Menjawab Dakwaan Syiah : Benarkah Negara Iran Adalah Kaum Parsi Yang Dipuji Oleh Rasulullah SAW?
MUQADDIMAH
Negara Iran adalah sebuah negara Islam, yang didominasi oleh mazhab Syiah Imamiah, yang mempunyai rakyat sebanyak 92 juta orang pada hari ini, yang merangkumi pelbagai kaum dan bangsa. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh US Library of Congress, pada tahun 2008, bangsa majoriti negara tersebut adalah kaum Parsi yang dijangkakan merangkumi 65% daripada bilangan rakyat.[1] Namun, setelah perkembangan zaman, telah berlaku pelbagai perubahan kepada negara sehingga dianggarkan peratusan ini berkurangan sehingga 61%.[2] Selebihnya diikuti oleh bangsa-bangsa lain iaitu Azerbaijani-Turks (16%), Kurdi (10%), bangsa Lur (6%), Arab (2%), Turki (2%) dan 3% terakhir merangkumi pelbagai kaum dan bangsa lain seperti kaum Armenia, Assyria, Afro-Irani dan lain-lain. [3]
Telah maklum bahawa majoriti penganut agama Islam di Iran mengikut aliran yang terkeluar daripada Ahli al-Sunnah wal Jamaah iaitu Syiah Imamiah. Para ilmuwan di negara ini merupakan rujukan utama bagi seluruh umat Islam yang beraqidah Syiah dalam pelbagai masalah aqidah, fekah dan akhlak. Disebabkan majoriti penduduk negara Iran adalah kaum Parsi, terdapat segelintir umat Islam yang mendokong agenda penyebaran ajaran Syiah, cuba mengaitkan kaum Parsi di negara ini dengan pujian yang disebut oleh Nabi ﷺ. Namun, jika diteliti semula, kaum Parsi yang disebut oleh Nabi ﷺ berbentuk umum dan tidak merujuk secara spesifik kepada kaum Parsi yang menetap di Iran pada hari ini. Jadi, artikel ini berusaha untuk menjawab beberapa persoalan yang timbul berkaitan isu ini: [1] Adakah kaum Parsi di Iran merupakan kaum yang dipuji oleh Nabi ﷺ di dalam hadis-hadis baginda? [2] Adakah Parsi di Iran hari ini merujuk kepada Parsi yang hidup pada zaman Nabi ﷺ?
Asal-Usul Kaum Bangsa Parsi
Para pengkaji nasab telah mendapati bahawa asal-usul nasab kaum Parsi berasal daripada keturunan Nabi Nuh AS menerusi anaknya, Sam. Sam merupakan punca silsilah keturunan pelbagai bangsa besar di dunia seperti Arab, Parsi dan bahkan Yahudi. Penamaan bangsa Semitik dan yang berkaitan dengannya, seperti Semitik, berhubung secara langsung dan tidak langsung dengan Sam bin Nuh.
Satu analisis daripada Wan Zailan dan Ahmad Zuhdi mendapati bahawa Arab, Parsi dan Yahudi berasal daripada asal-usul dan keturunan yang sama.[4] Dalam konteks perbicaraan mengenai keturunan Parsi, ia dikatakan bahawa bangsa ini merupakan suatu bangsa yang berani. Berikut adalah sejarah ringkas perkembangan bangsa ini secara ringkas: “Mereka dikatakan pada peringkat awal mengikut agama Nuh AS sehingga sampai kepada zaman Burdasif kemudian mereka menganuti mazhab al-Hunafa’ merujuk kepada agama al-Sabi’ah dikenali sebagai al-Sabi’un pada zaman Tamhurath atau Tahmuras III selama hampir 1200 tahun, seterusnya mengikuti agama Majusi menerusi usaha, peranan dan kemunculan Zaradusyt pada zaman Raja Parsi, Bustasif yang berlangsung selama 30 tahun yang menyeru (mereka) kepada agama Majusi. Mereka meninggalkan Din al-Sabi’ah dan mengikut Zardusht yang diakui sebagai nabi yang diutuskan kepada mereka selama hampir 1000 tahun. Mereka berada dalam agama tersebut sehingga sampai ke zaman Khulafa’ al-Rasyidin yang ketiga, Saidina ‘Uthman ibn ‘Affan.”[5]
HADIS PUJIAN NABI KEPADA KAUM PARSI
Terdapat beberapa hadis Nabi ﷺ yang memuji kaum Parsi. Antara hadis yang memuji kaum Parsi adalah seperti sabda baginda ﷺ:
