Accessibility Tools

  • Content scaling 100%
  • Font size 100%
  • Line height 100%
  • Letter spacing 100%
  • Khamis, 21 November 2024 | 19 Jamadil Awal 1446

Panduan & Rujukan

Isu Telekung Potong
01 November 2024

Isu Telekung Potong

Telah heboh diperkatakan kebelakangan ini isu berkaitan memakai pakaian menutup aurat ketika memakai telekung potong apabila menunaikan solat. Perbincangan isu ini seharusnya diteliti melalui perbincangan pada beberapa tajuk yang berkaitan supaya isu ini mudah difahami.

Hukum menutup aurat ketika solat dan dalilnya.

Solat adalah perkara yang wajib dilaksanakan oleh setiap individu muslim, antara syarat yang perlu dijaga demi memastikan solat seseorang itu sah adalah menutup aurat dengan sempurna. Dasar kepada kewajipan menutup aurat sebelum ijmak adalah firman Allah Swt,:
خذوا زينتكم عند كل مسجد
Terjemahan : pakailah pakaian kalian yang indah di setiap (memasuki) masjid, (Al- A`raf 31)
Kata ibnu Abbas RA, dahulu para lelaki bertawaf dikawasan kaabah dalam keadaan tanpa pakaian, lalu Allah Swt memerintahkan mereka dengan الزينة, الزينة bermakna pakaian.
Adapun daripada hadis Nabi Saw: Saidatina Aisyah R.Anha meriwayatkan bahawa Nabi SAW telah bersabda:
لاَ تُقْبَلُ صَلاَةُ الْحَائِضِ إِلاَّ بِخِمَارٍ
Maksudnya: Tidak sah solat wanita yang sudah didatangi haid (baligh) kecuali mestilah dia memakai penutup kepalanya (Riwayat al-Tirmizi dan beliau mengatakannya sebagai hadith hasan.)

Hadith ini menunjukkan bahawa orang perempuan wajib menutup kepala ketika bersolat. Apabila wajib menutup kepala maka menutup selain kepala juga lebih utama. Perkara ni juga ditunjukkan di dalam hadith riwayat saidatina Aisyah R.Anha:
لَقَدْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّى الْفَجْرَ، فَيَشْهَدُ مَعَهُ نِسَاءٌ مِنَ الْمُؤْمِنَاتِ مُتَلَفِّعَاتٍ فِى مُرُوطِهِنَّ ثُمَّ يَرْجِعْنَ إِلَى بُيُوتِهِنَّ مَا يَعْرِفُهُنَّ أَحَدٌ
Maksudnya: “Rasulullah SAW bersolat Subuh, beberapa orang wanita yang berpakaian menutup seluruh tubuh juga bersolat bersama-sama Baginda. Selepas itu, mereka balik ke rumah masing-masing tanpa dikenali oleh sesiapa pun.”
Syeikh Doktor Musthoha Dib Al- Bugho mengatakan makna اللفاع adalah pakaian yang menutupi keseluruhan tubuh

Aurat lelaki di dalam solat dan dalilnya.

Aurat lelaki ketika solat adalah seperti mana yang telah kita sedia maklum iaitu di antara pusat dan lutut sama seperti diluar solat. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Al- Harith bin Abi usamah RA:
رَوَى الْحَارِثُ بْنُ أَبِي أُسَامَةَ عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ - رَضِيَ اللَّهُ تَعَالَى عَنْهُ - أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ: ))عَوْرَةُ الْمُؤْمِنِ مَا بَيْنَ سُرَّتِهِ إلَى رُكْبَتِهِ((
Dari Abu said al- khudri RA, Nabi Saw bersabda: “aurat lelaki mukmin itu diantara pusat dan lutut”.

Aurat wanita di dalam solat dan dalilnya.

