Accessibility Tools

  • Content scaling 100%
  • Font size 100%
  • Line height 100%
  • Letter spacing 100%
  • Ahad, 22 Disember 2024 | 20 Jamadil Akhir 1446

e-FATWA

PANDANGAN HUKUM BERKENAAN AL-MUKHANATH MENURUT FIQH DAN PERUBATAN SERTA KAITANNYA DENGAN TRANSGENDER

PANDANGAN HUKUM BERKENAAN AL-MUKHANATH MENURUT FIQH DAN PERUBATAN SERTA KAITANNYA DENGAN TRANSGENDER KMJPHS 23/2022

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang (JPHSNP) Bilangan 03/2022 yang bersidang pada 3 & 4 Ogos 2022 telah membuat keputusan seperti berikut :-

Keputusan :
Mesyuarat berpandangan seperti berikut:
  1. Dari Sudut Fiqh:
  2. Mukhannath adalah lelaki yang berperwatakan lembut dan berkelakuan seperti wanita, sama ada dalam pertuturan, pergerakan, tingkah laku atau berpakaian.
  3. Mukhannath terbahagi kepada dua golongan. Golongan yang pertama adalah mukhannath khalqi iaitu yang semulajadi lembut. Manakala golongan kedua ialah mukhannath ghair khalqi iaitu bukan semulajadi. Dalam erti kata lain, kelembutan dan penyerupaan kepada wanita itu dibuat-buat dan diada-adakan.
  • Ulama fiqh telah mengklasifikasikan khunsa kepada dua kategori, iaitu khunsa wadih (jelas status jantinanya). Ini bermakna, dapat difahami berdasarkan penjelasan ulama’ bahawa khunsa bermaksud seseorang yang tidak jelas kedudukan jantinanya sebagai lelaki atau wanita kerana alat kelamin yang tidak normal.
  1. Dari Sudut Perubatan pula:
  2. Lelaki effeminate adalah mukhannath khalqi yang mempunyai ciri-ciri kewanitaan secara semulajadi.
  3. Lelaki yang menyerupai wanita (transgender ) adalah mukhannath ghair khalqi yang merasakan identiti gender mereka adalah bertentangan dengan jantina sewaktu dilahirkan, mereka merubah diri kepada jantina yang bertentangan sama ada dengan cara berpakaian, tingkah laku, pengambilan hormon atau pembedahan menukar jantina (sex reassignment surgery).
  • Khunsa adalah mereka yang mempunyai keabnormalan perkembangan jantina (disorder of sex development ) sama ada di peringkat kromosom, gonad, hormon, genitalia dalaman atau genitalia luaran yang dapat disahkan oleh ujian perubatan.
  1. Kedua-dua mukhannath khalqi dan mukhannath ghair khalqi adalah mereka yang tidak mempunyai keabnormalan perkembangan jantina (disorder of sex development ) sama ada di peringkat kromosom, gonad, hormon, genitalia dalaman atau genitalia luaran yang dapat disahkan oleh ujian perubatan.
  2. Sehubungan itu, transgender atau dalam masyarakat Malaysia dikenali sebagai ‘mak nyah’ dikategorikan dalam golongan mukhannath ghair khalqi atau bukan khunsa kerana mereka bukan semulajadi dan tiada masalah dari segi fisiologi serta perkembangan jantina.
  3. Seseorang yang dilahirkan lembut semulajadi (mukhannath khalqi ) sekalipun, sekiranya dia melampaui batas dengan melakukan perbuatan (al-tashabbuh bi an-nisa’) iaitu penyerupaan kepada wanita, maka ia juga termasuk dalam perbuatan yang diharamkan.
  4. Hukum Fiqh yang berkaitan bagi golongan transgender adalah seperti berikut:
Isu Dan PersoalanCadangan Penentuan Hukum
a) Hukum Bersalaman Dengan Transgender Hukum seorang lelaki bersalaman dengan mukhannath dilihat pada situasi. Sekiranya menimbulkan fitnah dan beserta syahwat, maka haram hukumnya bersalaman dengan golongan ini. Sekiranya selamat dari fitnah dan tidak timbul syahwat pada detik awal ketika memandang maka harus untuk bersalaman. Walaubagaimanapun, sekiranya mukhannath tersebut merupakan golongan yang gemar mempamerkan kemaksiatan mereka (mujaharah bi al-su’), tidak dicadangkan untuk bersalam-salaman apatah lagi berpelukan dengan mereka.
b) Hukum Transgender Yang Melakukan Persetubuhan Luar Nikah Jika seorang transgender melakukan hubungan seksual tanpa nikah, maka hukumannya disesuaikan dengan melihat kepada pasangannya dalam hubungan tersebut.

Ini kerana mukhannath adalah lelaki pada asal penciptaannya dan dikenakan hukuman sebagai seorang lelaki jika melakukan jenayah. Jika pasangannya lelaki, maka dijatuhkan hukuman homoseksual (gay) kerana ia adalah hubungan sesama jenis. Manakala jika pasangannya wanita, ia dijatuhkan hukuman zina.
c) Hukum Berkhalwat Atau Tinggal Serumah Dengan Transgender Haram tinggal serumah dengan golongan ini jika hanya berdua-duaan dalam satu rumah dan juga haram berdua-duaan atau bersunyi-sunyian di mana sahaja kerana terdapat unsur fitnah dan syahwat. Semua perkara yang mendorong kepada zina dan liwat adalah haram.
d) Hukum Transgender Memelihara Anak Angkat Isu yang penting berkenaan dengan pengambilan anak angkat ini adalah berkenaan dengan batasan aurat dan pergaulan sebaik sahaja anak ini sebaik sahaja mencecah usia baligh. Dari sudut hubungan anak angkat perempuan dengan bapa angkat dan juga anak angkat lelaki dengan ibu angkat. Secara asasnya, anak angkat yang telah sampai usia baligh yang berlainan jantina dengan ibu bapa mereka merupakan ajnabi (orang asing) kepada mereka.

