Accessibility Tools

  • Content scaling 100%
  • Font size 100%
  • Line height 100%
  • Letter spacing 100%
  • Khamis, 21 November 2024 | 19 Jamadil Awal 1446

Panduan & Rujukan

Garis Panduan Memboikot Perniagaan
17 Julai 2024

Garis Panduan Memboikot Perniagaan

1. Jabatan Mufti Negeri Pahang amat peka dengan isu semasa terutamanya isu yang rancak melanda dunia masakini iaitu isu boikot. Ia menjadi bualan dan tular mengikut situasi yang berlaku di serata dunia melalui media baharu. Penularannya tidak dapat dihalang atau dikawal disebabkan media baharu menyalurkan maklumat dengan mudah, tanpa had dan tiada sempadan.

2. Seluruh umat Islam maklumi bahawa Islam adalah agama yang menitik berat terhadap semua perkara sama ada yang kecil, yang besar, keduniaan, akhirat dan tidak terkecuali isu boikot.

3. Jabatan Mufti Negeri Pahang menyedari isu boikot telah menjadi isu hangat dan sensitif dibicara dan dibincangkan kerana ia melibatkan pelbagai pihak sama ada yang berkepentingan ataupun tidak.

4. Oleh itu, Jabatan Mufti Negeri Pahang mengorak langkah untuk memberikan penjelasan terhadap isu boikot mengikut lunas ajaran Islam agar ia difahami dengan baik oleh masyarakat Islam khususnya.

5. Sebelum perbincangan lanjut, perlu difahami beberapa istilah/definisi yang berkaitan:
  1. “Boikot” disebut dalam Bahasa Arab sebagai “ المقاطعة” (al-muqata’ah) atau hiṣār. Ia bermaksud “keengganan berinteraksi dengan orang lain sama ada di sudut perekonomian atau sosial berdasarkan sistem kemasyarakatan yang ada”. Secara asasnya istilah al-muqāta’ah membawa maksud “memutuskan sebarang hubungan ekonomi atau sosial selaras dengan sistem sosial yang telah ditetapkan iaitu dengan cara memboikot barangan atau produk pihak tertentu”
  2. “Produk” merupakan segala sesuatu yang dihasilkan dari proses produksi berupa barang atau item yang diperjualbelikan di pasar atau suatu barangan yang diproduksi oleh pihak pengeluar dan ditawarkan ke pasar supaya dapat memenuhi keperluan mahupun keperluan pengguna
6. Isu boikot tidak boleh dipisahkan dengan kepentingan ekonomi. Sedikit sebanyak, ia memberi kesan terhadap sesuatu perniagaan malah ia berkait dengan pelbagai rantaian perniagaan hingga menyebabkan kerugian yang besar. Justeru, ia termasuk dalam mafhum hadis dan kaedah fiqh:

لا ضرر ولا ضرار
Bermaksud: “Tidak mudarat dan tidak memudaratkan” (Hadis Riwayat Ibn Majah).

Kaedah ini umum. Ia digunakan dalam semua perkara termasuk isu yang dibincangkan. Maka, isu boikot ini juga termasuk dalam hukum yang perlu dibincangkan mengikut kaedah yang betul dan jelas untuk difahami umum.

7. Jika dilihat dalam konteks agama Islam, terdapat beberapa perkara yang perlu difahami dan diteliti sebelum dijatuhkan hukum tertentu. Kaedah fiqh menyebutkan:

الحكم على الشيء فرع عن تصوره
Bermaksud: “Hukum terhadap sesuatu adalah sebahagian daripada maklumat diperolehinya” (Al-Jurjani. Al-Ta’rifat).

Ini bermakna, setiap hukum mestilah memperolehi maklumat yang lengkap. Hukum dalam sesuatu perkara pula tidak ada lain sama ada wajib, haram, sunat, makruh dan harus.

8. Maka dalam hal ini, penelitian terhadap hukum perlulah seseorang itu mempunyai ilmu yang luas dan pemahaman yang betul bagi menentukan hukum bukan hanya berpandukan emosi tanpa dasar ilmu.

9. Islam menjunjung prinsip keadilan terhadap umat manusia samada umat Islam mahupun bukan Islam. Begitu juga, Islam menolak kezaliman tanpa mengira siapa yang mencetuskan kezaliman tersebut.

Nabi SAW bersabda:
فأعط كل ذي حق حقه
Bermaksud: “Berikan setiap hak haknya” (Hadis riwayat Al-Bukhari).