Para ulama mazhab Syafi’e menyebutkan bahawa aurat wanita di dalam solat adalah keseluruhan badanya kecuali muka dan kedua tapak tangan, zahir dan batin iaitu dari hujung jari sehinggalah ke pergelangan tangan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنۡهَاۖ
Maksudnya: dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya (An-Nur: 31)
Ibn Abbas dan Aisyah R.Anhum berkata bahawa yang dimaksudkan dengan إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنۡهَاۖ adalah muka dan juga kedua tapak tangan.
Setelah kita jelas tentang dasar pengambilan hukum serta penetapan bahagian yang dikira aurat bagi lelaki dan wanita menurut syarak, sehingga bahagian itu perlu ditutup dengan rapi bagi mengelakkan solat yang dikerjakan dikira tidak sah, sekarang kita akan mula fokus kepada tajuk yang ingin kita bahaskan iaitu berkenaan telekung yang biasa digunakan dialam melayu iaitu yang mempunyai dua bahagian, satu bahagian atas yang menutupi bahagian kepala hingga badan dan satu lagi dibahagian bawah yang menutupi bahagian pinggang hingga kaki berdasarkan kitab- kitab yang muktabar di dalam mazhab As- syafie.

Bahagian yang mesti ditutup kemas ketika di dalam solat.
Imam an Nawawi Ra telah menyebutkan didalam kitabnya Minhaj At Tholibin mengenai aurat yang wajib ditutup di dalam solat:
وَيَجِبُ سَتْرُ أَعْلَاهُ وَجَوَانِبِهِ لَا أَسْفَلِهِ
Maksudnya: Wajib bagi orang yang solat itu menutup aurat yang boleh kelihatan daripada atasnya dan bahagian tepi (iaitu keliling bahagian tubuhnya). Bukan dari arah bawah.
Dari sini dapat kita ketahui bahawa tidak menjadi satu kewajipan untuk menutup bahagian bawah. Disini timbul dua persoalan:
1) Apakah alasan yang menjadikan bahagian bawah ini dihukumi tidak wajib untuk ditutup?
2) apakah pula yang dimaksudkan dengan bahagian bawah yang tidak menjadi masalah jika aurat kelihatan dari arah itu menurut fuqaha?
Sebelum kita pergi kepada jawapan bagi persoalan- persoalan ini, satu perkara yang perlu ditekankan adalah, makna perkataan “yang boleh kelihatan” atau “Nampak” ini ialah dilihat dengan quwwah bukan dengan fiil (perbuatan). Maknanya sememangnya tidak perlu ada orang yang benar- benar nampak aurat itu, tetapi cukup hanya dengan ianya boleh dilihat. Ini seperti yang disebutkan oleh Sheikh Muhammad An- Nawawi Al Banteni di dalam kitab beliau Nihayah Az- zaien:
فالمدار على رؤيتها بالقوّة وإن لم تر بالفعل
Terjemahan: Dasar dalam masalah boleh melihat ini adalah melihat aurat dengan quwwah “ boleh untuk dilihat”, walaupun aurat itu tidak dilihat secara realiti.
Bahagian bawah tidak perlu ditutup kerana sukar.
Dalam menjawab persoalan pertama ini, mari kita lihat petikan ibarah daripada kitab tuhfah al- muhtaj karangan imam ibnu Hajar al- Haitami ra,dalam menyatakan punca yang menyebabkan bahagian bawah ini di beri keringanan untuk tidak ditutup:
(لَا أَسْفَلِهِ) لِعُسْرِهِ وَمِنْهُ يُؤْخَذُ أَنَّهُ لَوْ اتَّسَعَ الْكُمُّ فَأَرْسَلَهُ بِحَيْثُ تُرَى مِنْهُ عَوْرَتُهُ لَمْ يَصِحَّ إذْ لَا عُسْرَ فِي السَّتْرِ مِنْهُ وَأَيْضًا فَهَذِهِ رُؤْيَةٌ مِنْ الْجَانِبِ وَهِيَ تَضُرُّ مُطْلَقًا