قَالَ نَاسٌ مِنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ: يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ هَؤُلَاءِ الَّذِينَ ذَكرَ اللَّهُ إِنْ تَوَلَّيْنَا اسْتُبْدِلُوا بِنَا ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَنَا؟ قَالَ وَكَانَ سَلْمَانُ بِجَنْبِ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ قَالَ فَضَرَبَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ فَخِذَ سَلْمَانَ وَقَالَ: هَذَا وَأَصْحَابُهُ. وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَوْ كَانَ الْإِيمَانُ مَنُوطًا بِالثُّرَيَّا لَتَنَاوَلَهُ رِجَالٌ مِن فَارِسَ
“Sebahagian sahabat Nabi ﷺ telah bertanya: “Wahai Rasulullah! Siapakah mereka yang disebut oleh Allah”. Ketika itu, Salman Al-Farisi berada di sebelah baginda, maka baginda menepuk paha Salman sambil berkata: “Lelaki ini dan para sahabatnya (kaumnya). Demi nyawaku yang berada dalam kuasa-Nya, sekiranya iman itu terpaut pada Bintang Suraya pasti yang akan mencapainya adalah para lelaki dari Parsi.”[6]
Di dalam hadis lain, daripada Abu Hurairah RA beliau berkata:
كُنّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبيِّ ﷺ، فَأُنْزِلَتْ عليه سُورَةُ الجُمُعَةِ: ﴿وَآخَرِينَ مِنْهُمْ لَمّا يَلْحَقُوا بِهِمْ﴾ [الجمعة: ٣]، قالَ: قُلتُ: مَن هُمْ يا رَسولَ اللَّهِ؟ فَلَمْ يُراجِعْهُ حتّى سَأَلَ ثَلاثًا، وفينا سَلْمانُ الفارِسِيُّ، وضَعَ رَسولُ اللَّهِ ﷺ يَدَهُ على سَلْمانَ، ثُمَّ قالَ: لو كانَ الإيمانُ عِنْدَ الثُّرَيّا، لَنالَهُ رِجالٌ -أوْ رَجُلٌ- مِن هَؤُلاءِ.
“Kami pernah duduk di sisi Nabi ﷺ, lalu turun kepadanya ayat daripada Surah Al-Jumu’ah yang bermaksud: “Dan Dia juga (telah mengutuskan Nabi Muhammad kepada) orang-orang selain mereka (Ummi), yang masih belum (datang lagi dan tetap akan datang) bertemu mereka”. (Jumu’ah, ayat 3). Aku bertanya: “Siapakah mereka wahai Rasulullah?” Dan baginda ﷺ tidak menjawab sehingga ditanya sebanyak tiga kali. Dan pada waktu itu, Salman al-Farisi berada bersama kami, lalu Rasulullah ﷺ meletakkan tangannya pada Salman lalu berkata: “Sekiranya iman itu berada di Bintang Suraya, yang akan mencapainya adalah para lelaki – atau lelaki – daripada mereka (kaum Salman).”[7]
Di dalam riwayat yang lain pula Nabi ﷺ bersabda:
لَوْ كانَ الدِّينُ عِنْدَ الثُّرَيّا، لَذَهَبَ به رَجُلٌ مِن فارِسَ
“Sekiranya agama itu berada di Bintang Suraya, maka para lelaki dari Parsi akan pergi mendapatkannya.” [8]
Terdapat beberapa riwayat lain yang menyebut pujian yang sama terhadap kaum Parsi, tetapi dengan penyusunan dan penggunaan lafaz yang sedikit berbeza daripada hadis-hadis ini. Namun begitu, lafaz yang sama digunakan oleh baginda ﷺ pada hampir semua hadis-hadis pujian terhadap kaum ini iaitu “Agama/Iman/Ilmu di Bintang Suraya, pasti para lelaki Parsi akan mencapainya/mendapatnya”. Hal ini menunjukkan bahawa Nabi ﷺ amat memuji kaum ini dengan pujian yang amat tinggi.
PUJIAN NABI ﷺ KEPADA KAUM PARSI MUSLIM
Jika diteliti semula, pujian Nabi ﷺ terhadap kaum Parsi bukanlah pujian yang umum. Dengan kata lain, baginda ﷺ tidak memuji semua kaum Parsi, bahkan pujian ini sememangnya ditujukan kepada kaum Parsi yang telah menganut agama Islam. Hal ini seperti yang diisyaratkan oleh Nabi ﷺ sendiri di mana sebelum baginda memuji kaum Parsi, baginda ﷺ terlebih dahulu mengisyaratkan Salman Al-Farisi, lalu memujinya dan seterusnya memuji kaum Parsi. Salman merupakan sahabat Nabi berbangsa Parsi yang menganut agama Islam, maka pujian Nabi ﷺ kepada kaum ini adalah merujuk kepada mereka yang telah memeluk agama Islam.
