
12 May 2025
Hukum Cas Telefon Bimbit Peribadi Di Dalam Masjid
Pendahuluan
Perbahasan hukum hakam yang berkaitan dengan wakaf dan masjid sudah banyak ditulis secara khusus oleh para ulama’. Misalnya, kitab I’lam as-Sajid fi Ahkam al-Masajid karangan Imam az-Zarkasyi, Taisir al-Wuquf karangan Imam al-Munawi, Fiqh al-Masajid karangan Dr. Hassani Muhammad Nor, Majma’ az-Zawaid karangan Syaikh Muhammad Muhibbin al-Basuruwani dan lain-lain. Hukum hakam berkaitan masjid termasuk perbahasan fiqh yang paling popular dan seringkali dipertanyakan oleh masyarakat awam. Mutakhir ini, berlegar tentang perbahasan persoalan tentang hukum cas telefon bimbit peribadi dalam masjid. Hukum permasalahan ini memang belum pernah dibahas secara khusus dalam kitab-kitab turath secara spesifik. Oleh itu, hukum dalam permasalahan ini boleh dikategorikan sebagai masalah ijtihad (ijtihadiyah) yang membuka ruang untuk berbeza pendapat.
Hukum Cas Telepon Bimbit Dalam Masjid
Sebelum artikel ini ditulis, telah wujud beberapa diskusi yang melibatkan beberapa ustaz dan penuntut ilmu di media sosial, tentang hukum seseorang yang mengecas telefon bimbit peribadi di dalam masjid dengan menggunakan punca tenaga elektrik masjid. Kalangan daripada mereka ada yang menghukum haram. Dari sudut penghujahan, hujah mereka memang tidak sarih (jelas), tetapi hanya ilhaq (disamakan) dengan hukum yang sudah diperbahaskan oleh ulama’. Dan hujah-hujah tersebut dapat disimpulkan sebagai berikut:
Pertama: Haram kerana dikira mengambil hak milik masjid dan elektrik yang merupakan milik masjid disamakan dengan minyak lampu yang digunakan sebagai penerang masjid.
Imam as-Suyuthi dalam al-Asybah wa an-Nazhair berkata:
وَمِنْهَا: يَحْرُمُ أَخْذُ شَيْءٍ مِنْ أَجْزَائِهِ، وَحَجَرِهِ وَحَصَاهُ وَتُرَابِهِ وَزَيْتِهِ وَشَمْعِهِ، ذَكَرَهُ فِي شَرْحِ الْمُهَذَّبِ.
Imam an-Nawawi dalam al-Majmu’ syarah al-Muhadzdzab berkata:
لَا يَجُوزُ أخذ شئ مِنْ أَجْزَاءِ الْمَسْجِدِ كَحَجَرٍ وَحَصَاةٍ وَتُرَابٍ وَغَيْرِهِ وقد سبق في هذه المسائل تَحْرِيمُ التَّيَمُّمِ بِتُرَابِ الْمَسْجِدِ وَمِثْلُهُ الزَّيْتُ وَالشَّمْعُ الَّذِي يُسْرَجُ فِيهِ
Dua ucapan ulama’ besar Syafi’iyah diatas menjelaskan bahawa haram mengambil juzu’-juzu’ masjid, seperti batu masjid, tanah masjid, minyak lampu masjid dan lain-lain untuk keperluan peribadi.
Kedua: Haram kerana dikira seperti hukum haramnya memindahkan air wakaf (musabbal) untuk minum dari tempat asalnya. Pendapat ini mengambil hujah dari ucapan beberapa ulama’ fiqh, salah satunya Syaikh Nawawi al-Bantani dalam kitab Nihayah al-Zain berikut:
وَلَا يجوز نقل المَاء المسبل للشُّرْب من مَحَله إِلَى مَحل آخر كَأَن يَأْخُذهُ للشُّرْب فِي بَيته مثلا
Ucapan ini menjelaskan bahawa haram mengambil air minum musabbal dari tempat asalnya untuk diminum di rumah atau di tempat lain.
ANALISIS TERHADAP HUJAH YANG MENGHARAMKAN
a. Analisis Hujah Pertama:
Nukilan haram daripada Imam an-Nawawi dan Imam as-Suyuthi berkait hukum mengambil juzu’-juzu’ masjid, termasuk minyak masjid, bukan kesepakatan ulama’ mazhab Syafi’i, tetapi masalah khilafiyah. Dalam kitab an-Nihayah, sebagaimana nukilan Imam az-Zarkasyi dalam kitab I’lam as-Sajid dinyatakan hukumnya hanya makruh..
