Accessibility Tools

  • Content scaling 100%
  • Font size 100%
  • Line height 100%
  • Letter spacing 100%
  • Sabtu, 02 November 2024 | 30 Rabiulakhir 1446

Hukum Menyewakan Kedai Kepada Orang Bukan Islam

Soalan :
Apakah hukum menyewakan kedai kepada orang bukan Islam untuk tujuan buka kedai judi haram?. Apakah duit sewa itu haram?

Jawapan :
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT, selawat dan salam atas Nabi besar kita Nabi Muhammad SAW berserta keluarga dan sahabatnya serta mereka yang mengikuti segala sunnah Nabi Muhammad SAW sehingga ke hari kiamat. Terima kasih kepada tuan di atas soalan yang telah diajukan kepada kami. Hukum menyewakan rumah atau kedai kepada orang bukan Islam untuk tujuan membuka kedai judi adalah haram kerana menyokong dan bersubahat dalam perkara kemaksiatan yang dimurkai oleh Allah SWT. Hal ini jelas dinyatakan dalam Firman Allah SWT dalam surah Al-Maidah ayat 2 iaitu:

وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ
Maksudnya: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya”

Hukum pengharaman judi juga secara jelas telah dinyatakan oleh Firman Allah SWT dalam surah Al-Maidah ayat 90 iaitu:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِنَّمَا ٱلْخَمْرُ وَٱلْمَيْسِرُ وَٱلْأَنصَابُ وَٱلْأَزْلَـٰمُ رِجْسٌۭ مِّنْ عَمَلِ ٱلشَّيْطَـٰنِ فَٱجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Surah al-Maidah: 90)

Menurut Ibnu Qudamah dalam kitabnya Al- Mughni Syarh Mukhtasar Al-Khiraqi haram menyewakan rumah kepada seseorang untuk dijadikan rumah tersebut sebagai, atau jual beli seperti arak dan judi. Juga diharamkan untuk menyewakan rumah tersebut dimana tempat berkumpulnya orang ramai untuk melakukan perkara-perkara yang mungkar seperti zina, minum arak dan perkara yang seumpama denganya.

Begitu juga dalam perkara-perkara yang menyokong kearah kemaksiatan juga amatlah ditegah dan diharamkan oleh Allah SWT. Hal ini telah dinyatakan juga dalam kitab Mausu’ah Fiqhhiyyah Kuwaitiyah, diharamkan menyewakan rumah untuk tujuan yang tidak mematuhi syarak seperti penyewa menggunakan rumah tersebut untuk meminum arak atau bermain judi atau menjadikannya gereja atau tempat ibadat (bukan Islam) dan tempat berhala. Dan diharamkan ketika itu mengambil bayaran sewa sebagaimana diharamkan membayarnya. Hal ini kerana terdapat unsur membantu dalam perkara kemaksiatan.

Ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyatakan bahawa:

Maksudnya: Yang haram menggunakannya, haram memperolehinya.”

Menurut Sheikh Muhammad al-Zuhayli, kaedah ini menjelaskan bahawa sesuatu yang diharamkan menggunakan dan memperolehinya, maka ianya diharamkan secara qati’e(jelas). Antara yang lain juga, apa sahaja aktiviti dan amalan yang menjadi wasilah
(perantaraan) dikira terbabit sama termasuk mengusahakan dan menghasilkan juga diharamkan oleh syarak.

Kesimpulannya, haram menyewakan rumah kepada orang bukan Islam untuk tujuan kemaksiatan dan perkara yang dimurkai oleh Allah SWT. Adapun, diharuskan menyewakan rumah kepada orang bukan Islam hanya sekadar tempat tinggal untuk mereka sahaja. Oleh itu, jabatan ini menyarankan bahawa lebih utama rumah tersebut disewakan kepada orang Islam terlebih dahulu. Semoga kita semua sentiasa menjalankan muamalah yang diredhai oleh Allah SWT.

Sekian, terima kasih.

Rujukan
1. Al-Quran Dan Terjemahan.
2. Ibnu Qudamah.Al- Mughni Syarh Mukhtasar Al-Khiraqi.
3. Muhammad Al-Zuhayli. Kitab Qawaid Fiqhhiyyah Watatbiqatiha Fil AlMazahib Al- Arba’ah.
4. Mausu’ah Fiqhhiyyah Kuwaitiyah. Jilid 8 halaman. 228.