18 أيار 2026
Menjawab Tuduhan Liar Terhadap Saidina Abu Bakar AR Dan Saidina Umar RA Sebelum Keislaman Mereka
Terdapat video di Media Sosial yang menjadi polemik dan mengundang kegelisahan umat Islam apabila didakwa bahawa:
.
a). Saidina Abu Bakr adalah bapa ceti, sebelum Islam
b). Saidina Abu Bakr kaya kerana peras duit orang miskin
c). Saidina Umar gemar kacau isteri orang, mana beliau suka beliau pasti dapat
d). Saidina Umar mempunyai hobi berzina
e). Saidina Uthman dan Saidina ‘Ali turut didakwa memiliki sikap yang sama.
.
Dakwaan-dakwaan di atas adalah amat berat dan menimbulkan kegelisahan umat Islam. Demi tujuan menegakkan kebenaran dan mengunggulkan maruah para Sahabat yang merupakan insan terbaik selepas para Nabi, maka Jabatan Mufti Negeri Pahang akan membahaskan dakwaan ini fakta-fakta yang membidas dakwaan yang buruk ini.
.
“KEBURUKAN SILAM” SAIDINA ABU BAKR AL-SIDDIQ
.
Dakwaan Abu Bakr merupakan seorang “bapa ceti” adalah tidak berasas, bahkan Saidina Abu Bakr al-Siddiq merupakan seorang usahawan berjaya yang baik lagi mulia akhlaknya, dicintai dan disukai oleh orang ramai dalam kalangan Quraisy di Makkah suatu masa dahulu. Imam al-Nawawi berkata:
.
وَقَالَ الإِمَامُ النَّوَوِيُّ: وَكَانَ مِنْ رُؤَسَاءِ قُرَيْشٍ فِي الْجَاهِلِيَّةِ، وَأَهْلِ مَشَاوَرَتِهِمْ وَمُحِبِّيهِمْ وَمُؤَالِفًا لَهُمْ، فَلَمَّا جَاءَ الإِسْلَامُ آثَرَهُ عَلَى مَا سِوَاهُ، وَدَخَلَ فِيهِ أَكْمَلَ دُخُولٍ، وَلَمْ يَزَلْ مُتَرَقِّيًا فِي مَعَارِفِهِ، مُتَزَايِدًا مِنْ مَحَاسِنِهِ حَتَّى تُوُفِّيَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ.
.
“Beliau [Abu Bakr] merupakan salah seorang pembesar Quraisy pada zaman jahiliah, termasuk dalam kalangan tempat rujukan dalam mesyuarat mereka, orang yang mereka cintai serta yang sehaluan dengan mereka. Maka apabila Islam datang, beliau mengutamakan Islam atas segala yang lain, lalu memeluknya dengan sebaik-baik penghayatan. Beliau terus meningkat dalam pengetahuan dan kebaikannya sehingga wafat, semoga Allah meredhainya.”(Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat, 2/392)
.
Dakwaan “dia kaya kerana dia peras orang-orang miskin di zaman jahiliah” juga tidak berasas kerana beliau menjadi kaya semenjak sebelum Islam hasil perniagaan beliau sebagai seorang usahawan. Abu Bakr merupakan seorang saudagar kain untuk tujuan perhiasan rumah dan baju-baju pakaian sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Tawhidi di dalam Basa’ir al-Qudama wa Sara’ir al-Hukama’.(Nazariyyat al-Khalifatayn oleh Naji al-Ta’i, 2/63)
.
Kemurniaan akhlak beliau diakui baik oleh orang Islam mahupun bukan Islam. Ketika Saidina Abu Bakr dihalau oleh kaum Musyrikin, Ibn al-Daghinah yang merupakan seorang musyrik telah memuji Saidina Abu Bakr:
.
مِثْلُكَ يَا أَبَا بَكْرٍ لَا يَخْرُجُ وَلَا يُخْرَجُ، إِنَّكَ تَكْسِبُ الْمَعْدُومَ، وَتَصِلُ الرَّحِمَ، وَتَحْمِلُ الْكَلَّ، وَتَقْرِي الضَّيْفَ وَتُعِينُ عَلَى نَوَائِبِ الْحَقِّ فَأَنَا لَكَ جَارٌ، فَارْجِعْ فَاعْبُدْ رَبَّكَ بِبَلَدِكَ
.
“Orang sepertimu wahai Abu Bakar tidak sepatutnya keluar (meninggalkan negeri), dan tidak patut diusir. Sesungguhnya engkau membantu orang yang tidak berharta, menyambung silaturahim, memikul beban orang lain, memuliakan tetamu, dan menolong dalam menghadapi pelbagai musibah demi menegakkan kebenaran. Maka aku akan melindungimu. Oleh itu, kembalilah dan sembahlah Tuhanmu di negerimu.”