Maksudnya: bukan dari arah bawah kerana sukarnya perkara itu, dapat juga difahami daripadanya (illat atau sebab keringanan ini diberikan iaitu “kerana susah”) bahawa sekiranya bahagian lengan baju itu luas dan dalam posisi tangan wanita itu dilepas ke bawah dengan sekira – kira boleh dilihat bahagian auratnya dari lengan baju ( كم) itu, maka ia tidak sah kerana tidak ada kesukaran untuk menutupnya. Juga kerana aurat yang kelihatan tersebut merupakan aurat yang wajib ditutupi kerana ia dikira Nampak atau boleh dilihat dari arah tepi. Maka solat menjadi batal dan tidak sah.
Daripada ibarat- ibarat ini jelaslah kepada kita bahawa bahagian bawah itu tidak diwajibkan tutup dan sekiranya aurat boleh dilihat dari arah itu pun, tetap ianya tidak menjadi sebab terbatalnya solat.
Apakah yang dimaksudkan dengan bahagian bawah?
Sekarang kita lihat pula soalan kedua berkenaan maksud bahagian bawah yang disebut didalam kitab- kitab fiqh. Adakah bawah yang dimaksudkan itu terbuka kepada semua orang untuk memaknakannya dan boleh diertikan sesuai dengan kefahaman sendiri? Perlu dijelaskan disini bahawa disebabkan permaslahan ini adalah isu fiqh , maka kalam fuqahalah yang akan kita dahulukan dan diguna pakai kerana ini adalah bidang kepakaran mereka. Dengan ini kita perlu akur dengan makna yang telah mereka sebutkan. Ianya sesuai dengan firman Allah Swt
فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui, (Nahl: 43)
Diantara ulama fiqh yang mendatangkan penerangan berkenaan persoalan ini ialah Habib Abdul Rahman bin Muhammad al-Masyhur yang menyatakan dengan jelas didalam kitabnya Bughyatul Mustarsydin, bahawa:
والمراد......في حق المراة بأعلاه ما فوق رأسه و منكبيها و سائر جوانب وجهها و بأسفله في حق المرأة ما تحت قدميها وبجوانبه ما بين ذلك
Maksudnya: Yang dimaksudkan dengan (kewajipan menutup bahagian atas dan tepi bukan bahagian bawah),……. bagi golongan wanita yang dimaksudkan dengan `atas’ adalah apa yang diatas kepala dan bahu serta seluruh sisi wajahnya dan yang dimaksudkan dengan ‘di bawahnya’ ialah bahagian di bawah tapak kakinya. Sementara yang dimaksudkan dengan ‘di tepinya’ pula adalah bahagian tubuh di antara hujung kepala hingga hujung kaki.
Pernyataan di atas dengan jelas menetapkan bahawa yang dimaksudkan oleh fuqaha dengan perkataan ‘bawah’ adalah bawah kaki dan bukan mana-mana sahaja bahagian yang kita anggap sebagai dilihat dari arah bawah. Oleh itu, bagi pemakaian telekung, bawah yang dimaksudkan adalah bawah dari kain telekung dan bukannya bawah dari tudung telekung. Sekiranya aurat terlihat dari arah bawah kain telekung semasa solat, maka ia dimaafkan dan tidak membatalkan solat.
Lengan terlihat dari hujung lengan baju atau hujung tudung telekung
Setelah kita jelas berkenaan bahagian bawah yang tidak membatalkan solat jika terlihat dari arahnya itu adalah dari arah bawah kaki, sekarang mari kita lihat dan perhalusi pula masalah lengan wanita yang nampak dari arah bawah tudung telekung.
Pertama sekali perlu kita sepakati bahawa, lengan yang terlihat itu adalah dari arah bawah tudung telekung bukan dari كم ( hujung lengan baju). Jelas sekali terdapat perbezaan diantara hujung tudung dengan hujung lengan baju. Oleh itu perlu kita lihat keterangan ulama berkenaan aurat yang tampak dari arah bawah tudung untuk menjelaskan hukumnya dan tidak boleh kita mengunakan ‘petikan keterangan’ (ayat keterangan tersebut) yang menghukumi masalah hujung lengan baju kerana ia Adalah dua permasalahan yang berbeza. Habib Abdul Rahman bin Muhammad al-Masyhur menyatakan lagi selepas dari keterangan masalah arah bawah itu bermakna bawah kaki, dengan menyatakan:

