Accessibility Tools

  • Content scaling 100%
  • Font size 100%
  • Line height 100%
  • Letter spacing 100%
  • الأربعاء، 19 تشرين2/نوفمبر 2025 | 28 Jamadilawal 1447

Panduan & Rujukan

Hukum Mengulangi Umrah Di sisi Jumhur Ulama
14 تشرين2/نوفمبر 2025

Hukum Mengulangi Umrah Di sisi Jumhur Ulama

Umrah ialah ibadah ziarah ke Baitullah di Makkah Al-mukarramah yang disyariatkan kepada umat Islam sebagai bentuk ketaatan dan pengabdian kepada Allah SWT. Ia dilaksanakan dengan menunaikan beberapa rukun utama, iaitu niat ihram, tawaf mengelilingi Kaabah, sa‘i antara Safa dan Marwah, tahallul dengan memotong rambut serta Tertib mengikut turutan. Berbeza dengan haji, umrah boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang tahun. dan perbahasan mengenai hukum mengulanginya dalam tempoh yang singkat termasuk dalam bulan yang sama telah menjadi topik fiqh yang diperbahaskan dan dikhilafkan sejak zaman ulama fiqh terdahulu lagi.
.
1. Pendahuluan
.
Umrah ialah ibadah yang telah disyariatkan dalam banyak nas-nas al-Quran dan al-sunnah sehingga bilangan dalil yang menyentuh pensyariatannya mencapai tahap Mutawatir. Antaranya Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah.” (Surah al-Baqarah, 2:196)
.
Para ulama bersepakat bahawa umrah merupakan amalan yang disyariatkan, namun mereka berbeza pandangan tentang hukumnya sama ada wajib sekali seumur hidup atau sunat. Dalam konteks pengulangan umrah pula timbul persoalan dan khilaf sama ada seseorang itu disunatkan untuk mengulangi umrah berkali-kali, atau memadai dengan sekali sahaja untuk setiap permusafiran atau sekali setiap bulan.
.
2. Pandangan Jumhur Ulama tentang Hukum Mengulangi Umrah
.
Jumhur ulama daripada mazhab al-Syafi‘i, Malik, Ahmad, berpendapat bahawa mengulangi umrah adalah harus bahkan disunatkan, walaupun dilakukan beberapa kali dalam satu tahun atau satu bulan yang sama. Dalam Al-mawsu’ah Al-fiqhiyyah Al-kuwaytiyyah disebutkan:
.
يستحب الإكثار من العمرة، ولا يكره تكرارها في السنة الواحدة عند الجمهور (الحنفية والشافعية والحنابلة ومطرف وابن الماجشون من المالكية) وهو قول علي وابن عمر وابن عباس وأنس وعائشة رضي الله تعالى عنهم وعطاء وطاوس وعكرمة رحمهم الله ، وتدل لهم الأحاديث الواردة في فضل العمرة، والحث عليها، فإنها مطلقة تتناول ‌تكرار ‌العمرة تحث عليه.
.
Maksudnya: “Disunatkan untuk memperbanyakkan ibadah umrah, dan tidak makruh mengulanginya dalam tahun yang sama menurut jumhur ulama iaitu mazhab Hanafi, Syafi‘i, Hanbali serta pandangan Mutarrif dan Ibn al-Majishun daripada mazhab Maliki. Ini juga merupakan pendapat Saidina Ali, Ibn Umar, Ibn Abbas, Anas, dan Aisyah radhiyallahu ‘anhum, serta Atha’, Tawus dan Ikrimah rahimahumullah. Dalil bagi pandangan ini adalah hadis-hadis yang menerangkan kelebihan umrah dan galakan untuk melakukannya, kerana nas-nas tersebut bersifat umum dan meliputi juga pengulangan ibadah umrah sebagai satu amalan yang digalakkan ”. [1]
.
3. Dalil Yang Menggalakkan Pengulangan Umrah
.
Dalil Pertama: Hadis Jabir r.a
.
