Accessibility Tools

  • Content scaling 100%
  • Font size 100%
  • Line height 100%
  • Letter spacing 100%
  • Khamis, 19 Jun 2025 | 22 Zulhijjah 1446

Panduan & Rujukan

Mengapa Kitab Al-Umm Tidak ada dalam Silibus Orang Awam?
18 Jun 2025

Mengapa Kitab Al-Umm Tidak ada dalam Silibus Orang Awam?

1. Kitab-kitab karangan Imam as-Syafi’i ketika beliau berada di Baghdad Iraq atau Qaul Qadim (antara tahun 186-199 H) adalah kitab al-Hujjah dan kitab ar-Risalah versi qadim (lama). Manakala, ketika beliau berada di Mesir dan mengalami banyak perubahan ijtihad yang kemudian dianggap Qaul Jadid (antara tahun 199 H.-204 H.) Imam as-Syafi’i menulis banyak kitab dan yang paling masyhur adalah kitab al-Umm.
.
2. Secara umum, karangan-karangan Imam as-Syafi’i ada yang ditulis dengan metod imla’ dan ditulis oleh murid-muridnya, ada yang ditulis murid-muridnya yang menghimpun ijtihad-ijtihad Imam as-Syafi’i.
.
3. Yang ditulis melalui imla’ (dikte) iaitu menyalin secara terus dari lisan seseorang, contohnya adalah kitab: al-Umm, al-Hujjah, ar-Risalah, al-Amali, Ikhtilaf al-Ahadith, Jima’ al-Ilm, Fadhail Quraisy, dan Ibthal al-Istihsan. Dan yang ditulis oleh murid-muridnya menghimpun kalam Imam as-Syafi’i adalah Mukhtashar al-Muzani, Mukhtasar al-Buwaithi, dan Mukhtasar Harmalah”. [1]
.
4. Diatas adalah kitab-kitab yang menghimpun ijtihad-ijtihad Imam asy-Syafi’i. Adapun himpunan hadith-hadith yang diriwayatkan oleh Imam as-Syafi’i, seperti Musnad Imam as-Syafi’i, Sunan Imam as-Syafi’i, Badai al-Minan dan lain-lain adalah hasil tulisan ulama’-ulama’ setelah zaman murid-murid Imam as-Syafi’i.
.
5. Diatas telah dijelaskan bahwa kitab al-Umm adalah hasil imla’ Imam as-Syafi’i yang ditulis oleh muridnya, iaitu Imam al-Buwaithi. Tetapi sebahagian ulama berkata, kitab al-Umm adalah tulisan Imam al-Buwaithi tanpa ada nisbat kepada beliau. Kemudian ada penambahan, khususnya penambahan fasal-fasalnya, dari Imam Rabi’ al-Muradi dan kemudian masyhur dinisbatkan kepada beliau. Demikian adalah pendapat Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumiddin. [2]
.
MENGAPA TIDAK ADA DALAM SILIBUS PEMBELAJARAN ORANG AWAM?
.
6. Soalan ini amat popular akhir-akhir ini, untuk menjelaskan perkara ini, sekurang-kurangnya ada tiga sebab mengapa ia tidak diajarkan dalam silibus orang awam.
.
SEBAB PERTAMA
.
7. Kitab-kitab turath Imam as-Syafi’i selepas ditulis, Imam Syafi'i akan muroja’ah kembali agar ijtihad beliau berkualiti dan tepat. Tetapi proses muroja’ah dan tanqih (klasifikasi mana yang kuat secara dalil) dilakukan kembali oleh Imam as-Syafi’i sendiri. Bahkan kadangkala Imam as-Syafi’i menyebutkan dua pendapat dalam satu masalah dalam kitab-kitab beliau sehingga memerlukan tarjih daripada ulama’-ulama’ Syafi’iyah setelahnya untuk mengetahui mana yang boleh dijadikan fatwa.
.
Oleh itu, ulama’ Syafi’iyah masih membahas:
.
a) Mendahulukan Qaul Jadid daripada Qaul Qadim dan juga Qaul Qadim yang boleh difatwakan