حِينَئِذٍ لَوْ رُؤِيَ صَدْرُ المَرْأَةِ مِنْ تَحْتِ الخِمَارِ لِتُجَافِيهِ عَنِ القَمِيصِ عِندَ نَحْوِ الرُّكُوعِ أَوِ اتَّسَعَ الكَمُّ بِحَيْثُ تُرَى مِنْهُ العَوْرَةَ بَطَلَتْ صَلَاتُهَا فَمَن تُوهِمَ أَنَّ ذَلِكَ مِنَ الأَسْفَلِ فَقَدْ أَخْطَأَ لِأَنَّ المُرَادُ بِالأَسْفَلِ أَسْفَلُ الثَّوْبِ الَّذِي عَمَّ العَوْرَةَ أَمَّا مَا سَتَرَ جَانِبِهَا الأَعْلَى فَأَسْفَلَهُ مِنْ جَانِبِ العَوْرَةِ بِلَا شَكٍّ
Maksudnya: Dengan ini, jika dada wanita dapat dilihat dari bawah tudung semasa rukuk atau seumpamanya (disebabkan tudung itu tidak melekap dengan bajunya) atau jika lengan bajunya lebar sehingga auratnya kelihatan dari hujung lengan baju tersebut, maka batal solatnya. Dengan ini sesiapa yang beranggapan bahawa yang demikian itu termasuk ‘kelihatan dari bawah’, dia telah silap kerana yang dimaksudkan dengan ‘bawah’ di sini ialah bawah pakaian yang menutupi keseluruhan aurat. Adapun bahagian yang kelihatan dari bawah pakaian yang menutupi badannya sahaja maka ia termasuk dalam kategori aurat yang terlihat dari tepi (wajib ditutup) tanpa sebarang keraguan.

Dari sini jelaslah kepada kita bahawa jika aurat dapat dilihat dari arah bawah tudung maka ia memudaratkan solat bahkan dijelaskan lagi sekiranya bahagian lengan terlihat dari arah hujung lengan baju yang luas pun menjadi sebab terbatalnya solat. Dan dari ‘petikan keterangan’ ini juga dapat kita tahu bahawa aurat yang dilihat dari arah bawah tudung telekung termasuk dalam kategori aurat yang dilihat dari arah tepi dan keliling yang wajib ditutup. Oleh itu, pemakaian baju berlengan pendek atau pakaian lain yang tidak menutup aurat di dalam tudung telekung adalah tidak memadai kerana rekaan tudung telekung yang terbuka luas pada bahagian bawahnya menampakkan aurat jika dilihat dari arah bawah tudung telekung tersebut.
Penerangan berkenaan كم (hujung lengan baju)
Mengapa disebut berkenaan كم ( hujung lengan baju) disini? Kerana terdapat beberapa ‘petikan keterangan’ dan fatwa ulama yang cenderung dan mengisyaratkan bahawa terlihat aurat dari arah hujung lengan baju itu tidak membatalkan solat. Contohnya ‘petikan keterangan’ yang dinukil dari fatawa Ar – Ramli:
إنه سئل: عن امرأة أرسلت يديها في الصلاة وكان ساعدها يرى من كمها لسعته، فهل هذا من باب رؤية العورة من أسفل فلا يضر أو لا فيضر؟ فأجاب : متى رؤيت عورتها من محل يصدق عليه أنه أسفل لم تبطل ..إلخ
Terjemahan: Beliau ditanya mengenai seorang wanita yang menurunkan tangannya dalam solat dan lengan bawahnya terlihat dari lengan bajunya kerana kelonggarannya. Adakah ini termasuk dalam kategori melihat aurat dari bahagian bawah sehingga tidak membatalkan solat, atau sebaliknya? Maka beliau menjawab: 'Apabila auratnya terlihat dari tempat yang dianggap sebagai bahagian bawah, ia tidak membatalkan solat...'"