يحرم إخراج الحصى والحجر، والتراب وغيره من أجزاء المسجد منه ذكره في شرح المهذب، ومثله الزيت والشمع، وفي الحديث إن الحصاة لتناشد الذي يخرجها من المسجد، رواه أبو داود، وقال ابن عباس لنفيع ردها وإلا خاصمتك يوم القيامة رواه ابن أبي شيبة، وكلام النهاية في أثناء الكلام على مبيت مزدلفة يقتضي الكراهة فإنه قال: ويكره أخذ حصى الجمار من المسجد والحش.
"Diharamkan mengeluarkan batu kecil, batu besar, tanah dan selainnya daripada bahagian-bahagian masjid keluar daripadanya sebagaimana yang disebutkan dalam Syarh al-Muhadhdhab. Begitu juga hukumnya terhadap minyak dan lilin. Dalam hadis disebutkan: ‘Sesungguhnya batu kecil itu akan menuntut orang yang mengeluarkannya dari masjid.’ Diriwayatkan oleh Abu Dawud. Dan Ibn ‘Abbas berkata kepada Nafi‘: ‘Pulangkan ia (batu itu), jika tidak, aku akan menuntutmu pada Hari Kiamat.’ Diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah. Dan kata-kata dalam kitab al-Nihayah, ketika membincangkan tentang bermalam di Muzdalifah, menunjukkan kepada hukum makruh, kerana beliau berkata: ‘Dimakruhkan mengambil batu melontar (jamarat) dari masjid dan dari tempat buang air (hush).’”
Maksudnya, mengambil juzu’ masjid, termasuk minyak masjid, hukumnya dalam mazhab Syafi’i masih menjadi khilafiyah antara makruh dan haram. Sudah semestinya hukum cas telefon bimbit menggunakan tenaga elektrik masjid juga merupakan masalah khilaf yang lebih ringan lagi.
Tambahan lagi, menyamakan (ilhaq) hukum cas telefon bimbit diatas dengan hukum mengambil juzu’ atau minyak milik masjid agak kurang tepat kerana semasa aktiviti cas telefon berjalan, ia tidak ada mengambil juzu' apa pun dari masjid kerana tenaga elektrik merupakan kategori aset yang tidak habis memandangkan sentiasa dibekalkan, berbanding minyak masjid, yang akan kehabisan bila digunakan. Oleh yang demikian, perbandingan tersebut kurang tepat kerana walaupun kedua-duanya milik masjid, namun terdapat perbezaan ketara dari sudut jenis aset. Jika hendak dikiaskan, air mata air atau air laluan sungai yang ada di masjid lebih tepat dikiaskan dengan elektrik..
b. Analisis Hujah Kedua:
Hujah hukum haram cas telefon bimbit di dalam masjid kerana disamakan (ilhaq) dengan hukum menggunakan air musabbal (walau ia lebih dekat dengan hukum sedekah untuk digunakan pada sesuatu tempat) diluar tempatnya juga perlu dikaji dengan mendalam.
Dalam Fatwa Imam Ibn Hajar disebutkan:
وفي الخادم عن العبادي أنه يحرم حمل شيء من المسبل إلى غير ذلك المحل كما لو أباح لواحد طعاماً ليأكله لا يجوز له حمل الحبة منه ولا صرفه إلى غير ذلك الأكل ثم قال وفي هذا تضييق شديد وعمل الناس على خلافه من غير نكير
"Dan dalam kitab al-Khadim, daripada al-‘Abbadi, bahawa diharamkan membawa sesuatu dari harta yang disedekahkan (المُسَبَّل) ke tempat lain yang bukan tempat asalnya; sebagaimana jika seseorang mengizinkan kepada seseorang yang lain untuk makan suatu makanan, maka tidak dibenarkan baginya membawa walaupun sebutir daripadanya ataupun mengalihkannya kepada bentuk selain makan tersebut. Kemudian beliau berkata: Dan ini merupakan penyempitan yang berat, sedangkan amalan manusia adalah bertentangan dengannya tanpa ada pengingkaran."
Dari fatwa ini boleh difahami, larangan atau hukum haram membawa air musabbal untuk minum keluar tempatnya, menurut Imam al-Abbadi agak menyempitkan dan bahkan menyelisihi apa yang dilakukan masyarakat dengan tanpa adanya pengingkaran sama sekali daripada para ulama’. Ringkasnya, hukum masalah ini juga terjadi khilafiyah antara yang mengatakan haram dan yang tidak.