Kaum Parsi pada zaman Nabi ﷺ bukanlah kaum yang dimaksudkan di dalam hadis-hadis pujian baginda. Perhatikan di dalam hadis Nabi ﷺ yang menyebut berkaitan Kerajaan Parsi yang penuh dengan masalah dan konflik. Daripada Abu Bukrah; Nafi’ bin Haris beliau berkata:
لَمَّا بَلَغَ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ أَنَّ أَهْلَ فَارِسَ قَدْ مَلَّكُوا عَلَيْهِمْ بِنْتَ كِسْرَى، قَالَ: لَنْ يُفْلِحَ قَوْمٌ ولَّوْا أمْرَهُمُ امْرَأَةً
“Apabila telah sampai khabar berita kepada Rasulullah ﷺ bahawa penduduk Parsi telah mengangkat puteri Kisra sebagai raja mereka, baginda bersabda: “Satu kaum tidak akan berjaya setelah mereka mengangkat wanita menjadi ketua mereka.”[9]
Hadis ini menunjukkan bahawa pada zaman Nabi ﷺ terdapat konflik yang besar di dalam Kerajaan Parsi yang menyebabkan mereka mengangkat puteri Kisra sebagai raja mereka. Pengetahuan baginda terhadap konflik ini telah menyebabkan baginda menjangkakan kejatuhan kerajaan ini tidak lama lagi. Benarlah jangkaan baginda ﷺ kerana pada tahun 651 M yang bersamaan dengan tahun 30 H, pada zaman pemerintahan Saidina Uthman bin ‘Affan, 19 tahun selepas kewafatan baginda, kerajaan Parsi telah jatuh ke tangan kerajaan Islam. Oleh yang demikian, ini menguatkan lagi hujah bahawa pujian Nabi ﷺ kepada kaum Parsi adalah khas bagi mereka yang telah memeluk agama Islam dan bukan kepada bangsa itu secara amnya.
TAFSIRAN QS Al-MAIDAH, AYAT 54
Selain itu, sebahagian ulama berpendapat bahawa kaum Parsi merupakan kaum yang dimaksudkan di dalam Surah Al-Maidah ayat 54, di mana Allah SWT berfirman bahawa Dia akan mendatangkan suatu kaum untuk meneruskan urusan menegakkan agama-Nya setelah kaum yang beriman murtad daripadanya. Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَن يَرۡتَدَّ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَسَوۡفَ يَأۡتِى ٱللَّهُ بِقَوۡمٍۢ يُحِبُّهُمۡ وَيُحِبُّونَهُۥٓ أَذِلَّةٍ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى ٱلۡكَـٰفِرِينَ يُجَـٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوۡمَةَ لَآئِمٍۢ ۚ ذَٰلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُ ۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling dari agamanya (iaitu jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan satu kaum yang Dia kasihi dan mereka juga mengasihi Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan bersikap tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut terhadap celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (limpah kurnia-Nya), lagi Maha Meliputi Ilmu-Nya.” [Q al-Maidah, ayat 54]
Ayat ini telah menyatakan bahawa Allah SWT akan menggantikan mereka yang murtad dengan “suatu kaum” yang dikasihi, yang lemah lembut terhadap orang beriman iaitu memelihara kehormatan mereka, dan bersikap keras terhadap orang kafir yang menentang agama Islam. Segelintir ulama berpandangan bahawa kaum yang disebut di dalam ayat ini merujuk kepada kaum Parsi. Imam Fakhr al-Din al-Razi telah berkata:
الْمَسْأَلَةُ الرَّابِعَةُ: اخْتَلَفُوا فِي أَنَّ أُولَئِكَ الْقَوْمَ مَنْ هُمْ؟ ... وَقَالَ آخَرُونَ: هُمُ الْفُرْسُ لِأَنَّهُ رُوِيَ أَنَّ النَّبِيَّ ﷺ لَمَّا سُئِلَ عَنْ هَذِهِ الْآيَةِ ضَرَبَ بِيَدِهِ أَوْ عَلَى عَاتِقِ سَلْمَانَ وَقَالَ: هَذَا وَذَوُوهُ، ثُمَّ قَالَ ﷺ: لَوْ كَانَ الدِّينُ مُعَلَّقًا بِالثُّرَيَّا لَنَالَهُ رِجَالٌ مِنْ أَبْنَاءِ فَارِسَ.