Contoh lain dari kitab: حشيتا قليبي و عميرة
وَلَوْ رُئِيَتْ مِنْهُ بَعْدَ الْإِرْخَاءِ، لَمْ يَضُرَّ ‌كَمَا فِي ‌كُمِّ الْمَرْأَةِ الْوَاصِلِ إلَى ذَيْلِهَا، بِخِلَافِ الْقَصِيرِ لِنَحْوِ الرُّسْغِ
Terjemahan: sekiranya dapat dilihat aurat lengan dari hujung lengan baju selepas melabuhkan hujung lengan baju itu, maka solat nya tidak terbatal sama seperti masalah hujung lengan baju yang dilabuhkan sehingga ke kaki wanita itu, berbeza jika ianya pendek sebatas pergelangan tangan sahaja.
Berdasarkan ‘petikan keterangan’ ini dapat dilihat bahawa jika aurat itu dilihat dari كم ( hujung lengan baju ) maka ia tidak mengapa.
Walau pun ada ‘petikan keterangan’ yang dilihat memberi keringanan dalam masalah ini, tetapi perlu dilihat jawapan yang dinyatakn oleh para imam itu tidak mengunakan lafaz berbentuk jazam atau pasti. Yang menjawab dengan jazam pun memberi gambaran labuh hujung lengan baju itu boleh sampai ke kaki, dan ini tidak berlaku dalam gambaran pemakain tudung telekung potong yang digunakan sekarang. keduanya permasalahan didalam isu ini seperti mana yang telah diterangkan diatas, aurat lengan yang dapat dilihat itu bukanlah dari hujung lengan baju tetapi dari bawah tudung. Oleh kerana itu agak susah untuk kita gunakan ‘petikan keterangan’ ini pada dua situasi yang berbeza. Ditambah pula dengan adanya kata- kata ulama yang sesuai dengan gambaran masalah yang sedang kita bahaskan iaitu aurat itu Nampak dari arah bawah tudung bukan hujung lengan baju.
Kesimpulannya, berdasarkan penelitian terhadap beberapa pandangan ulama yang disebutkan diatas jelas pada kita ada beberapa isu yang menunjukkan bahawa pemakain telekung potong tidak dikira menutup aurat dengan sempurna mengikut pandangan muktamad jika tidak disertai dengan pakaian yang sempurna di bahagian dalam telekung.
1) Bawah tudung telekung tidak dikira bawah, bahkan ia dikira sebagai tepi mengikut pandangan muktamad
2) Aurat yang boleh dilihat dari arah hujung tudung telekung, jelas dikira membatalkan tidak seperti masalah aurat kelihatan dari hujung lengan baju.
Oleh itu berdasarkan pandangan muktamad yang telah dinukil daripada para ulama mazhab Syafie ini, adalah sangat wajar kita berusaha melaksanakan ibadah solat dengan menjaga sebaik mungkin batas aurat yang perlu ditutup sempurna.