.
Rasulullah juga sudah menjadi rakan karib Saidina Abu Bakr sebelum baginda dilantik menjadi Nabi dan Rasul. Rasulullah tidak akan bersahabat rapat dengan orang yang buruk akhlaknya. Imam Ibn Kathir berkata:
.
قَالَ الْحَافِظُ ابْنُ كَثِيرٍ: وَكَان صَاحِبَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَبْلَ الْبِعْثَةِ، وَكَانَ يَعْلَمُ مِنْ صِدْقِهِ وَأَمَانَتِهِ وَحُسْنِ سِيرَتِهِ وَكَرَمِ أَخْلَاقِهِ مَا يَمْنَعُهُ مِنَ الْكَذِبِ عَلَى الْخَلْقِ، فَكَيْفَ يَكْذِبُ عَلَى اللَّهِ؟ وَلِهَذَا بِمُجَرَّدِ مَا ذُكِرَ أَنَّ اللَّهَ أَرْسَلَهُ بَادَرَ إِلَى تَصْدِيقِهِ، وَلَمْ يَتَلَعْثَمْ، وَلَا عَكَمَ.
.
“Beliau [Abu Bakr] merupakan sahabat Rasulullah SAW sebelum baginda diutuskan sebagai nabi. Dia mengetahui tentang kejujuran, amanah, keelokan perjalanan hidup dan kemuliaan akhlak baginda, sesuatu yang menghalangnya daripada berdusta terhadap manusia. Maka bagaimana mungkin baginda berdusta terhadap Allah? Oleh sebab itu, sebaik sahaja disebut bahawa Allah telah mengutus baginda, dia segera membenarkannya tanpa ragu-ragu dan tanpa berpaling.”(al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/31)
.
Masyarakat Musyrikin Quraisy amat menyanjung Saidina Abu Bakr kerana kebijaksanaan ilmunya, kedermawanan, wibawa dan ketinggian budi pekerti. Imam Ibn Hisham menukilkan: bahawa Imam Ibn Ishaq berkata:
.
وَكَانَ أَبُو بَكْرٍ رَجُلًا مُؤَلَّفًا لِقَوْمِهِ، مُحَبَّبًا سَهْلًا، وَكَانَ مِنْ أَنْسَبِ قُرَيْشٍ لِقُرَيْشٍ، وَأَعْلَمِ قُرَيْشٍ بِهَا، وَبِمَا كَانَ فِيهَا مِنْ خَيْرٍ وَشَرٍّ، وَكَانَ رَجُلًا تَاجِرًا ذَا خُلُقٍ وَمَعْرُوفٍ، وَكَانَ رِجَالُ قَوْمِهِ يَأْتُونَهُ وَيَأْلَفُونَهُ لِغَيْرِ وَاحِدٍ مِنَ الْأَمْرِ، لِعِلْمِهِ وَتَجَارِبِهِ وَحُسْنِ مُجَالَسَتِهِ، فَجَعَلَ يَدْعُو إِلَى اللَّهِ وَإِلَى الْإِسْلَامِ مَنْ وَثِقَ بِهِ مِنْ قَوْمِهِ، مِمَّنْ يَغْشَاهُ وَيَجْلِسُ إِلَيْهِ، فَأَسْلَمَ بِدُعَائِهِ: عُثْمَانُ بْنُ عَفَّانَ، وَالزُّبَيْرُ بْنُ الْعَوَّامِ، وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ عَوْفٍ، وَسَعْدُ بْنُ أَبِي وَقَّاصٍ، وَطَلْحَةُ بْنُ عُبَيْدِ اللَّهِ، فَجَاءَ بِهِمْ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ اسْتَجَابُوا لَهُ فَأَسْلَمُوا وَصَلَّوْا.
.
“Abu Bakar ialah seorang yang disenangi oleh kaumnya, dicintai dan mudah bergaul. Beliau termasuk orang Quraisy yang paling mengetahui tentang keturunan Quraisy serta paling arif mengenai keadaan mereka, sama ada kebaikan mahupun keburukan yang ada pada mereka. Beliau juga seorang pedagang yang berakhlak mulia dan terkenal dengan kebaikan. Kaumnya sering mendatanginya dan suka bergaul dengannya kerana ilmunya, pengalamannya dan baiknya cara beliau bergaul. Lalu beliau mula mengajak kepada Allah dan kepada Islam orang-orang yang dipercayainya daripada kaumnya, iaitu mereka yang sering menziarahinya dan duduk bersamanya. Maka masuk Islam melalui dakwah beliau: Uthman bin Affan, al-Zubair bin al-Awwam, Abdul Rahman bin Auf, Sa‘d bin Abi Waqqas dan Talhah bin Ubaidillah. Setelah mereka menyahut seruannya, beliau membawa mereka menemui Rasulullah SAW, lalu mereka memeluk Islam dan mendirikan solat.”(al-Sirah li Ibn Hisham, 1/286)
.