Menyamakan hukum cas telefon bimbit dalam masjid dengan hukum menggunakan air musabbal keluar dari tempatnya juga adalah perbandingan yang kurang tepat kerana masalah air musabbal ini hanyalah berkisar tentang memindahkan air dari tempatnya, manakala permasalahan cas telefon bimbit adalah permasalahan menggunakan sesuatu yang tidak mengurangkan aset masjid fizikal, hanya sedikit penambahan bayaran eletrik. Lebih-lebih lagi pengguna biasanya terdesak untuk menggunakannya, kebiasaannya untuk berjaga-jaga alat perhubungan dengan keluarga dan teman-teman akan terpadam.
HUJAH-HUJAH YANG MENGHARUSKAN AKTIVITI CAS TELEFON BIMBIT PERIBADI DI MASJID
Perlu diingatkan terlebih dahulu, JIKA penyediaan kemudahan cas telefon bimbit di masjid atau menggunakan tenaga elektrik masjid langsung manfaatnya tidak kembali ke masjid, maka yang demikian itu hukumnya adalah haram atau tidak boleh menurut Ulama Mazhab Syafi’i
Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata:
وَلَا يَجُوزُ اسْتِعْمَالُ حُصْرِ الْمَسْجِدِ وَلَا فِرَاشِهِ فِي غَيْرِ فُرُشِهِ مُطْلَقًا سَوَاءً أَكَانَ لِحَاجَةٍ أَمْ لَا وَاسْتِعْمَالُهَا فِي الْأَعْرَاسِ مِنْ أَقْبَحِ الْمُنْكَرَاتِ الَّتِي يَجِبُ عَلَى كُلِّ أَحَدٍ إنْكَارُهَا وَقَدْ شَدَّدَ الْعُلَمَاءُ النَّكِيرَ عَلَى مَنْ يَفْرِشُهَا بِالْأَعْرَاسِ وَالْأَفْرَاحِ وَقَالُوا يَحْرُمُ فَرْشُهَا وَلَوْ فِي مَسْجِدٍ آخَرَ،
"Dan tidak dibolehkan menggunakan tikar masjid dan alasnya di tempat selain dari hamparan masjid itu secara mutlak, sama ada kerana keperluan atau tidak. Dan penggunaannya dalam majlis perkahwinan merupakan antara kemungkaran yang paling buruk, yang wajib atas setiap orang untuk mengingkarinya. Para ulama telah sangat keras dalam mengecam orang yang menghamparkannya dalam majlis perkahwinan dan majlis kegembiraan, dan mereka berkata: 'Haram menghamparkannya, sekalipun di dalam masjid yang lain.'"
Diatas adalah dalam konteks menggunakan aset masjid yang tidak mendatangkan faedah kepada masjid, namun begitu, JIKA penyediaan kemudahan cas telefon bimbit boleh menjadi salah satu daya tarikan masyarakat untuk hadir ke masjid untuk solat dan memakmurkan masjid, maka hukumnya berubah kepada harus.Akan tetapi jika pihak masjid menyediakan cas telepon dengan tujuan agar orang-orang semakin tertarik datang shalat atau beribadah di masjid, maka hukum menyediakan dan menggunakannya cas tersebut adalah harus atau tidak haram.
Apatah pengguna biasanya terdesak untuk menggunakannya, kebiasaannya untuk berjaga-jaga alat perhubungan dengan keluarga dan teman-teman akan terpadam. Keharusan menggunakannya pasti boleh menjadi peggalak kepada masyarakat menjadi rapat dengan masjid.
Dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin disebutkan:
ويجوز بل يندب للقيم أن يفعل ما يعتاد في المسجد من قهوة ودخون وغيرهما مما يرغب نحو المصلين ، وإن لم يعتد قبل إذا زاد على عمارته.
"Dan dibolehkan, bahkan disunatkan bagi penjaga masjid (القيّم) untuk melakukan apa yang menjadi kebiasaan di masjid seperti menyediakan kopi, membakar gaharu, dan selainnya yang boleh menarik hati para jemaah, sekalipun perkara itu belum menjadi kebiasaan sebelumnya — jika ia menambahkan lagi kemakmuran (imarah) masjid."
Dalam Ziyadah Risalah al-Amajid ditambahkan:
يدخل في قوله أي صاحب البغية (وغيرهما) ما يعتاد في المساجد من الألة المكبرة للصوت المسماة بلود سفيكر أي ان زادت على عمارته وهي تغب نحو المصلين جاز شرائها والا فلا
"Termasuk dalam kata-kata (dan selain keduanya) — menurut pengarang al-Bughyah — ialah perkara yang telah menjadi kebiasaan di masjid seperti alat pembesar suara yang dinamakan "loud speaker". Maka jika ia menambahkan kepada kemakmuran masjid dan menarik perhatian para jemaah, maka dibolehkan membelinya; jika tidak, maka tidak (dibenarkan)."