Ini merujuk kepada hadis yang diriwayatkan dari Jabir r.a seperti berikut:
.
عَنْ جَابِرٍ رضي الله عنه أَنَّهُ قَالَ: أَقْبَلْنَا مُهِلِّينَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بِحَجٍّ مُفْرَدٍ. وَأَقْبَلَتْ عَائِشَةُ رضي الله عنها بِعُمْرَةٍ. حَتَّى إِذَا كُنَّا بِسَرِفَ عَرَكَتْ. حَتَّى إِذَا قَدِمْنَا طُفْنَا بِالْكَعْبَةِ وَالصَّفَا وَالْمَرْوَةِ. فَأَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أن يَحِلَّ مِنَّا مَنْ لَمْ يَكُنْ مَعَهُ هَدْيٌ. قَالَ فَقُلْنَا: حِلُّ مَاذَا؟ قَالَ "الْحِلُّ كُلُّهُ" فَوَاقَعْنَا النِّسَاءَ. وَتَطَيَّبْنَا بِالطِّيبِ. وَلَبِسْنَا ثِيَابَنَا. وَلَيْسَ بَيْنَنَا وَبَيْنَ عَرَفَةَ إِلَّا أَرْبَعُ لَيَالٍ. ثُمَّ أَهْلَلْنَا يَوْمَ التَّرْوِيَةِ ثُمَّ دَخَلَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَلَى عَائِشَةَ رضي الله عنها. فَوَجَدَهَا تَبْكِي. فَقَالَ "مَا شَأْنُكِ؟ " قالت: شاني قَدْ حِضْتُ. وَقَدْ حَلَّ النَّاسُ. وَلَمْ أَحْلِلْ. وَلَمْ أَطُفْ بِالْبَيْتِ. وَالنَّاسُ يَذْهَبُونَ إِلَى الْحَجِّ الْآنَ. فَقَالَ "إِنَّ هَذَا أَمْرٌ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَى بَنَاتِ آدَمَ. فَاغْتَسِلِي ثُمَّ أَهِلِّي بِالْحَجِّ" فَفَعَلَتْ وَوَقَفَتِ الْمَوَاقِفَ. حَتَّى إِذَا طَهَرَتْ طَافَتْ بِالْكَعْبَةِ وَالصَّفَا وَالْمَرْوَةِ. ثُمَّ قَالَ: "قَدْ حَلَلْتِ مِنْ حَجِّكِ وَعُمْرَتِكِ جَمِيعًا" فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ! إِنِّي ‌أَجِدُ ‌فِي ‌نَفْسِي ‌أَنِّي ‌لَمْ ‌أَطُفْ ‌بِالْبَيْتِ حَتَّى حَجَجْتُ. قَالَ” :فَاذْهَبْ بِهَا يَا عَبْدَ الرَّحْمَنِ! فَأَعْمِرْهَا مِنَ التَّنْعِيمِ"
.
Maksudnya: “Daripada Jabir r.a., beliau berkata: “Kami berangkat bersama Rasulullah SAW dalam keadaan berihram untuk menunaikan haji ifrad, manakala Aisyah r.a. pula berangkat untuk menunaikan umrah. Ketika kami tiba di Sarif, beliau (Aisyah) didatangi haid. Setelah kami sampai di Makkah, kami melakukan tawaf di Kaabah serta sa‘i antara Safa dan Marwah. Rasulullah SAW memerintahkan agar sesiapa yang tidak membawa haiwan korban menanggalkan ihramnya. Kami pun bertanya, “Tanggalkan ihram apa?” Baginda menjawab, “Tanggalkan semuanya.” Maka kami pun bergaul dengan isteri, memakai wangi-wangian dan berpakaian semula, sedangkan tinggal empat malam sahaja lagi sebelum hari Arafah.
.