Allah SWT juga berfirman berkenaan kewajipan dalam keadilan:
وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُواْ بِالْعَدْلِ
Bermaksud: “Dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.” (Al-Nisa’:58).

Nabi SAW bersabda:
اتق دعوة المظلوم فإنه ليس بينها وبين الله حجاب
Bermaksud: “Takuti doa orang yang dizalimi kerana tiada hijab/halangan (doanya) dikabulkan Allah.” (Hadis riwayat al-Tirmidhi).

10. Boikot boleh dilihat dalam beberapa situasi, antaranya, boikot terhadap perekonomian atau produk atau barangan daripada musuh/pelaku maksiat yang berterusan berdasarkan prinsip-prinsip berikut:
  1. Menutup jalan ke arah menguatkan musuh atau perbuatan maksiat. Dengan memboikot barangan mereka, umat Islam tidak lagi bertindak sebagai penyumbang dana atau menolong mereka dalam usaha menganiayai umat Islam yang lain.

    Dalilnya :
    ولا تعاونوا على الإثم والعدوان
    Bermaksud: “Dan janganlah kamu bertolong bantu atas perkara yang membawa kepada dosa dan permusuhan” (al-Ma’idah:2).
  2. Mencari kepentingan (maslahah) tertentu yang kesannya lebih ringan kepada umat Islam. Hal ini amat perlu supaya dapat perimbangan antara kepentingan (maslahah) dan kerugian (mafsadah). Semestinya, umat Islam perlu membuat pertimbangan antara tindakan yang mudarat, kurang mudarat atau tidak memudaratkan mereka. Di dalam hal ini kaedah fiqh menyebutkan :

    إذا تعارضت المصلحة والمفسدة قُدِّم أرجحهما
    Bermaksud: Apabila bertembung antara maslahah dengan mafsadah hendaklah di dahulukan (setelah membuat penelitian) terhadap yang lebih besar kesannya kepada umat Islam.
  3. Melumpuhkan ekonomi musuh. Berdasarkan konsep sadd al-zari’ah (سد الذريعة) iaitu menghalang mudarat yang lebih besar, umat Islam mestilah menyekat jalan yang membolehkan musuh mendapat kekuatan bagi melemahkan dan menghancurkan umat Islam atau membantu perlakuan maksiat. Dalam konteks ini, boikot merupakan sekatan umat Islam terhadap ekonomi musuh Islam agar mereka kurang berkeupayaan untuk menindas umat Islam di serata dunia ini.
  4. Tidak memberi mudarat kepada umat Islam dan juga tidak pula memudaratkan rakyat jelata lain (termasuk bukan Islam) khususnya di Malaysia. Ini berdasarkan hadis:

    لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ
    Bermaksud: “Tidak boleh membahayakan diri dan membahayakan orang lain.” (Hadis riwayat Ibn Majah)
  5. Orang bukan Islam (kafir zimmi) dalam sebuah negara Islam mestilah dilindungi jiwa dan hartanya sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Mumtahanah, ayat 8:

    لَّا يَنْهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمْ يُقَـٰتِلُوكُمْ فِى ٱلدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَـٰرِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوٓا۟ إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلْمُقْسِطِينَ
    Bermaksud: “Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak pula mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.”

    Oleh itu, tindakan memboikot mereka tanpa sebab tertentu dan penelitian berdasarkan ilmu juga boleh menyebabkan berlakunya kezaliman. Apatah lagi tindakan memboikot sesama orang Islam tanpa sebab dan usul periksa yang telus memudaratkan saudara seislam jelas dilarang.
11. Hukum memboikot tertakluk kepada beberapa perkara:
  1. Hukum Wajib: Jika diarahkan oleh pemerintah Islam atas prinsip yang disebutkan.
  2. Hukum harus (mubah): Jika seseorang meyakini atau zan yang kuat (zan ghalib) bahawa wang jualan akan digunakan pada jalan maksiat (jika tidak menzalimi sekalipun). Akan tetapi hal ini berbeza dalam berurusniaga dengan orang bukan Islam kerana ia diharuskan sebagaimana Nabi SAW juga berurusniaga dengan orang bukan Islam. Jadi, kedudukan orang bukan Islam tidaklah boleh dikira sebagai pelaku maksiat seperti orang Islam.
  3. Hukum makruh atau haram: sekiranya ia dibina di atas syak dan sangkaan yang lemah (wahm). Atau sekiranya ia memberi mudarat yang lebih besar kepada umat Islam. Justeru, penentuan untuk memboikot perlu berasaskan fakta yang tepat dan ilmu yang luas bagi meneliti perkara tersebut.
  4. Hukum haram: jika sengaja bertindak atau mempengaruhi untuk boikot perniagaan tanpa asas yang kukuh dan bertujuan untuk melumpuhkannya.
12. Senario Pemboikotan dan Kaedah Penelitian.

a. Restoran dari syarikat francais jenama luar.