b) Jika Imam as-Syafi’i memiliki dua pendapat atau lebih tanpa diketahui mana yang lebih dahulu tetapi Imam as-Syafi’i sudah mentarjih dua pendapat beliau sendiri. Dan dalam disiplin mazhab, kita hendaklah mengikuti tarjih beliau.
.
c) Imam as-Syafi’i memiliki nash jawapan terhadap satu soalan, tetapi juga memiliki jawapan lain dalam masalah lain yang ada keserupaan. Dan ulama mazhab tidak mengetahui pasti apa alasan yang membezakan dua jawapan tersebut. Maka yang pertama dikira Qaul Manshus dalam masalah pertama dan yang kedua dikira Qaul Mukharraj dalam masalah kedua. Dan begitu sebaliknya. Dan mana yang akan diambil oleh ulama’ Syafi’iyah? Ulama menjawab Qaul Manshush adalah yang diambil secara umum.
.
d) Jika Imam as-Syafi’i memiliki dua pendapat atau lebih, tetapi tidak diketahui mana yang dahulu juga tidak diketahui apakah beliau mentarjih salah satunya, maka kita ikuti tarjih imam mujtahid muntasib dalam mazhab Syafii atau tarjih banyak ulama’ Syafi’iyah.
.
e) Tidak ditemukan pendapat Imam as-Syafi’i, maka ulama mujtahid mazhab akan melakukan istinbath daripada dalil-dalil hukum melalui kaedah-kaedah usul Imam as-Syafi’i. Dan ini dikenal dengan wujuh.
.
Pertanyaannya, siapakah yang mampu melakukan hal-hal diatas? Jika dia orang awam atau taraf ulama sekalipun yang tidak menguasai dasar-dasar ijtihad, mana mungkin mampu mengklasifikisikan ijtihad-ijtihad Imam as-Syafi’i.
.
SEBAB KEDUA
.
8. Kitab al-Umm ditulis sebagai kitab Fiqh menggunakan method istidlali, iaitu kitab fiqh yang mengajarkan bagaimana Imam as-Syafi’i berargumentasi dan mengambil dalil secara usuli (sesuai usul fikih), bukan fiqh kesimpulan atau ikhtisar. Sehingga bagi orang awam atau pelajar pemula akan sangat kesulitan jika mereka tidak memiliki asas-asas ilmu yang baik dan sempurna.
.
9. Bahasa yang digunakan oleh Imam al-Syafi‘i dalam kitab al-Umm kebanyakannya hanya dapat difahami oleh para pakar yang benar-benar menguasai ilmu fiqh Syafi‘iyyah dan juga fiqh mazhab lain dengan baik. Mereka juga perlu menguasai kaedah-kaedah istinbat secara menyeluruh serta memiliki kemahiran tinggi dalam bahasa Arab. Sesiapa yang pernah membaca kitab al-Umm pasti akan memahami sebabnya.
.
10. Ringkasnya, kitab al-Umm adalah kitab berat dan selayaknya hanya boleh dipelajari ulama’-ulama’ yang telah mengkhatamkan berbagai kitab syarah dan hawasyi serta memiliki kemahiran dibidang usul fikih dan musthalah hadith.
.
SEBAB KETIGA
.
11. Mempelajari apa-apa bidang ilmu mestilah dilakukan secara bertahap dan berperingkat. Hal ini termasuklah dalam pembelajaran kitab-kitab Fiqh Mazhab al-Syafi‘i. Terdapat tiga tahap asas dalam proses pembelajaran ini, iaitu:
.
Peringkat Mubtadi’ (Pemula)
.
12. Pada peringkat ini, pelajar akan mempelajari silibus kitab-kitab asas atau matan ringkas dalam Mazhab al-Syafi‘i yang tidak membahaskan perbezaan pendapat (khilafiyah) atau dalil-dalil istinbat. Antara kitab-kitab yang biasa digunakan termasuk Safīnatun Najāh, Risālah Jāmi‘ah, Matn Abī Syuja‘, Mabādi’ Fiqhiyyah, dan lain-lain.
.
13. Kitab-kitab ini dikenali sebagai turath yang asas, bertujuan memperkenalkan pelajar kepada definisi (ta‘rīf), syarat, rukun, perkara yang membatalkan, dan sebagainya. Pembelajaran pada peringkat ini memerlukan masa yang panjang dan kesabaran.
.
Peringkat Mutawassit (Pertengahan)
.
14. Setelah menamatkan tahap pemula, pelajar akan mula mempelajari kitab-kitab yang lebih mendalam. Kandungannya bukan sekadar menyentuh definisi, syarat dan rukun, tetapi turut membincangkan cabang-cabang permasalahan (furū‘) serta perbezaan pandangan ulama (khilafiyah).
.
15. Antara kitab yang dipelajari di tahap ini ialah Fath al-Qarīb al-Mujīb, Fath al-Mu‘īn, Minhāj al-Ṭālibīn, Anwār al-Masālik, Taḥrīr al-Ṭullāb, Kifāyat al-Akhyār, al-Iqnā‘, Ḥāsyiah al-Bājūrī, Ḥāsyiah al-Sharqāwī dan sebagainya.
.
Pada peringkat ini juga, pelajar mula didedahkan kepada kaedah istinbat hukum dan dalil-dalil secara ringkas, serta syarahan (syarḥ) dan ulasan (ḥawāshī) kitab.
.
Peringkat Muntahī (Lanjutan/Tertinggi)
.
16. Pada peringkat ini, pelajar telah bersedia untuk mengkaji asas-asas hujah dalam setiap permasalahan secara mendalam, termasuk dalil-dalil hukum, kaedah usul istinbat, perbezaan pandangan ulama serta proses tarjih (pemilihan pandangan yang kuat).
.
Mereka akan mula membaca kitab-kitab besar seperti al-Majmū‘ Syarḥ al-Muhadhdhab, Rawḍat al-Ṭālibīn, Nihāyat al-Muḥtāj, Tuḥfat al-Muḥtāj, al-Ḥāwī al-Kabīr dan lain-lain yang bersaiz berjuzu’-juzu’.
.
Pentingnya Urutan dan Disiplin Ilmiah
.
17. Sekiranya seseorang melangkau tahap-tahap ini dan terus cuba mempelajari kitab peringkat tinggi seperti al-Umm karya Imam al-Syafi‘i tanpa asas yang kukuh, besar kemungkinan dia tidak akan memahami perbahasan fiqh dengan tepat. Malah, tindakan sedemikian boleh membawa kepada salah faham terhadap agama.
.
RUJUKAN:

[1] Al-Madkhal ila al-Mazhab as-Syafi’i, Dairah al-Ifta’ al-Am Mamlakah Urduniyah al-Hasyimyah, ms. 36

[2] Al-Fawaid al-Madaniyah, Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi, ms. 340
© Hakcipta Terpelihara Jabatan Mufti Negeri Pahang.
Laman ini sesuai dipapar menggunakan pelayar web Microsoft Edge & Google Chrome versi terkini.
Kemaskini Terakhir : 19 Jun 2025. Jumlah Pelawat : 935,554
Kembali ke Atas
Malaysia 96.1% Malaysia
United States of America 2.3% United States of America

Jumlah:

84

Countries
935554
Hari Ini: 1,100
Minggu Ini: 5,194
Bulan Ini: 119,575
Tahun Ini: 328,890