Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang Bilangan 02 /2025 telah bersidang pada 29 hingga 30 April 2025 telah membuat keputusan berikut :
Keputusan:
- Mesyuarat bersetuju bahawa Sertu adalah perbuatan menyucikan mana-mana bahagian anggota badan, pakaian, bekas atau tempat yang terkena najis mughallazah(anjing,babi dan terbitan keduanya) dengan tujuh kali basuhan yang salah satu basuhan ialah dengan air bercampur tanah. Namun dalam keadaan tertentu kaedah sertu khas dilaksanakan dalam situasi-situasi yang sukar (masyaqqah) seperti melibatkan peralatan yang sensitif dan boleh rosak dengan penggunaan air atau/ dan tanah.
Sehubungan itu, beberapa kaedah alternatif sebagai kaedah khas telah dicadangkan, iaitu kaedah semburan,vakum air,lap basah dan sapuan kering.
- Mesyuarat juga bersetuju:
- Sertu hendaklah dilaksanakan dengan menggunakan kaedah biasa jika dapat dilaksanakan;
- Sekiranya kaedah biasa tidak dapat dilaksanakan disebabkan masyaqqah,maka kaedah khas boleh digunakan mengikut turutan berikut:
(a) Semburan(spray);
(b) Vakum air;
(c) Lap basah;
(d) Sapuan kering.
(iii) Bagi situasi dan keadaan yang tidak boleh dilaksanakan dengan kaedah (i) atau (ii), maka sertu adalah dimaafkan (tergugur dan tidak perlu dilaksanakan).