Hukum Dan Status Solat Terdahulu Bagi Wanita Berpakaian Tidak Menutup Aurat Di Dalam Tudung Telekung
Antara persoalan yang pasti berlegar setelah kita membincangkan isu ini adalah apakah status solat sebelum ini yang dilakukan dalam keadaan tidak tahu tentang perlunya memakai pakaian sempurna di dalam telekung. Jawapan bagi masalah ini telah ditulis dan diterbitkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor dalam artikel Taudhih Al- Hukmi #73 yang diterbitkan pada 18 oktober 2024. Untuk memudahkan pembaca, kami datangkan disini penjelasan yang telah diberikan oleh jabatan mufti Negeri Selangor tersebut.
Hukum asal solat bagi wanita yang berpakaian tidak menutup aurat di dalam tudung telekung adalah tidak sah berdasarkan hujah yang dibahaskan. Namun, solat-solat terdahulu bagi wanita yang mengenakan pakaian tidak menutup aurat di dalam tudung telekung sebelum mengetahui akan hukum ini adalah sah dan tidak perlu diqada’. Tindakan mewajibkan seseorang untuk mengqada’ semula semua solatnya dilihat bertentangan dengan keluasan syariat Islam dan fiqh dakwah. Demikian juga, perkara ini termasuk dalam keadaan yang disebutkan oleh Imam Jalaluddin al-Suyuti iaitu:
لأن ذلك يخفي على العوام
Maksudnya: Kerana ia merupakan perkara yang tersembunyi daripada orang awam (yakni tidak diketahui oleh orang ramai).

Selain itu, Ibn Battal menyatakan bahawa:
فعذرهم الله بغلبة العادة وآخذهم بما تعمدوه من ذلك
Maksudnya: Maka Allah SWT memaafkan mereka kerana kebiasaan mereka mengikut adat dan Dia menghukum mereka atas apa yang mereka sengajakan daripada hal tersebut.

Beliau turut menyatakan:
فلم يوجب على المخطئ في التقديم والتأخير فدية (شيء) لغلبة الجهالة
Maksudnya: Maka Allah SWT tidak mewajibkan fidyah (denda) kepada orang yang tersilap dalam mendahulukan atau mengakhirkan (hal yang sama berlaku ini dalam perkara berkaitan ibadah haji) kerana kejahilan yang menguasai mereka.

Disebabkan kejahilan seseorang tentang perkara ini dan amalan memakai pakaian yang tidak menutup aurat di dalam tudung telekung terutamanya baju yang menampakkan lengan dan leher telah menjadi urf yang ghalib (adat kebanyakan wanita) di negara kita, hal ini termasuk dalam kategori di mana kesalahan seseorang itu dimaafkan dan perkara ini berlaku hanya dalam permasalahan tertentu sahaja. Oleh itu, solat yang dilaksanakan dalam keadaan tidak mengetahui hukum ini tidak perlu diqada’. Namun, apabila sudah mengetahui akan hukum ini maka adalah menjadi satu kewajiban untuk melakukan perubahan dan menjadikan perkara yang betul itu suatu kebiasaan.

Wallahu a’lam.

RUJUKAN:
Tafsir ibnu Kathir, jilid 2, m/s 309, Muasasah Risalah Nasyirun
Sunan At- Tirmizi, no hadis 377 ( Maktabah Syamela)
Riwayat al-Bukhari (372) "باب في كم تصل المرأة من الثياب" m/s 150, Al- Busyro
At- Tazhib Fi Adillah At- Taqrib, m/s 37, Al-Haramain)
Mughni muhtaj, jilid 1, m/s 264, Dar Kutub Ilmiyah
Fathul Wahab Malik, jilid 1, m/s309, Dar Ad- Dhiyak.
Tuḥfah Al-Muḥtaj, Jilid 2 , ms. 114, Maktabah Tijariah al-Kubra
Nihayah Az-zain, m/s 57, dar kutub Islamiyah
Tuḥfah Al-Muḥtaj, Jilid 2 , ms. 114, Maktabah Tijariah al-Kubra
Bughyatul Mustarsyidīn, Jilid 2, ms. 145. Dār al-Faqīh
Bughyatul Mustarsyidīn, Jilid 2, ms. 145, Dār al-Faqīh
Hasyiah Al- Kubra, jilid 1, m/s 1471, Dar Al- Mubin
Hasyiata Qolyubi wa Amirah, jilid 1, m/s 202, Al Haramain.
#73 Taudhih Al-Hukmi penjelasan hukum solat dengan pemakaian telekung kebiasaan wanita melayu 18/10/2024