“Masalah keempat: para ulama telah berbeza pendapat mengenai siapakah kaum yang disebut di dalam ayat ini? … Sebahagian ahli ilmu berpendapat: mereka (kaum itu) adalah kaum Parsi kerana terdapat riwayat daripada Nabi ﷺ apabila baginda disoal mengenai ayat ini, lalu baginda menepuk pada tangan atau bahu Salman (Al-Farisi) lalu bersabda: (Lelaki) Ini dan kaumnya, kemudian baginda bersabda: Kalau agama ini berada di Suraya (Bintang dan Angkasa), para lelaki daripada anak Parsi pasti mencapainya.”[10]
Walaupun Imam al-Razi menyebut bahawa sebahagian ahli ilmu berpendapat bahawa kaum yang disebut di dalam ayat ini merujuk kepada kaum Parsi, beliau sendiri dan begitu juga majoriti ulama berpendapat bahawa kaum yang disebut di dalam ayat ini merujuk kepada Saidina Abu
Bakar dan para sahabatnya, iaitu para Imam ikutan ASWJ. Terdapat segelintir umat Islam yang mempunyai agenda mendokong penyebaran ajaran Syiah, menekankan pendapat para ulama bahawa kaum Parsi merupakan kaum yang didatangkan oleh Allah SWT untuk menegakkan urusan agama-Nya. Hal ini dilakukan agar Syiah akan mendapat imej baik daripada umat Islam yang lain.
PARSI BUKAN SYIAH, SYIAH BUKAN PARSI
Bagi mereka yang menyokong penyebaran ajaran Syiah dengan cara mengangkat kaum Parsi, yang kebetulan merupakan kaum majoriti negara Iran, hendaklah mengetahui bahawa terdapat perbezaan di antara Parsi dan Syiah. Parsi itu merupakan satu kaum yang berasal dari kawasan Parsi yang merangkumi pelbagai negara dan daerah. Selain itu, kaum ini mempunyai sejarah panjang yang mendahului Islam, sejarah ini termasuk zaman pemerintahan Achaemenid dan Sassanid. Kaum Parsi juga mempunyai pengaruh agama selain Islam yang kuat dalam sejarah mereka seperti agama Majusi atau Zoroastrianisme yang mempercayai kewujudan dua tuhan iaitu Tuhan Baik dan Tuhan Jahat. Maka, kaum Parsi merujuk kepada golongan manusia tertentu yang berasal dari kawasan tertentu.
Manakala Syiah pula merupakan satu ajaran, mazhab atau aliran yang bercanggah dengan mazhab Ahli al-Sunnah wal Jamaah, yang berpandangan hanya orang-orang tertentu sahaja berhak menjadi khalifah selepas Nabi ﷺ seperti Saidina Ali dan Imam-Imam mereka. Ajaran Syiah ini adalah satu pemikiran teologi yang tidak mengikatnya kepada orang, tempat atau masa. Maka, ajaran ini boleh diikuti oleh sesiapa sahaja, di mana-mana, pada bila-bila masa. Bukan sahaja rakyat negara Iran sahaja yang menganuti ajaran Syiah, bahkan di negara-negara seperti India, Pakistan, Turki, Malaysia, Indonesia dan negara-negara Arab, juga terdapat segelintir masyarakat Islam yang terpengaruh dengan ajaran Syiah. Maka, Syiah adalah satu ajaran yang tidak terhad kepada kaum tertentu sahaja.
Jadi, tidak semua yang beraliran Syiah itu adalah daripada kaum Parsi, dan tidak semua orang Parsi itu mesti beraliran Syiah. Untuk membuktikan hal ini, lihatlah berapa ramai tokoh ilmuwan ASWJ yang berbangsa Parsi. Ramai daripada mereka telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mengukuhkan dan mengembangkan akidah ASWJ ke seluruh dunia Islam, bahkan sebahagian mereka juga telah bangkit untuk menentang ajaran Syiah. Di antara mereka adalah Imam Abu Hanifah, Imam Abu Mansur al-Maturidi, Imam al-Bukhari, Imam al-Nasa’i, Imam al-Tirmizi, Imam al-Baihaqi, Imam Abu Daud, Imam al-Tabarani, Hujjat al-Islam Imam al-Ghazali dan sebagainya. Kesemua tokoh-tokoh ini merupakan tokoh-tokoh ASWJ yang berbangsa Parsi.