Kemudian kami berihram semula pada hari Tarwiyah. Setelah itu Rasulullah SAW masuk menemui Aisyah r.a. dan mendapati beliau sedang menangis. Baginda bertanya, “Apakah yang terjadi kepadamu?” Beliau menjawab, “Aku telah didatangi haid, sedangkan orang ramai telah bertahallul, sedangkan aku belum; aku juga belum tawaf di Kaabah, sedangkan orang ramai kini menuju ke haji.” Maka Baginda bersabda, “Sesungguhnya hal ini adalah perkara yang telah ditetapkan Allah ke atas anak-anak perempuan Adam. Maka mandilah, kemudian niatlah untuk haji.”
Aisyah pun melakukannya dan menyempurnakan segala rukun haji. Setelah beliau suci, beliau melakukan tawaf di Kaabah serta sa‘i antara Safa dan Marwah. Rasulullah SAW kemudian bersabda: “Kini engkau telah selesai daripada haji dan umrahmu sekali gus.” Aisyah berkata, “Wahai Rasulullah, aku merasa seolah-olah tidak sempurna kerana aku tidak bertawaf di Kaabah sebelum menunaikan haji.” Maka Baginda bersabda: “Wahai Abdul Rahman, bawalah dia keluar ke Tan‘im, dan biarlah dia menunaikan umrah dari sana. (Riwayat Imam Muslim)
.
Pada hadis di atas diceritakan bahawa Saidatina Aisyah r.a telah berihram untuk umrah pada tahun Haji Wadaʿ, namun beliau didatangi haid. Nabi SAW kemudian memerintahkannya untuk menukar ( atau menambah niat) niat kepada haji lantas bertukar nusuk beliau kepada Haji Qiran. Selepas beliau suci, beliau pun menyelesaikan amalan-amalan haji dan nusuk yang berbaki. Setelah itu Saidatina Aisyah meminta izin daripada Baginda SAW untuk membenarkannya umrah sekali lagi, maka Nabi SAW kemudiannya memerintahkan Abdulah Rahman yang merupakan abang saidatina Aisyah untuk membawa beliau ke Tanʿīm untuk menunaikan umrah sekali lagi buat kali kedua.
.
Hadis ini dengan jelas menunjukkan keharusan mengulangi umrah dalam satu bulan yang sama, kerana Aisyah r.a melaksanakan dua umrah dalam bulan Zulhijah dengan izin Nabi SAW. Kata imam Al-syafi’I – rahimahullah -:
.
فعَائِشَةُ كَانَتْ قَارِنَةً فِي ذِي الْحِجَّةِ، ثُمَّ اعْتَمَرَتْ بِأَمْرِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِإِعْمَارِهَا بَعْدَ الْحَجِّ، فَكَانَتْ لَهَا عُمْرَتَانِ فِي شَهْر.
.
Maksudnya: “Sesungguhnya Aisyah telah menunaikan haji qiran pada bulan Zulhijjah, kemudian menunaikan umrah selepas haji atas perintah Nabi SAW agar beliau melakukan umrah lagi setelah Haji. Maka beliau telah menunaikan dua kali umrah dalam satu bulan ”. [2]
.
Dalil Kedua: Hadis Abu Hurairah r.a
.
Sabda Nabi SAW:
.
الْعُمْرَةُ ‌إِلَى ‌الْعُمْرَةِ ‌كَفارَة ‌لِمَا ‌بَينَهُمَا
.
“Antara satu umrah dengan umrah yang lain adalah penghapus dosa yang berlaku di antara keduanya.” (Riwayat al-Bukhārī dan Muslim)
.
Hadis ini bersifat umum dan tidak mengehadkan tempoh antara dua umrah. Oleh itu, para ulama menyimpulkan bahawa mengulangi umrah termasuk dalam amal yang disunatkan selama. Kata Al-hafiz Syeikhul Islam Ibn Hajar Al-asqalani – rahimahullah -:
.
وفي حديث الباب دلالة على استحباب الاستكثار من الاعتمار خلافا لقول من قال: يكره أن يعتمر في السنة أكثر من مرة كالمالكية، ولمن قال: مرة في الشهر من غيرهم.
.