Begitu juga Syaikh Ibn Taimiyyah menegaskan bahawa tidak ada orang pun baik sebelum Islam mahupun selepas kedatangan Islam yang mampu mendatangkan dan mensabitkan sebarang aib atau keburukan zahir atau nyata mahupun jelas pada diri Abu Bakr al-Siddiq. Syaikh Ibn Taimiyyah berkata:
.
وَلَمْ يُعْلَمْ أَحَدٌ مِنْ قُرَيْشٍ وَغَيْرِهِمْ عَابَ أَبَا بَكْرٍ بِعَيْبٍ، وَلَا نَقَصَهُ وَلَا اسْتَرْذَلَهُ، كَمَا كَانُوا يَفْعَلُونَ بِضُعَفَاءِ الْمُؤْمِنِينَ
.
“Tidak diketahui seorang pun daripada kalangan Quraisy mahupun selain mereka yang pernah mencela Abu Bakar dengan suatu keburukan, atau merendah-rendahkannya, ataupun menghinanya, sebagaimana mereka melakukan terhadap orang-orang Mukmin yang lemah.”(Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah, 8/545-547)
.
“KEBURUKAN SILAM” SAIDINA ‘UMAR B. AL-KHATTAB
.
Manakala, dakwaan bahawa Saidina ‘Umar b. al-Khattab gemar berzina bahkan mengganggu isteri orang; adalah dakwaan buruk yang tiada dasarnya.
.
Hakikat yang mesti diperbetulkan, Saidina ‘Umar b. al-Khattab bukanlah orang yang begitu sekali buruknya, sebaliknya hanya orang yang sangat tegas dan keras dalam memelihara kesatuan suku Arab.
.
Oleh yang demikian, beliau memusuhi sebarang anasir yang memecah-belahkan kesatuan masyarakat Arab Quraisy di Makkah termasuk agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad kerana beliau menyangka ia merupakan sebab utama perpecahan.
Imam Ahmad meriwayatkan bahawa, ketika Saidina ‘Umar b. al-Khattab hendak membunuh Rasulullah, beliau ditanya oleh Nu’aim b. ‘Abdillah al-Nahham lantas menjawab:
.
قَالَ: أُرِيدُ مُحَمَّدًا هَذَا الصَّابِئَ، الَّذِي فَرَّقَ أَمْرَ قُرَيْشٍ، وَسَفَّهَ أَحْلَامَهَا، وَعَابَ دِينَهَا، وَسَبَّ آلِهَتَهَا، فَأَقْتُلَهُ
.
“Aku mahu pergi kepada Muhammad ini yang telah keluar daripada agama nenek moyang, memecah-belahkan urusan Quraisy, yang mendakwa pemikiran mereka adalah bodoh, mencela agama mereka dan menghina tuhan-tuhan mereka, lalu aku akan membunuhnya!”(Tabaqat Ibn Sa’d, 3/142; Fada’il al-Sahabah, bil. 346)
.
Kekasaran Saidina ‘Umar kepada Islam dan Muslimin adalah atas dasar untuk memelihara kesatuan masyarakat dan niat beliau menghormati nenek-moyang tradisi Quraisy. Kekasaran dan ketegasan tersebut mendorongnya bersikap kasar dengan Rasulullah dan umat Islam pada awalnya. Imam al-Nawawi berkata:
.
وَقَالَ الإِمَامُ النَّوَوِيُّ: لَمَّا بُعِثَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ عُمَرُ شَدِيدًا عَلَيْهِ، وَعَلَى الْمُسْلِمِينَ.
.
“Ketika Rasulullah SAW diutuskan, Umar sangat keras terhadap baginda dan juga terhadap kaum Muslimin.”
Saidina ‘Umar pernah mengikat untuk menyeksa salah seorang sahabat Nabi kerana sahabat berkenaan menganut agama Islam. Imam al-Bukhari meriwayatkan di dalam al-Sahih daripada Sa’id b. Zayd, beliau berkata:
.
وَاللَّهِ لَقَدْ رَأَيْتُنِي وَإِنَّ عُمَرَ لَمُوثِقِي عَلَى الإِسْلَامِ قَبْلَ أَنْ يُسْلِمَ عُمَرُ.
.
“Demi Allah, aku terkenang diriku. ‘Umar pernah mengikat aku semata-mata kerana aku memeluk Islam, dan ini berlaku sebelum ‘Umar masuk Islam.”
.