Terdapat juga tokoh-tokoh daripada aliran lain yang berketurunan Parsi. Lihatlah tokoh seperti al-Zamakhsyari yang merupakan tokoh besar di dalam aliran Mu’tazilah dan Muhammad bin Karram, pengasas aliran al-Karramiyyah. Kedua-dua tokoh ini merupakan anak kelahiran Parsi. Oleh itu, jelaslah bahawa kaum Parsi bukanlah satu kaum yang eksklusif kepada aliran Syiah sahaja, bahkan sejarah Islam telah menyaksikan ramai ilmuwan dari Parsi yang telah menyumbang kepada perkembangan agama ini sama ada dalam aliran ASWJ atau selainnya.
PUJIAN KEPADA PARSI TIDAK BERMAKSUD MEREKA LEBIH AFDHAL
Walaupun kelebihan kaum Parsi memang terdapat dalam hadis Nabi ﷺ, namun hadis-hadis yang sahih berkenaan hal ini tidak membuktikan keutamaan kaum ini melebihi bangsa Arab atau bangsa-bangsa umat Islam yang lain. Apatah lagi untuk dijadikan hujah bahawa negara Iran lebih utama daripada negara Arab. Hal ini kerana, keutamaan yang disebut berkenaan Parsi tidak melazimi maksud kaum itu lebih mulia daripada kaum dan bangsa lain. Misalnya, walaupun terdapat hadis yang jelas menyebut tentang keutamaan Saidina Ali, namun ini tidaklah bererti beliau lebih mulia atau lebih utama daripada sahabat-sahabat lain seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan lain-lain.
Hendaklah difahami bahawa terdapat perbezaan diantara الْفَضْلُ وَالْأَفْضَلِيَّةُ dalam menyebutkan kelebihan, keutamaan dan keafdhalan. Pujian terhadap Parsi di dalam al-Quran dan al-Sunnah tidak bermaksud mereka lebih utama dan afdhal dari bangsa-bangsa lain. Bahkan ia hanya memberi makna bahawa kaum Parsi mempunyai kelebihan tertentu seperti mana bangsa lain juga mempunyai kelebihan dan pujian di dalam nas seperti golongan Arab Syam yang mempunyai banyak hadis yang memujinya dan memuliakannya, sehingga terdapat kitab atau bab khas berkaitannya yang dinamakan sebagai Fadha‘il al-Syam (kelebihan bumi Syam).
Tambahan pula, terdapat satu kaedah yang berbunyi: الْمَزِيَّةُ لَا تَقْتَضِي الْأَفْضَلِيَّةَ, yang bermaksud kelebihan tidak membawa maksud keutamaan. Kaedah ini telah dijelaskan dengan baik oleh Imam Al-Qarafi telah berkata di dalam kitabnya Anwar al-Buruq fi Anwa’ al-Furuq:
اِعْلَمْ أَنَّهُ لَا يَلْزَمُ مِنْ كَوْنِ الْعِبَادَةِ لَهَا مَزِيَّةٌ تَخْتَصُّ بِهَا أَنْ تَكُونَ أَرْجَحَ مِمَّا لَيْسَ لَهُ تِلْكَ الْمَزِيَّةُ، فَقَدْ وَرَدَ فِي الصَّحِيحِ عَنِ النَّبِيِّ ﷺ أَنَّهُ قَالَ: (إِذَا أَذَّنَ الْمُؤَذِّنُ وَلَّى الشَّيْطَانُ وَلَهُ ضُرَاطٌ فِإِذَا فَرَغَ الْمُؤَذِّنُ مِنَ الْأَذَانِ أَقْبَلَ فَإِذَا أُقِيمَتِ الصَّلَاةُ أَدْبَرَ فَإِذَا أَحْرَمَ الْعَبْدُ بِالصَّلَاةِ جَاءَهُ الشَّيْطَانُ فَيَقُولُ لَهُ اُذْكُرْ كَذَا اُذْكُر ْكَذَا حَتَّى يَضِلُّ الرَّجُلُ فَلَا يَدْرِي كَمْ صَلَّى). فَحَصَلَ مِنْ ذَلِكَ أَنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْأَذَانِ وَالْإِقَامَةِ وَلَا يَنْفِرُ مِنَ الصَّلَاةِ، وَأَنَّهُ لَا يَهَابُهُا وَيَهَابُهُمَا فَيَكُونَانِ أَفْضَلُ مِنْهَا وَلَيْسَ الْأَمْرُ كَذَلِكَ بَلْ هُمَا وَسِيلَتَانِ إِلَيْهَا، وَالْوَسَائِلُ أَخْفَضُ رُتْبَةٍ مِنَ الْمَقَاصِدِ.
