
18 حزيران/يونيو 2025
Terkorban dalam perjalanan menuntut ilmu
1. Menuntut ilmu memiliki kedudukan yang sangat tinggi dan mulia dalam agama Islam. Ia dianggap sebagai satu bentuk ibadah, bahkan diantara ibadah paling afdhal yang boleh membawa seseorang lebih dekat kepada Allah SWT. Islam meletakkan ilmu sebagai asas kepada pembangunan diri, masyarakat dan peradaban. Dalam Al-Quran dan hadis, banyak seruan supaya umat Islam mencari ilmu, tidak kira lelaki atau perempuan, muda atau tua. Ilmu menjadi cahaya yang membezakan antara kebenaran dan kebatilan serta memberi panduan dalam kehidupan seharian.
.
MENUNTUT ILMU ADALAH SATU BENTUK JIHAD
.
2. Dari Anas Bin Malik r.a bahawasanya Nabi SAW bersabda:
.
من خَرج في طلب العلم فهو في سَبِيلِ الله حتى يرجع.
.
“Barangsiapa yang keluar untuk mencari ilmu atau menuntut ilmu, maka dia adalah orang yang berjihad fisabilillah sehingga dia kembali pulang”. (Riwayat Al-Tirmizi).
.
3. Dalam menghuraikan hadis diatas berkata imam Al-Muzhiri dalam Al-mafatih Fi Syarh Al-masobih:
.
يعني: من خرج من بيته في طلب العلم فله أجر من خرج للجهاد مع الكفار حتى يرجع إلى بيته. ووجه مشابهة طلب العلم بالجهاد: أن طلب العلم إحياء للدين، وإذلال للشيطان، وإتعابٌ للنفس، وكَسْرٌ للهوى واللذة، كما كانت هذه الأشياء في الجهاد.
.
“Maksudnya: Sesiapa yang keluar dari rumahnya untuk menuntut ilmu, maka dia akan mendapat ganjaran seperti orang yang keluar berjuang menentang orang kafir, sehingga dia kembali ke rumahnya. Persamaan antara menuntut ilmu dengan berjihad ialah: menuntut ilmu merupakan usaha menghidupkan agama, merendahkan kedudukan syaitan, menyusahkan diri, mematahkan hawa nafsu dan kenikmatan — sebagaimana juga hal-hal ini terdapat dalam jihad”. (1)
.
4. Al-allamah Syarafuddin Al-Tibi mengukuhkan lagi huraian diatas dengan membawa sokongan dari Al-quran, kata beliau:
ويؤيده قوله تعالى: {وما كان المؤمنون لينفروا كافة} الآية، حض المؤمنين على التفقه في الدين، وأمرهم بأن ينفر من كل منهم طائفة إلى الجهاد، ويبقى طائفة يتفقهون، حتى لا ينقطعوا عن التفقه الذي هو الجهاد الأكبر.
“Hal ini disokong oleh firman Allah Ta‘ala: {Dan tidaklah sepatutnya orang-orang yang beriman itu semuanya pergi (berperang)} [Al-Taubah: 122] – ayat ini menggalakkan orang-orang beriman untuk mendalami ilmu agama, dan memerintahkan agar sebahagian daripada mereka keluar berjihad, manakala sebahagian yang lain tetap tinggal untuk mendalami ilmu, agar mereka tidak terputus daripada usaha memahami agama, yang merupakan jihad yang lebih besar”. (2)
.
5. Sebahagian ulama seperti Al-allamah Mulla Ali Al-qari mengkhususkan makna ilmu yang dimaksudkan dalam hadis diatas sebagai ilmu-ilmu Syarak, merangkumi yang Fardu Ain dan Fardu Kifayah. Sebahagian yang lain seperti Hujjah Al-Islam Al-Imam Al-ghazali pula berpandangan ia merangkumi semua ilmu yang bermanfaat, iaitu ilmu yang mendekatkan diri seorang hamba kepada Allah SWT, menambahkan ketakutannya kepada Allah SWT dan mengurangkan kehendaknya kepada dunia. (3)
.
MAUT DALAM JALAN MENUNTUT ILMU ADALAH SATU BENTUK MATI SYAHID
.
6. Tidak disyaki bahawa kematian yang menimpa seseorang saat melakukan ketaatan adalah satu bentuk husn al-khatimah. Lebih dari itu, maut yang menimpa seorang penuntut ilmu mempunyai fadhilat yang lebih agung. Al-khatib Al-syirbini telah menyenaraikan mereka yang meninggal ketika menuntut ilmu sebagai syahid akhirat. (4) Begitu juga Imam Al-Suyuti dalam kitab beliau Anwa' Al-Sa'adah Fi Asbab Al-syahadah telah menyenaraikan sebanyak mungkin sebab-sebab yang menjadikan seseorang itu Syahid akhirat.(5) Dan antara yang disebutkan beliau adalah orang yang meninggal ketika menuntut ilmu. Beliau membawa sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Abu Hurairah daripada Nabi SAW, bahawasanya baginda bersabda:
.
إذا جاء المَوْتُ لِطَالِبِ العلمِ وهوَ على هذه الحالةِ ماتَ وهوَ شَهيدٌ.
.