Pemboikotan tersebut mestilah memenuhi asas kriteria berikut:
  1. Melemahkan musuh/mengelakkan perlakuan maksiat. Restoran syarikat francais tersebut secara langsung membantu musuh atau dijadikan tempat maksiat atau cukainya digunakan untuk menyalurkan secara terus kepada musuh Islam. Namun, jika restoran syarikat francais yang tiada bantuan kepada musuh secara langsung, atau ia bukan tempat penganjuran maksiat, atau negara itu menggunakan cukai tersebut untuk umat Islam di negara tersebut juga, maka restoran sebegini tidak seharusnya diboikot. Apatah lagi jika restoran syarikat francais itu juga tidak menjual barangan yang diharamkan (menjual makanan halal dan tiada minuman keras). Kaedahnya, membantu untuk kebaikan bukan menggalak kejahatan.
  2. Perimbangan antara kepentingan (maslahah) dan kerugian (mafsadah). Kepentingan (maslahah) yang perlu diperhalusi ialah siapakah yang memiliki restoran, pekerja, pembekal dan penerima manfaat terbesar perniagaan tersebut? Jika umat Islam merupakan penerima terbesar manfaat tersebut, maka pemboikotan perlu dinilai semula. Bahkan jika pemiliknya seorang bukan Islam sekalipun, syarat-syarat di atas perlu juga dipertimbangkan. Apakah kerugian (mafsadah) daripada pemboikotan tersebut? Kerugiannya (mafsadah) ialah pembekal orang, peniaga, staf hilang pekerjaan yang terdiri daripada orang Islam dan rakyat jelata yang baik, maka pemboikotan juga perlu dinilai semula. Kaedahnya, tiada mudarat dan tidak memudaratkan sesiapa pun.
  3. Keharusan mengenakan mudarat ekonomi kepada musuh. Kaedahnya, membantu untuk kebaikan bukan menggalak kejahatan.
  4. Tindakan pemboikotan ini hendaklah bertujuan memudaratkan musuh melebihi memudaratkan umat Islam yang terlibat dengan perniagaan tersebut. Memboikot juga tidak memudaratkan umat Islam dan rakyat jelata (termasuk bukan Islam). Kaedahnya, tiada mudarat dan tidak memudaratkan sesiapa pun.
b. Syarikat yang dikatakan menghina Islam.

Pertimbangan kepada syarikat sebegini adalah berdasarkan kepada perkara berikut:
  1. Menutup jalan ke arah kekuatan musuh/penganjur maksiat/penjualan arak dan perkara yang dilarang.

    Penelitian tertumpu kepada perkara berikut:

    • Adakah benar syarikat tersebut menganjur untuk menghina agama Islam dan menjual perkara terlarang?
    • Adakah kesalahan kerap kali berlaku atau banyak kali terjadi?
    • Adakah syarikat tersebut tidak membuat penambahan prosedur bagi mengelakkan daripada berulang.

    Jika syarikat tersebut menganjur untuk menghina agama Islam, membiarkan kesalahan dilakukan berulang kali tanpa memperkemaskan prosedur, syarikat tersebut harus diboikot. Namun jika kesalahan berlaku kerana kesilapan atau objek yang tidak jelas, boikot boleh menyebabkan berlaku kezaliman. Kaedahnya, tiada mudarat dan tidak memudaratkan sesiapa pun.

  2. Perimbangan antara kepentingan (maslahah) dan kerugian (mafsadah). Adakah pemboikotan itu membawa kebaikan pada agama Islam atau umat Islam dan rakyat (termasuk bukan Islam), atau pemboikotan tersebut tidak membawa kemudaratan kepada umat Islam?

Tindakan memboikot perlu mengambil kira implikasi yang bakal berlaku dari sudut ekonomi negara khususnya ekonomi orang Islam sendiri dari sudut tenaga kerja, perniagaan orang Islam, para pekerja dan perniagaan rantaian makanan halal.

Perkara ini perlu dititikberatkan supaya tidak berlaku penindasan kepada mereka yang terlibat dalam rantaian produk sehingga berlaku kemudaratan berikutan kelangsungan hidup mereka terjejas.