“Ketahuilah bahawa tidak semestinya apabila sesuatu ibadah itu mempunyai kelebihan tertentu yang khusus baginya, maka ia lebih utama daripada ibadah lain yang tidak mempunyai kelebihan tersebut. Sesungguhnya telah diriwayatkan dalam hadis sahih daripada Nabi ﷺ, di mana baginda bersabda: “Apabila muazzin melaungkan azan, syaitan akan berpaling dan melarikan diri sambil terkentut-kentut. Apabila muazzin selesai daripada azan, syaitan akan datang kembali. Apabila iqamah didirikan, maka syaitan berpaling lagi. Apabila seseorang hamba telah memulakan solat, syaitan akan datang kepadanya dan berbisik kepadanya: ‘Ingat ini, ingat itu’ sehingga orang itu menjadi lupa dan tidak tahu berapa rakaat dia telah solat”. Maka daripada hadis ini, difahami bahawa syaitan lari daripada azan dan iqamah, tetapi tidak lari daripada solat. Dia tidak takut kepada solat, tetapi takut kepada azan dan iqamah. Maka ini tidak bererti bahawa azan dan iqamah itu lebih utama daripada solat. Sebaliknya, azan dan iqamah adalah wasilah (perantara) kepada solat, sedangkan perantara itu lebih rendah darjatnya berbanding dengan matlamat utama (iaitu solat itu sendiri).”[11]
PERBEZAAN ANTARA PARSI DAN IRAN
Pujian-pujian berkaitan bangsa dan kaum Parsi yang disebut di dalam hadis-hadis Nabi ﷺ, seperti sabda baginda:
لَوْ كَانَ الْإِيـمَانُ مَنُوطًا بِالثُّرَيَا، لَتَنَاوَلَهُ رِجَالٌ مِنْ فَارِس.
“Sekiranya iman itu berada di bintang Thurayya, nescaya yang meraihnya adalah pemuda-pemuda dari Parsi.”[12]
Namun, dakwaan bahawa pujian kepada kaum Parsi merujuk kepada bangsa Iran, perlu diteliti dengan baik. Walaupun majoriti rakyat Iran zaman ini berbangsa Parsi, tetapi hendaklah difahami bahawa istilah "Iran" itu sendiri tidak dikenali atau masyhur sehinggalah selepas serangan Mongol ke atas wilayah Islam. Bahkan nama "Iran" yang wujud dalam karya-karya turath dan klasik para ilmuwan terdahulu sebenarnya merujuk kepada kawasan yang jauh lebih luas dari negara Iran yang ada kini. Fahmi Huwaydi telah menyebut di dalam bukunya, al-’Arab wa Iran:[13]
فَصَارَتْ مُدُنُ إِيرَان الْكُبْرَى مَنَارَاتٌ لِلْعِلْمِ الْإِسْلَامِي، وَعُرِفَتْ مَدَارِسُ نَيشَابُور وَهِرَات وَبَلْخ وَمِرْو وَبُخَارَى وَسَمَرْقَنْد وَأَصْفَهَان (كَانَتْ حُدُودُ إِيرَان مُمْتَدَّةٌ مِنْ سَاحِلِ نَهْرِ الْفُرَات إِلَى نَهْرِ جَيْحُون فِي أَوَاسِطِ آسِيَا( وَتَرَبَّى فِي هَذِهِ الْمَدَارِسِ الْمِئَاتُ مِنْ رِجَالَاتِ الْإِسْلَامِ وَعُلَمَائِهِمْ. وَكَانَتْ خُرَاسَان مَعْقَلًا مِنْ مَعَاقِلِ دِرَاسَةِ عِلْمِ الْحَدِيثِ. لِذَا لَا نَسْتَغْرِبُ أَنْ يَكُونَ أَصْحَابُ كُتُبِ الصِّحَاحِ السِّتَّةِ جَمِيعًا مِن إِيرَان.
“Maka, kota-kota besar di Iran telah menjadi mercu tanda bagi ilmu pengetahuan Islam. Sekolah-sekolah di Naisabur, Herat, Balkh, Merv, Bukhara, Samarkand dan Isfahan menjadi terkenal. (Pada waktu itu, sempadan Iran meliputi kawasan yang luas, dari tebing Sungai Furat hingga Sungai Jayhun di Asia Tengah.) Di sekolah-sekolah ini, ratusan tokoh dan ulama Islam telah dididik. Wilayah Khurasan pula menjadi salah satu pusat penting dalam pengajian ilmu hadis. Oleh itu, tidaklah menghairankan jika kesemua penyusun enam kitab hadis sahih berasal dari Iran.”