"Jika maut datang kepada penuntut ilmu dalam keadaan dia menuntut ilmu, maka dia mati sebagai seorang syahid." (Riwayat Al-Bazzar dalam Musnad).
.
7. Maksud “syahid” dalam hadis yang lalu merujuk kepada istilah Syahid Akhirat. Ini sepertimana yang disebutkan oleh Al-allamah Abdul Rauf Al-munawi:
.
شهادة أخروية أي في حكم شهيد الآخرة فينال درجة شهيد الآخرة فذلك دليل حسن الخاتمة وفيه ترغيب عظيم في طلب العلم والدوام عليه وإن طعن في السن وأشرف على الهرم ليأتيه الموت على تلك الحالة فيكون من الشهداء.
.
“Ia merupakan(kesyahidan) akhirat, iaitu dalam hukum dianggap sebagai syahid di akhirat, lalu dia memperoleh darjat syahid akhirat. Ini menjadi bukti bagi husnul khatimah (pengakhiran yang baik), serta mengandungi galakan yang besar untuk menuntut ilmu dan terus istiqamah dalamnya, walaupun sudah lanjut usia dan menghampiri usia tua, agar kematian datang kepadanya dalam keadaan itu, lalu dia tergolong dalam kalangan para syuhada”.(6)
.
8. Begitu juga terdapat hadis lain yang senada dengan hadis atas iaitu hadis yang diriwayatkan Al-Hasan Al-basri secara Mursal, bahawasanya Nabi SAW bersabda:
.
وَقَالَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَنْ جَاءَهُ أَجَلُهُ وَهُوَ يَطْلُبُ الْعِلْم لَقِىَ اللَّهُ وَلَمْ يَكُنْ بَيْنَهُ وَبَيْنَ النَّبِيِّيْنَ إِلَّا دَرَجَةُ النُّبُوَّةِ.
.
“Barangsiapa yang datang ajalnya sedang dia menuntut ilmu, maka dia akan bertemu dengan Allah di mana tidak ada jarak antara dia dan antara para Anbiya', kecuali derajat kenabian sahaja.” (Riwayat Al-Tabrani).
.
9. Syeikh Ibnul Qayyim memberi komentar tentang hadis di atas dengan berkata:
.
وهذا وإن كان لا يثبت إسناده فلا يبعد معناه من الصحة.
.
“Dan sekalipun sanadnya tidak sahih, maknanya tidaklah jauh daripada kebenaran”.(7)
.
10. Menurut Al-imam Al-allamah Ibn Ajibah pula, maksud darjah yang akan diperolehi dalam hadis lalu yang mana darjah tersebut hanya satu darjah sahaja kurang dari darjah kenabian merujuk kepada darjah para Siddiqin.
.
Kata beliau:
.
وهذه الدرجة التي بينه وبين النبوة هي درجة الصديقين
.
“Dan darjat yang memisahkan antara dia dan kenabian itu ialah darjat para siddiqin (orang-orang yang benar lagi jujur dalam keimanan)”.(8)
.
11. Berdasarkan Hadis-hadis dan pandangan ulama yang dibawakan, terdapat fadhilat yang jelas akan kelebihan orang yang meninggal dalam jalan menuntut ilmu, walaupun hadis-hadis diatas tidak dinafikan ada dilemahkan dan dikritik statusnya oleh para ulama akan tetapi maknanya adalah benar dan para ulama bermudahan dalam beramal dengan hadis-hadis daif pada masalah fadhilat amal
.
MAKSUD SYAHID AKHIRAT
.
12. Maksud Syahid akhirat adalah mereka yang Allah SWT akan mengangkat darjat mereka di akhirat kelak sebagai Syuhada', namun di dunia jenazah mereka diuruskan sepertimana jenazah lain yang tidak mati syahid, maka mereka akan dimandikan, dikafankan, disolat dan ditanam seperti biasa. (9)
.
13. KESIMPULAN:
.
Semoga dengan penerangan ini, kita semua dapat mengambil iktibar akan keagungan mereka yang menuntut ilmu kerana Allah SWT dan besarnya ganjaran yang mereka akan peroleh di akhirat kelak sebagai seorang penuntut ilmu, hinggakan maut di jalan menuntut ilmu itu adalah satu bentuk dari Syahid Akhirat. Semoga Allah mengurniakan kepada kita semua keikhlasan dalam menuntut ilmu, dengan hasrat untuk menghidupkan hakikat agama ini dalam akal dan hati, serta mengharapkan kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat
.
Disediakan Oleh Jabatan Mufti Pahang.
.
RUJUKAN
.
(1) Al-mafatih Fi Syarh Al-masobih (320/1)
(2) Al-Kasyif An Haqaiq Al-Sunan (679/2)
(3) Mirqah Al-Mafatih Syarh Misykat Al-masobih (302/1) & Fayd Al-Qadir Syarh Al-jami’ Al-saghir (176/6)
(4) Mughni Al-Muhtaj, (254/2)
(5) Anwa' Al-Sa'adah Fi Asbab Al-syahadah (58)
(6) Fayd Al-Qadir Syarh Al-jami’ Al-saghir (324/1)
(7) Miftah Dar Al-sa’adah (124)
(8) Al-bahr Al-madid Fi Tafsir Al-quran Al-Majid (551/1)
(9) Al-Taqrirat Al-Sadidah (368)