Accessibility Tools

  • Content scaling 100%
  • Font size 100%
  • Line height 100%
  • Letter spacing 100%
  • Saturday, 21 June 2025 | 24 Zulhijjah 1446

Kenyataan Media

16 April 2025

ISU PENCEROBOHAN TANAH: SERUAN MENJAGA AMANAH DAN KEMASLAHATAN UMMAH

Jabatan Mufti Negeri Pahang menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Darul Makmur, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung isu pencerobohan tanah secara haram di Negeri ini. Titah Baginda agar rakyat menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa adalah satu amanah besar demi menjaga kelestarian Negeri serta kedaulatan undang-undang dan syarak.

Pencerobohan tanah sama ada melalui perlombongan haram, penerokaan tanah, perladangan atau pembinaan infrastruktur tanpa kebenaran bukan sahaja satu pelanggaran undang-undang, bahkan merupakan satu bentuk kemungkaran, pengkhianatan amanah dan jenayah syarie yang membawa kepada kerosakan bumi serta penindasan terhadap rakyat. Pencerobohan tanah tersebut pula tidak boleh menggunakan  konsep Ihya' Al Mawat (mengusahakan tanah terbiar) kerana memberi mudarat kehilangan tanah yang besar kepada kerajaan untuk melaksanakan projek yang bermanfaat kepada seluruh rakyat. Konsep Ihya' Al-Mawat hanya dapat dilaksanakan jika ia menjadi dasar kerajaan. Dalam konteks sekarang rakyat wajib mendapatkan kelulusan permit oleh kerajaan kerana semua rakyat tertakluk kepada undang-undang melalui Akta Kanun Tanah Negara 1965.

Islam menegaskan larangan keras terhadap perbuatan ini. Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ ظَلَمَ قَيْدَ شِبْرٍ مِنْ أَرْضٍ طَوَّقَهُ مِنْ سَبْعِ أَرَضِينَ

"Sesiapa yang mengambil sejengkal tanah secara zalim, maka akan dikalungkan di lehernya tanah itu dari tujuh lapis bumi pada hari kiamat." (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Tindakan ini termasuk dalam kategori al-ghasab merampas hak orang lain secara zalim  yang diharamkan oleh syarak. Ia turut mencabul prinsip hifz al-mal (penjagaan harta) dalam Maqasid al-Syariah dan mencabar peranan ulil amri dalam memelihara keadilan dan kemaslahatan ummah.

Maka, Jabatan Mufti Negeri Pahang menyeru:

  1. Pihak berkuasa yang dipertanggungjawabkan agar melaksanakan penguatkuasaan secara tegas, telus dan berintegriti, berpaksikan prinsip hisbah dan amar ma’ruf nahi mungkar. Tindakan ini hendaklah dilakukan secara konsisten.
  2. Rakyat jelata agar mematuhi titah Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku Sultan dengan bekerjasama menyalurkan maklumat berkenaan sebarang pencerobohan yang berlaku.
  3. Semua pihak agar memahami bahawa membiarkan kerosakan di bumi membawa kepada bala dan azab, sebagaimana firman Allah SWT:

وَلَا تُفۡسِدُوا۟ فِی ٱلۡأَرۡضِ بَعۡدَ إِصۡلَـٰحِهَا

Dan janganlah kalian membuat kerosakan di atas muka bumi setelah ia diperbaiki.” (QS al-A‘rāf: 56)

Jabatan Mufti Negeri Pahang menyokong penuh segala usaha pihak Kerajaan Negeri dan Agensi Penguat Kuasa dalam menangani isu ini, demi memastikan bumi Pahang terus diberkati dan dilindungi daripada segala bentuk kemudaratan duniawi dan ukhrawi.

PROF. DATO' DR. ASMADI BIN MOHAMED NAIM. DSSS., PMK.
SAHIBUS SAMAHAH MUFTI NEGERI PAHANG

15 APRIL 2025M BERSAMAAN 16 SYAWAL 1446H

© Hakcipta Terpelihara Jabatan Mufti Negeri Pahang.
Laman ini sesuai dipapar menggunakan pelayar web Microsoft Edge & Google Chrome versi terkini.
Kemaskini Terakhir : 19 June 2025. Jumlah Pelawat : 938,190
Kembali ke Atas
Malaysia 96.1% Malaysia
United States of America 2.3% United States of America

Total:

84

Countries
938190
Today: 396
This Week: 7,830
This Month: 122,211
This Year: 331,526