Maksudnya: “Hadis ini menunjukkan bahawa disunatkan memperbanyakkan ibadah umrah, berbeza dengan pandangan golongan yang mengatakan makruh mengerjakan umrah lebih daripada sekali dalam setahun seperti mazhab Maliki, dan juga mereka yang berpendapat hanya sekali dalam sebulan ”. [3]
.
Al-Allamah Abdul Rauf Al-munawi – rahimahullah - juga ada menukilkan kata-kata Syeikh Ibnul Qayyim – rahimahullah - yang menarik tentang hadis ini dimana beliau menjelaskan rahsia mengapa hadis ini hanya menyebut “antara satu umrah ke satu umrah yang lain” dan bukan “antara satu haji ke haji yang lain”.
.
Kata al-munawi:
.
قالَ ابْنُ الْقَيِّمِ: فِيهِ دَلِيلٌ عَلَى التَّفْرِيقِ بَيْنَ الْحَجِّ وَالْعُمْرَةِ فِي التَّكْرَارِ، إِذْ لَوْ كَانَتِ الْعُمْرَةُ كَالْحَجِّ لَا يُفْعَلُهَا فِي السَّنَةِ إِلَّا مَرَّةً، لَسَوَّى بَيْنَهُمَا وَلَمْ يُفَرِّقْ.
.
Maksudnya: “Ibn al-Qayyim berkata: “Hadis ini menjadi dalil bahawa terdapat perbezaan antara haji dan umrah dari segi ulangan dalam pelaksanaannya. Sekiranya umrah sama seperti haji yang hanya dilakukan sekali setahun, tentu Baginda akan menyamakan antara keduanya dan tidak membezakannya ”. [4]
.
4. Jawapan terhadap Syubhat dan Pandangan yang Menyelisihi
.
Dakwaan bahawa Nabi ﷺ Tidak Mengulangi Umrah dalam Satu Perjalanan
.
Sebahagian pihak berhujah bahawa Nabi SAW hanya menunaikan empat umrah dalam empat perjalanan, tidak dalam satu safar yang sama. Namun para ulama menjawab bahawa Sunnah baginda SAW tidak terhad kepada perbuatan baginda SAW sahaja . Telah kita bawakan di atas dua dalil dari sunnah qauliyyah (percakapan) Nabi SAW bahawa baginda menggalakkan untuk dilakukan Umrah berulang kali secara umumnya. Ini sama seperti seseorang yang mahu melaksanakan solat Dhuha setiap hari kemudian ada orang lain yang menimbulkan persoalan bahawa tidak diriwayatkan baginda SAW melaksanakan Dhuha setiap hari secara tanpa tinggal langsung.
.
Maka persoalan yang ditimbulkan ini boleh dijawab dengan kita mengatakan bahawa walaupun riwayat secara sunnah fi’iyyah tiada yang mengatakan Nabi SAW melazimi solat dhuha setiap hari tanpa tinggal langsung namun telah ada sunnah qauliyyah umum yang menggalakkan untuk melakukan solat Dhuha setiap hari seperti sabda Nabi SAW:
.
يُصْبِحُ عَلَى ‌كُلِّ ‌سُلَامَى مِنْ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ. فَكُلُّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةٌ. وَكُلُّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةٌ. وَكُلُّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةٌ. وَكُلُّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةٌ. وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ. وَنَهْيٌ عَنِ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ. وَيُجْزِئُ، مِنْ ذَلِكَ، ركعتان يركعهما من الضحى.
.
“Setiap sendi tubuh manusia perlu ditunaikan sedekahnya pada setiap pagi. Maka setiap tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, menyeru kepada kebaikan adalah sedekah, dan mencegah kemungkaran juga adalah sedekah. Namun, memadai bagi semua itu dengan dua rakaat solat Dhuha yang didirikan seseorang.” (Riwayat imam Muslim)
.
Maka berdasarkan sunnah qauliyyah ini tiada masalah untuk seseorang itu mengulangi solat dhuha setiap hari.
.