Namun, Allah memberi beliau hidayah untuk menjadi sebaik-baik manusia, bahkan termasuk dalam kalangan manusia yang paling terbaik di dalam Islam.
.
Saidina ‘Umar juga tidak pernah berzina jauh sekali mengganggu isteri sesiapa. Imam Ahmad meriwayatkan di dalam Fada‘il al-Sahabah menerusi sanad beliau bahawa ketika Ummu ‘Abdillah Layla binti Abi Hathmah - isteri kepada ‘Amir bin Rabi’ah hendak keluar berhijrah ke Habsyah, beliau terserempak dengan ‘Umar b. al-Khattab yang masih belum memeluk Islam.
.
Ketika itu, ‘Amir tiada di sisi Layla kerana menyelesaikan beberapa urusan kerja. Layla keseorangan. ‘Umar bertanya kepada Layla, “Sudah hendak berangkat, wahai Umm ‘Abdillah?” Layla menjawab:
.
قَالَتْ: فَقُلْتُ: نَعَمْ، وَاللَّهِ لَنَخْرُجَنَّ فِي أَرْضِ اللَّهِ، آذَيْتُمُونَا، وَقَهَرْتُمُونَا، حَتَّى يَجْعَلَ اللَّهُ لَنَا مَخْرَجًا،
.
““Lalu aku berkata: ‘Ya, demi Allah, kami pasti akan keluar berhijrah di bumi Allah. Kamu telah menyakiti kami dan menindas kami sehingga Allah memberikan jalan keluar bagi kami.’
.
فَقَالَ: صَحِبَكُمُ اللَّهُ.
.
“[‘Umar berkata]: Semoga Allah sentiasa bersama kalian dalam perjalanan.”(Musnad Ahmad b. Hanbal, bil. 381; Mustadrak al-Hakim, bil. 697)
.
Hakikatnya, Saidina ‘Umar seorang yang amat memelihara maruah dan kewibawaan diri. Ketegasan dan kekerasan beliau digunakan untuk menegakkan prinsip keadilan dan kebenaran, semenjak zaman Jahiliah. Ketegasan tersebut seringkali disalahfahami orang ramai pihak selama berkurun lamanya, sehingga menyangka Saidina ‘Umar b. al-Khattab itu bersikap jahat dan buruk akhlaknya bahkan menganggap beliau seperti samseng atau penjenayah di zaman Jahiliah.
.
Bahkan, dakwaan bahawa Saidina ‘Umar membunuh orang semata-mata kerana memijak khuf beliau adalah dakwaan yang tidak berasas, tiada asalnya. Manakala, dakwaan kewujudan athar bahawa “Umar dan Syaitan adalah orang yang sama” adalah tiada asal dan tidak wujudnya setakat carian kami di dalam kitab-kitab hadis dan sejarah yang muktabar.
.
DAKWAAN KEBURUKAN SILAM SAIDINA ‘UTHMAN DAN SAIDINA ‘ALI
.
Dakwaan bahawa Saidina ‘Uthman dan Saidina ‘Ali turut berperangai buruk adalah dakwaan buruk yang tidak berasas, menyimpang daripada fakta sejarah dan jauh daripada kebenaran. Saidina ‘Uthman b. ‘Affan adalah seorang usahawan yang berjaya lagi kaya-raya yang dihiasi sifat pemalu, maruah yang di kemuncak tertinggi dan kedermawanan yang tiada sempadannya. Manakala, Saidina ‘Ali b. Abi Talib pula masuk Islam semenjak masih kecil dan tiada sebarang masa silam atau sejarah lampau yang buruk. Masa kanak-kanak dan remaja beliau dipenuhi dengan tauhid, iman dan akhlak hasil didikan rumah Nabawi, sallallah ‘alayhi wasallam.
.
Kesimpulan
.
Segala apa yang didakwa dalam video tersebut adalah suatu kebatilan, kepalsuan dan kesalahan yang besar. Kita boleh bersangka baik dengan melihat tujuan yang lebih besar daripada percakapannya, iaitu hendak menekankan bahawa betapa Islam mengubah orang-orang yang dahulunya teruk serta mempunyai masa silam yang buruk, berubah menjadi sebaik-baik manusia yang berkhidmat dan beramal. Namun, kesalahan fakta ini amat berat dan tidak boleh dipandang sebelah mata kerana melibat maruah serta peribadi para Sahabat yang mulia lagi dimuliakan oleh syariah, berdasarkan dalil-dalil syara’ serta nukilan teks-teks sejarah yang berautoriti. Kebenaran mestilah ditegakkan dengan kebenaran juga, kebenaran tidak akan tertegak dengan kebatilan.
.
Disediakan Oleh:
.
Felo Penyelidik
Jabatan Mufti Negeri Pahang