Ini dikukuhkan lagi dengan dapatan kajian seorang pengkaji orientalis Jerman iaitu Dorothea Krafolski yang menyatakan secara jelas bahawa penggunaan terminologi Iran adalah terminologi baharu yang muncul ratusan tahun selepas kewafatan Nabi ﷺ, kata beliau:
فِي عُصُورِ الْخِلَافَةِ الْإِسْلَامِيَّةِ فَإِنَّ مُصْطَلَحَ إِيرَان مَا كَانَ مُسْتَخْدَمًا حَتَّى بِالْمَعْنَى الْجُغْرَافِيِّ، لَقَدْ تَجَاهَلَهُ الْجُغْرَافِيُّونَ كَمَا تَجَاهَلَهُ الْمُؤَرِّخُونَ. فَالَّذِي يَبْدُو أَنَّهُ مَعَ سُقُوطِ الْإِمْبِرَاطُورِيَّةِ السَّاسَانِيَّةِ عَلَى يَدِ الْعَرَبِ فِي الْقَرْنِ السَّابِعِ الْمِيلَادِي سَقَطَ مُصْطَلَحِ إِيرَان شَهْر، وَتَوَارَى فِي غِيَابِهِ التَّارِيخُ، وَحَلَّ مَحَلُّهُ تَمَامًا مُصْطَلَحُ دَارِ الْإِسْلَامِ، وَبَقَيِتْ التَّسْمِيَّاتُ الْمُخْتَلِفَةُ لِأَقَالِيمِ إِيرَان فَقَطْ مُتَدَاوِلَةً بَيْنَ الْمُؤَلِّفِينَ... إِنَّ الدَّلِيلَ عَلَى أَنَّ اسْتِخْدَامَ الْمُؤَرِّخِينَ وَالْجُغْرَافِيِّينَ فِي الْعَصْرِ الْإِيلْخَانِي لْمُصْطَلَحِ إِيرَان وَإِيرَان زَمِين جَدِيدٌ، وَأَنَّ هَؤُلَاءِ أَنْفُسُهُمْ لَا يَسْتَخْدِمُونَ الْمُصْطَلَحَيْنِ عِنْدَمَا يَتَحَدَّثُونَ فِي كُتُبِهِمْ عَنْ عُصُورِ الْخِلَافَةِ الْإِسْلَامِيَّةِ، حَتَّى إِذَا تَحَدَّثُوا عَنْ أَحْدَاثٍ مُعَاصِرَةٍ بَدَؤُوا بِاسْتِخْدَامِ الْمُصْطَلَحَيْنِ.
“Pada zaman pemerintahan khilafah Islam, istilah “Iran” tidak digunakan, bahkan dalam makna geografi sekalipun. Para ahli geografi dan ahli sejarah mengabaikan istilah ini. Tampaknya apabila empayar Sasanid jatuh ke tangan orang Arab pada abad ke-7 Masihi, istilah “Iran” turut hilang dan lenyap dalam lipatan sejarah. Istilah yang menggantikannya sepenuhnya ialah “Dar al-Islam” (Negeri Islam), manakala nama-nama wilayah di kawasan tersebut kekal disebut secara terpisah dalam tulisan para penulis zaman itu... Bukti bahawa penggunaan istilah “Iran” dan “Iran Zamin” oleh para sejarawan dan ahli geografi pada zaman Ilkhaniah/ilkhanid (sekitar kurun ke-13 masihi) adalah sesuatu yang baharu ialah mereka sendiri tidak menggunakan kedua-dua istilah tersebut apabila membicarakan tentang zaman khilafah Islam dalam karya-karya mereka. Namun, apabila mereka membincangkan peristiwa-peristiwa semasa pada zaman mereka, barulah mereka mula menggunakan kedua-dua istilah tersebut.”[14]
Maka jelas kalimah Parsi yang disebut di dalam hadis Nabi ﷺ adalah tidak sama dengan terminologi "Iran" yang digunakan pada zaman ini. Selain itu, penduduk Iran sendiri terdiri daripada kaum pelbagai etnik. Bahkan, dinasti Ilkhanid yang mempopularkan istilah “Iran” melalui para sejarawan mereka seperti Rashid al-Din al-Hamadani telah merekodkan dalam catatan sejarah bahawa dinasti tersebut bukan berasal dinasti Parsi bahkan merupakan daripada asal-usul Mongol.