Begitu juga ada kemungkinan Nabi SAW tidak mengulanginya kerana bimbang ia difardukan ke atas umatnya. Ini berdasarkan riwayat Aisyah r.a:
.
إِنْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‌لَيَدَعُ ‌الْعَمَلَ، وَهُوَ يُحِبُّ أَنْ يَعْمَلَ به خَشْيَةَ أَنْ يَعْمَلَ بِهِ النَّاسُ فَيُفْرَضَ عَلَيْهِمْ.
.
“Sesungguhnya Rasulullah SAW meninggalkan sesuatu amalan sedangkan Baginda suka melakukannya kerana bimbang orang ramai akan melakukannya lalu ia difardukan ke atas mereka.” (Riwayat al-Bukhārī)
.
Dakwaan bahawa Tiada Dari Kalangan Sahabat dan Salafussoleh Yang Mengulangi Umrah
.
Ini merupakan dakwaan yang tiada asas sama sekali dan bercanggah dan fakta-fakta yang kukuh. Kata imam Ibn Qudamah – rahimahullah – dalam Al-mughni:
.
ولا بأسَ أن يَعْتَمِرَ فى السَّنَةِ مِرَارًا. رُوِىَ ذلك عن علىٍّ، وابنِ عمرَ، وابنِ عَبَّاسٍ، وأنَسٍ، وعائشةَ، وعَطاءٍ، وطاوُسٍ، وعِكْرِمَةَ
.
Maksudnya: “Dan tidak mengapa untuk seseorang itu menunaikan umrah beberapa kali dalam setahun. Hal ini telah diriwayatkan daripada Saidina Ali, Ibn Umar, Ibn Abbas, Anas, Aisyah, Atha’, Tawus dan Ikrimah ” [6]
.
Kesimpulan
.
Berdasarkan dalil-dalil yang telah dibawakan dan pendapat jumhur fuqaha’ serta amalan sebahagian sahabat, jelas bahawa mengulangi umrah adalah harus dan disunatkan bagi mereka yang berkemampuan. Ia merupakan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT serta menjadi sebab penghapusan dosa, sebagaimana sabda Nabi SAW:
.
“Antara satu umrah dengan umrah yang lain adalah penghapus dosa di antara keduanya.”(Riwayat Al-bukhari Dan Muslim)
.
Oleh yang demikian, orang ramai dinasihatkan untuk menghormati pandangan jumhur ini dan tidak bermudah-mudah dalam menyalahkan atau merendahkannya, bahkan mereka digalakkan untuk mengikuti pandangan jumhur di atas semampu mereka berdasarkan kudrat dan kemampuan yang Allah SWT berikan kepada mereka. Moga-moga amal ibadah Umrah yang dilakukan kesemua kita diterima Allah SWT.
.
Disediakan Oleh:
.
Felo Penyelidik
Jabatan Mufti Negeri Pahang
.
Rujukan:
.
[1] Al-Mawsu’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaytiyyah, (325/30).
[2] Al-Umm, (146/2), (Darul Fikr, Cetakan Kedua)
[3] Fath Al-Bari Syarh Sahih Al-Bukhari, (598/3) (Al-Matba’ah Al-Salafiyyah, Cetakan Pertama)
[4] Fayd Al-Qadir, (394/4) (Al-Maktabah Al-Tijariyyah Al-Kubra, Cetakan Pertama)
[5] Ibid
[6] Al-Mughni, (16/5) ( Dar Alam Al-Kutub, Cetakan Ketiga)
© Hakcipta Terpelihara Jabatan Mufti Negeri Pahang.
Laman ini sesuai dipapar menggunakan pelayar web Microsoft Edge & Google Chrome versi terkini.
Kemaskini Terakhir : 23 تشرين2/نوفمبر 2025. Jumlah Pelawat : 1,183,417
Kembali ke Atas
Malaysia 96.1% Malaysia
United States of America 2.1% United States of America

Total:

96

Countries
1183417
Today: 1,857
This Week: 3,656
This Month: 30,919
This Year: 576,753