Kesimpulan dari maksud dua ibarat diatas adalah, digalakkan memakmurkan masjid agar semakin ramai orang mahu datang solat dan beribadah di masjid. Dan nazir atau jawatankuasa masjid diperbolehkan membeli sesuatu yang dapat menyokong niat atau program tersebut.Dalam Ziyadah Risalah al-Amajid disebutkan:
قال ابن حجر في فتاويه وَعَنْ الْبَغَوِيِّ وَغَيْرِهِ أَنَّ الْمَوْقُوفَ عَلَى مَصْلَحَةِ الْمَسْجِدِ أَوْ عَلَى الْمَسْجِدِ يَجُوزُ شِرَاءُ الْحُصْرِ وَالدُّهْنِ مِنْهُ، وَالْقِيَاسُ جَوَازُ الصَّرْفِ إلَى الْمُؤَذِّنِ وَالْإِمَامِ أَيْضًا اهـ. والصَّرْفُ عَلَى نحو المنارة والبئر والبركة لَيْسَ مِنْ حَيْثُ ذَاتِهَا بَلْ مِنْ حَيْثُ انْتِفَاعِ الْمَسْجِدِ بِهَا كَالصَّرْفِ عَلَى رِشَاءِ الْبِئْرِ وَمُؤَذِّنٍ عَلَى الْمَنَارَةِ انتهى كلام اب حجر وهو يفيد أن ما عاد نفعه للمسجد والمصلين فيه يجوز الصرف عليه من الموقوف على مصالح المسجد من ذلك البركة وموضع خروج الماء منها الى الخارج او الى البحر فان ذلك مما يعود نفعه على المصلين في المصلين فانه يلزم من ذلك كثرة المصلين في المسجد عادة.
"Telah berkata Ibn Hajar dalam fatwanya: Dan daripada al-Baghawi dan selainnya bahawa harta wakaf yang diperuntukkan untuk kemaslahatan masjid, atau yang diwakafkan kepada masjid, dibolehkan membeli tikar dan minyak daripadanya. Dan menurut qiyas (analogi), dibolehkan juga perbelanjaan kepada bilal dan imam. Tamat. Dan perbelanjaan untuk perkara seperti menara azan, telaga, dan kolam bukanlah kerana zatnya, tetapi kerana manfaatnya kepada masjid — seperti perbelanjaan untuk timba telaga atau untuk bilal yang berada di menara. Tamat kata-kata Ibn Hajar. Dan ia memberi faedah bahawa apa sahaja yang manfaatnya kembali kepada masjid dan jemaahnya, maka dibolehkan perbelanjaan daripada harta wakaf yang diperuntukkan untuk maslahat masjid. Termasuk dalam hal itu ialah kolam dan tempat aliran air daripadanya ke luar atau ke laut, kerana hal itu memberi manfaat kepada para jemaah masjid, dan lazim daripadanya ialah bertambahnya jemaah masjid secara kebiasaan."
[1] Ziyadah Risalah al-Amajid ms. 82.
[1] Ziyadah Risalah al-Amajid ms. 80.Kesimpulan
Aktiviti mengecas telefon bimbit di masjid adalah kembali kepada perbahasan menggunakan fasiliti masjid. Menurut para ulama’, menggunakan fasiliti masjid yang sama sekali tidak ada manfaat yang kembali kepada masjid atau tidak menambah semangat masyarakat muslim datang beribadah ke masjid, hukumnya adalah haram, seperti menggunakan tikar masjid, pembesar suara masjid, mimbar masjid dan lain-lain. Termasuk di dalamnya adalah menggunakan elektrik masjid untuk cas telefon bimbit dan lain-lain.
Akan tetapi jika pihak masjid menyediakan kemudahan cas dengan tujuan menarik masyarakat semakin ramai datang ke masjid untuk beribadah, sepertimana jawatankuasa masjid membeli makanan jamuan atau kopi atau apa pun yang berpotensi menarik orang datang beribadah ke masjid, maka hukumnya adalah harus dan menggunakannya juga hukumnya harus.
Untuk mengelakkan khilaf pandangan, pihak masjid boleh menambahkan mandat penggunaan wang tabung masjid untuk tujuan memberi kemudahan jemaah mengecas telefon mereka sekiranya mereka terdesak membuat pengecasan tersebut. Langkah ini pasti memudahkan mereka yang bermusafir dan beriktikaf di masjid.