Penelitian juga perlu kepada syarikat yang membuat kenyataan tidak menyumbang dan menyokong negara yang terlibat melakukan kezaliman bahkan hasil keuntungan disalurkan kepada negara yang ditindas. Maka, semestinya diambil berat bahawa sasaran boikot hendaklah tepat dan memberi kesan kepada pihak musuh bukannya memudaratkan ekonomi umat Islam.

Justeru itu, tindakan boikot perlu dilakukan dengan ilmu dan tabayyun (memeriksa dengan teliti). Tabayyun menurut al-Shawkani (Jld. 5, hlm. 71):


وَالْمُرَادُ مِنَ ‌التَّبَيُّنِ التَّعَرُّفُ وَالتَّفَحُّصُ، وَمِنَ التَّثَبُّتِ: الْأَنَاةُ وَعَدَمُ الْعَجَلَةِ، وَالتَّبَصُّرُ فِي الْأَمْرِ الْوَاقِعِ، وَالْخَبَرِ الْوَارِدِ حَتَّى يَتَّضِحَ وَيَظْهَرَ
Maksudnya: “Tabayyun bermaksud melakukan penelitian, pengkajian dengan sabar dan tidak tergesa-gesa tentang sesuatu perkara atau perkhabaran sehingga jelas dan terang perkara tersebut.

c. Keharusan mengenakan mudarat ekonomi kepada musuh atau penghina Islam.


d. Memboikot tidak memudaratkan umat Islam dan rakyat jelata (termasuk bukan Islam).

Jika syarat-syarat yang dinyatakan di atas dipenuhi, maka syarikat tersebut layak diboikot, namun jika syaratnya tidak dipenuhi, pemboikotan boleh menyebabkan kezaliman kepada perniagaan tersebut.

e. Produk kewangan, peralatan eletronik, komputer, telefon bimbit, saluran televisyen dan lain-lain.

Produk-produk sebegini adalah barang-barang mahal dan banyak pilihan di pasaran. Dengan memboikot barangan mereka umat Islam tidak lagi bertindak sebagai penyumbang dana atau sebagai menolong mereka dalam usaha menganiayai umat Islam yang lain.

  1. Mencari kepentingan (maslahah) yang lebih baik kesannya kepada umat Islam. Adakah dengan meninggalkan peralatan ini akan menyebabkan mudarat yang lebih besar, dan tiada alternatif lain? Jika ia membawa kepada mudarat lebih besar kepada umat Islam, maka barang ini tidak harus diboikot. Namun, jika ada alternatif, dan boleh diganti dan tidak membawa mudarat kepada umat Islam, maka ia harus diboikot.
  2. Dalam konteks ini boikot merupakan sekatan dari umat Islam kepada ekonomi musuh agar mereka kurang berkeupayaan untuk menindas umat Islam di mana sahaja tempat di dunia ini.

    Berdasarkan perbincangan di atas, hukum memboikot mengikut situasi yang berlaku.
13. Kempen mengutamakan buatan Muslim atau pembayar zakat.

Beberapa kempen telah dilakukan di kalangan masyarakat Islam. Adakah harus mengadakan kempen sebegini? Hukumnya harus mengadakan kempen seumpama itu berdasarkan dalil berikut:
  1. Memenuhi konsep memperkuatkan ekonomi umat Islam.
  2. Suruhan berbantu dalam ketaatan sebagaimana ayat al-Quran berkaitan bertolong bantu.

    Namun dalam melaksanakan kempen tersebut, tidak boleh melancarkan kempen kebencian terhadap orang bukan Islam kerana Islam telah memberikan dan melindungi hak ahli zimmah (bukan Islam yang berlindung dalam negara Islam).
14. Akhlak ketika pemboikotan

Berikut adalah tatacara pemboikotan yang perlu diteladani oleh seorang Muslim:
  1. Pemboikotan oleh pihak pemerintah Islam wajib dipatuhi oleh rakyat jelata. Pihak berkuasa berhak mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang tidak mematuhi perintah tersebut.
  2. Pemboikotan secara peribadi pada perkara yang memenuhi syarat di atas (bukan arahan daripada pemerintah), tidak boleh dengan memaksa rakyat. Bantahan kepada pihak yang tidak memboikot bukan dengan penghinaan. Pihak yang tidak memboikot juga hendaklah tidak mempermainkan dan menghina pihak yang memboikot.
  3. Tidak boleh menggunakan perbuatan, perkataan yang menghina kepada mana-mana pihak pada pemboikotan yang bukan arahan pemerintah.
  4. Pemboikotan tidak dilakukan atas dasar berlainan bangsa dan agama kerana Islam menjaga setiap hak warganegara.