat hendaklah dilindungi oleh takaful, juga didaftarkan di bawah seliaan syarikat pemegang amanah berlesen.

4.Hukum Prapesanan (Pre-Order) Emas

a)Harus jika emas telah wujud dan pembayaran awal menggunakan konsep wa’ad dan hamisy jiddiyyah, manakala akad berlaku selepas bayaran penuh dan emas sedia untuk diserahkan.

b)Tidak harus sekiranya emas belum wujud ketika akad.

5.Hukum Struktur Leveraj

a)Pelaburan emas berasaskan tawarruq dengan menggabungkan dengan cagaran pada asasnya adalah harus jika semua syarat Syariah dipatuhi, namun memerlukan tahap kawal selia dan tadbir urus yang ketat dan tinggi sebagaimana penyeliaan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC).

b)Berasaskan kaedah sadd al-zari’ah, transaksi emas yang tidak berada dalam kawalan regulator dalam (a) penggunaan pembiayaan secara murabahah untuk tujuan leveraj adalah dilarang kerana terdapat risiko ketidakpatuhan syariah dan kerugian kepada masyarakat awam.

6.Hukum Easy Payment Purchase (EPP)

a)Harus jika dilaksanakan melalui konsep wa’ad dan deposit sekuriti (hamisy jiddiyyah) manakala akad jual beli selepas bayaran penuh dan wang deposit pelanggan tidak boleh digunakan oleh pihak syarikat dalam tempoh tersebut. Ia perlu dinyatakan secara jelas dalam kontrak dengan pembeli. Walau bagaimanapun, ia berisiko mempunyai implikasi perundangan terutama berkenaan isu pengambilan deposit, yang perlu diambil kira oleh syarikat.

b)Sebarang penalti yang dikenakan terhadap pelanggan mestilah berasaskan kepada kos sebenar kerugian syarikat akibat kemungkiran pelanggan terhadap janji pembelian emas.

c)Tidak harus jika akad dianggap berlaku sejak bayaran pertama kerana mengandungi riba al-nasi’ah.

7.Hukum Pembelian Emas Melalui Platform Pihak Ketiga 

a)Harus, jika platform dianggap sebagai wakil bersama (wakil musytarak) dan tempoh penghantaran dianggap sebahagian daripada majlis akad berdasarkan uruf urus niaga dalam talian.

b)Tidak boleh diletakkan khiyar syarat oleh platform pihak ketiga.

c)Jika terdapat unsur khiyar syarat seperti polisi pemulangan (return policy) yang tidak memerlukan persetujuan penjual, maka penggunaan platform ini tidak dibenarkan.

d)Khiyar Aib adalah dibenarkan supaya wang pelanggan wajib dikembalikan untuk mengelakkan daripada penipuan dan tidak amanah oleh penjual.

Perkara ini hendaklah dibaca bersama dengan keputusan Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke-117 yang bersidang pada 25 hingga 29 Ogos 2020 berkaitan Penggunaan eWallet Mengikut Perspektif Syarak.

© Hakcipta Terpelihara Jabatan Mufti Negeri Pahang.
Laman ini sesuai dipapar menggunakan pelayar web Microsoft Edge & Google Chrome versi terkini.
Kemaskini Terakhir : 22 September 2026. Jumlah Pelawat : 1,947,499
Kembali ke Atas
Malaysia 95.5% Malaysia

Total:

142

Countries
1947499
Today: 2,333
This Week: 9,580
This Month: 47,336
This Year: 671,275