Ini kerana pada umumnya anak ini tidak mempunyai hubungan nasab (keturunan) dengan ibu bapa angkat mereka mengambil anak angkat lebih-lebih lagi yang bertentangan jantina dengannya.
e) Hukum Transgender Menyertai Solat Jemaah Seorang transgender yang mengerjakan solat sebagai seorang lelaki, sah solatnya berjemaah dalam saf bersama jemaah lelaki.

– Hukum Transgender Menjadi Imam Solat
– Hukum Transgender Mengerjakan lbadah Haji dan Umrah
Transgender dianggap golongan yang fasik dan berdosa. Maka, bagi mazhab Hanafi dan Syafie serta satu pandangan dalam Mazhab Maliki, makruh imam yang fasik.

Bagi Mazhab Maliki dan Hanbali pula, batal dan tidak sah orang yang fasik menjadi imam.
Hukum ibadat haji transgender adalah hukum ibadat haji lelaki dalam semua perkara. Begitu juga ibadah umrah. Hendaklah ibadah tersebut dilakukan mengikut hukum asal kejadian dirinya iaitu lelaki. Seorang transgender sewajibnya bertaubat dahulu daripada perlakuannya yang terkutuk dan kembali kepada fitrah asal lelaki untuk menunaikan ibadah haji dan umrah. Sekiranya ia tetap menunaikan ibadah haji atau umrah dalam keadaan jantina yang bertentangan dengan jantina asalnya, ibadah haji dan umrahnya sah jika mematuhi rukun haji dan umrah, namun perbuatannya tetap haram dan berdosa. Malah, dia dikenakan dam kerana melanggar wajib haji dan umrah.
f) Hukum Pengurusan Jenazah Transgender Dalam pengurusan jenazah, orang yang paling afdal atau utama menguruskannya adalah dari kalangan keluarga atau ahli waris yang terdekat. Oleh kerana itu, pengurusan jenazah transgender dicadangkan mengikut tertib berikut:
  • Ahli keluarga atau ahli waris.
  • Rakan transgender.
  • Pengurus jenazah lelaki.
g) Hukum Pewarisan Harta Bagi Transgender Hukum pewarisan transgender tidak sama dengan golongan khunsa kerana transgender telah mengubah sifat dan fizikalnya serta telah mengubah ciptaan Allah yang asal dengan sengaja. Sedangkan khunsa itu seseorang yang dilahirkan dalam keadaan semulajadi yang memiliki dua alat kelamin atau memiliki alat kelamin yang tidak dapat dipastikan (ambiguous genitalia).

Dalam pembahagian harta pusaka, transgender mengikut hukum jantina asal iaitu hukum pewarisan bagi seorang lelaki. Ini bermakna jika seorang transgender itu pada asalnya dilahirkan sebagai seorang lelaki, maka harta yang layak diterima adalah bahagian lelaki, walaupun dari sudut zahirnya dia kelihatan seperti seorang perempuan.

Justeru, hukum pewarisan harta pusaka bagi seorang transgender (transwoman l mak nyah) adalah mengikut jantina asal iaitu lelaki kerana ia dilahirkan sebagai seorang lelaki.
h) Hukum Perwalian Transgender Mengikut pendapat Mazhab Syafi’e dan Hambali, wali fasiq tidak boleh atau tidak sah menjadi wali nikah. Wali yang fasiq, iaitu tidak adil dan tidak boleh mengahwinkan perempuan yang beriman, bahkan hak perwalian berpindah kepada wali adil yang seterusnya mengikut urutan. (aI-Fiqh al- Manhaji, 2/558).

Justeru, dalam kes seorang transgender yang menjadi wali, kefasikannya telah terserlah secara zahir dan ia dikenali sebagai seorang yang telah melanggar perintah Allah kerana menyerupai wanita. Kerana itu, tidak sah bagi seorang transgender menjadi wali dalam pernikahan.

Oleh itu, golongan transgender tidak boleh menjadi wali kerana tidak memenuhi salah satu syarat dan kelayakan untuk menjadi wali iaitu adil.

i) Oleh yang demikian, segala hukum hakam fiqh berkaitan transgender adalah mengikut jantina asal iaitu lelaki.
© Hakcipta Terpelihara Jabatan Mufti Negeri Pahang.
Laman ini sesuai dipapar menggunakan pelayar web Microsoft Edge & Google Chrome versi terkini.
Kemaskini Terakhir : 17 Disember 2024. Jumlah Pelawat : 602,918
Kembali ke Atas
Malaysia 89.2% Malaysia
United States of America 8.5% United States of America

Jumlah:

46

Countries
602918
Hari Ini: 110
Minggu Ini: 2,704
Bulan Ini: 8,505
Tahun Ini: 27,333