KESIMPULAN
Sebagai penutup kepada kajian ini, telah jelas bahawa pujian Nabi ﷺ terhadap kaum Parsi dalam hadis-hadis baginda adalah kepada kaum Parsi yang telah memeluk agama Islam secara umumnya, dan tidak merujuk kepada bangsa Iran moden pada hari ini. Terdapat perbezaan ketara antara makna bagi perkataan Parsi dalam konteks sejarah Islam dan istilah Iran yang muncul jauh selepas era khilafah Islam. Justeru, sebarang usaha mengaitkan kelebihan kaum Parsi dalam nas-nas syarak dengan agenda mengangkat keutamaan Syiah atau negara Iran masa kini merupakan satu bentuk penyalahgunaan teks agama dan penyelewengan fakta sejarah. Umat Islam di Malaysia khususnya hendaklah memahami konteks dan makna sebenar nas-nas berkaitan dengan kelebihan ini serta menilai isu-isu semasa berdasarkan kefahaman ilmiah yang sahih dan tidak terpengaruh dengan naratif politik atau sektarian.
Disediakan Oleh:
Felo Penyelidik
Jabatan Mufti Negeri Pahang
Rujukan:
[1] US Library of Congress, Country Profile: Iran, (2008), h 5.
[2] Minority Rights Group: Iran,
https://minorityrights.org/country/iran/
[3] Ibid, https://minorityrights.org/country/iran/
[4] Wan Zailan & Ahmad Zuhdi, Salman Al-Farisi Dan Bangsa Parsi Dari Perspektif Pemikiran Islam: Analisis Dari Aspek Modal Insan, (2013) h. 6-7
[5] al-‘Ayni, Mahmud bin Ahmad, Abu Muhammad, Badr al-Din, ‘Umdat al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari ed.: tim seliaan Muhammad Munir Abduh Agha al-Dimasyqi. Beirut: cet. Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi & Dar al-Fikr (t.t, n.d) 1/235-236
[6] al-Tirmizi, Muhammad bin ‘Isa bin Sawrah, Abu ‘Isa, al-Jami‘ al-Kabir (Sunan al-Tirmizi) ed.: Basysyar Awwad Ma’rouf. Jordan, Amman: cet. Dar al-Gharb al-Islami (1996) 5/303, no. 3261
[7] al-Bukhari, Muhammad bin Isma‘il bin Ibrahim al-Ju’fi, Abu ‘Abd Allah, al-Jami’ al-Sahih al-Mukhtasar min Umur Rasulillah wa Ayyamih wa Sunanih (Sahih al-Bukhari) ed.: jama’ah min al-‘ulama’ v. al-Sultaniyya, Beirut: cet. Dar Tuq al-Najah (2003) 6/151, no. 4897
[8] al-Qusyairi, Muslim bin al-Hajjaj, Abu al-Husayn al-Naysaburi, Sahih Muslim, ed.: Muhammad Fuad Abd al-Baqi. Kaherah: cet. Percetakan ‘Isa al-Babi al-Halabi (1955) 4/1972, no. 2546
[9] al-Bukhari, Muhammad bin Isma‘il bin Ibrahim al-Ju’fi, Abu ‘Abd Allah, al-Jami’ al-Sahih al-Mukhtasar min Umur Rasulillah wa Ayyamih wa Sunanih (Sahih al-Bukhari) ed.: jama’ah min al-‘ulama’ v. al-Sultaniyya, Beirut: cet. Dar Tuq al-Najah (2003) 6/8, no. 4425
[10] al-Razi, Fakhr al-Din, Abu ‘Abd Allah, Muhammad bin ‘Umar bin al-Hasan al-Taymi, Mafatih al-Ghayb atau al-Tafsir al-Kabir (Tafsir al-Razi), Beirut: cet. Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi (1420H) 12/378-380
[11] al-Qarafi, Abu al-Abbas, Syihab al-Din Ahmad bin Idris bin Abd al-Rahman al-Maliki, al-Furuq (Anwar al-Buruq fi Anwa’ al-Furuq), Kaherah: cet. Alam al-Kutub (t.t/n.d) 2/144
[12] al-Qusyairi, Muslim bin al-Hajjaj, Abu al-Husayn al-Naysaburi, Sahih Muslim, ed.: Muhammad Fuad Abd al-Baqi. Kaherah: cet. Percetakan ‘Isa al-Babi al-Halabi (1955) 4/1972, no. 2546
[13] Fahmi Huwaydi, al-‘Arab wa Iran: Dirasat fi al-Tarikh wa al-Adab (Wahm al-Sira’ wa Hamm al-Wifaq), Syria: cet. Dar al-Syuruq (1991) h. 43
[14] Fahmi Huwaydi, al-‘Arab wa Iran: Dirasat fi al-Tarikh wa al-Adab (Wahm al-Sira’ wa Hamm al-Wifaq), Syria: cet. Dar al-Syuruq (1991) h. 180-181

- Hits: 153