Jabatan Mufti Negeri Pahang

IBADAH

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam ke atas Nabi Junjungan Besar Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Soalan Pertama :
Korban yang terbaik adalah yang dibuat sendiri, dilihat depan mata, dimasak dan dijamu pada orang ramai tentunya yang dibuat dalam negara di tempat kita bermukim. Boleh Datuk terangkan mengenainya dari segi hukum dan juga apakah dibolehkan korban luar negara?
Jawapan :
Kebanyakan ulama bersepakat bahawa sebaik-baik penyembelihan korban adalah:-

1. Dilakukan peyembelihan itu dengan tangan orang yang melakukan korban itu sendiri. Ianya telah disepakati sebagai yang paling afdhal kerana ia adalah suatu ibadah dan juga Sunnah baginda Nabi Muhammad saw.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik ra, katanya:
ضَحَّى النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ، ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ، وَسَمَّى وَكَبَّرَ وَوَضَعَ رِجْلَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا
Maksudnya: “Nabi saw menyembelih dua ekor kibasy yang berwarna putih dan terbaik, yang bertanduk besar sebagai korban dengan tangannya sendiri sambil menyebut nama Allah dan bertakbir, serta Baginda meletakkan kakinya di tengkuk kibasy tersebut.”
Riwayat al-Bukhari (5565) dan Muslim (1966)

2. Walau bagaimanapun jika kita berkongsi bahagian (seperti lembu yang dikongsi 7 bahagian) dan kita tidak mampu untuk menyembelih sendiri haiwan korban, maka diharuskan mewakilkan kepada orang yang lebih alim dan biasa menyembelih untuk melaksanakannya.

3. Jika sudah diwakilkan, maka menjadi sunat hukumnya untuk kita hadir majlis penyembelihan korban tersebut dan menyaksikannya, sama ada lelaki ataupun wanita. Dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda kepada Fatimah R.A untuk menyaksikan upacara terbabit.

يَا فَاطِمَةُ قُوْمِي فَاشْهَديِ أُضْحِيَّتَكِ، فَإِنَّهُ يُغْفَرُ لَكِ بِكُلِّ قَطْرَةٍ مِنْ دَمِهَا كُلُّ ذَنْبٍ عَمِلْتِيهِ
Maksudnya: “Wahai Fatimah, bangunlah dan lihatlah korbanmu. Sesungguhnya ia mengampunkanmu kerana setiap titis daripada darahnya mewakili setiap dosa yang kamu lakukan.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat (3/247)
Dengan demikian, orang yang melaksanakan korban itu dapat menjiwai dan merasa sendiri proses ibadah korban itu dilakukan kerana itu merupakan sebuah syiar Islam yang agung,

4. Menyembelih korban di tempat sendiri adalah cara yang paling baik dan afdhal untuk menaikkan syiar Allah SWT iaitu korban pada Hari Raya Aidil Adha. Ini dijelaskan di dalam al-Quran (surah al-Hajj ayat ke-28) فَكُلُوْا مِنْهَا وَاَطْعِمُوا الْبَاۤىِٕسَ الْفَقِيْر yang jelas menyatakan orang yang berkorban untuk makan sebahagian dari daging korbannya, hal ini akan terhalang disebabkan berkorban secara wakil ke luar negara. Walau bagaimanapun melaksanakan korban diluar negara jika menepati syarat-syarat korban adalah tetap sah hukumnya.

Justeru itu, dari keadaan yang yang disebut di atas maka yang disepakati afdhal oleh para ulama, secara umumnya korban yang lebih baik adalah dilaksanakan di tempat kita berada sewaktu mencari rezeki dalam kehidupan sehari-hari.

Soalan Kedua :
Ada pihak pengiklan (korban luar negara) yang guna sentimen lebih murah buat korban di luar. Harga contoh lembu jauh lebih murah jadi banyak nama boleh dimasukkan. Bagaimana Datuk melihat promosi melalui cara sebegini.
Jawapan :
Terdapat sebahagian individu yang melakukan kerja amal dan berkorban di luar negara kerana menguruskan korban bagi pihak lain. Maka sah hukumnya untuk berkorban di luar negara dan dia sendiri turut menyembelih dengan tangannya.

Dalam keadaan biasa seperti tiada melakukan kerja amal di luar negara tetapi mempromosikan secara aggresif kehebatan berkorban diluar negara kerana dari segi harganya yang murah di samping bertujuan membantu fakir miskin di negara tersebut, para ulama berbeza pendapat dalam menentukan keharusan melakukan ibadah korban di luar negara atau di luar kawasan hidup dan pekerjaannya. Berikut pendapat ulama atau mazhab mengenai perkara tersebut: (Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh (4/282)

a) Mazhab Hanafi: Makruh dipindahkan ke luar kawasan kecuali jika disebabkan ada kerabatnya di sana atau yang lebih memerlukan.

b) Mazhab Maliki: Tidak harus dipindahkan sembelihan ke luar kawasan yang melebihi jarak musafir, kecuali jika ahli di luar kawasan lain tadi sangat memerlukan maka bolehlah sebahagian besar dipindahkan, dan berbaki sedikit di kawasannya sahaja.

c) Mazhab Syafie dan Hanbali: Harus dipindah ke luar kawasan yang tidak melebihi jarak musafir, namun terdapat ulama dari kalangan mereka yang mengharamkan memindahkannya jika lebih dari jarak musafir.


Imam Al-Nawawi dalam kitab al-Majmu’ mengakui terdapat dua pendapat di dalam hal ini.(al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab (8/403) beliau menukilkan:
Maksudnya, “Tempat ibadah korban hendaklah dalam daerah orang yang berkorban itu, atau diharuskan juga dit tempat di mana orang yang melaksanakan ibadah korban itu sedang bermusafir. Ketentuan ini berbeza dengan dam haji karena penyembelihan binatang ternakan dam haji itu khusus di tanah suci. Sedangkan perihal memindahkan korban terdapat dua pendapat ulama. Kedua pandangan ini dinyatakan oleh Imam Ar-Rafi’i dan lainnya yang dikias dengan pemindahan zakat,”

Berdepan dengan perbezaan pandangan ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-66 yang bersidang pada 25 Nov 2004 turut memutuskan bahawa hukumnya harus untuk mengagihkan daging korban ke tempat atau negara lain. (Lihat Kompilasi Muzakarah MKI 2016, hlm. 44).Diterbitkan pada 2 Disember 2006. (http://ar.islamway.com/fatwa/5759).

Manakala bagi ulama kontemporari dan beberapa badan Fatwa seperti Saudi, UAE dan lain-lain, mereka menghukumkan sebagai harus dipindahkan ke negara yang terdapat ramai yang lebih memerlukan. (Lihat Ikhraj al-Udhiyah Kharij al-Bilad li Syiddah al-Hajah.

Jadi, boleh kita disimpulkan, adalah harus dan sah hukumnya melaksanakan korban secara wakil ke luar negara tetapi yang terbaik dan tiada khilaf adalah di tempat sendiri.

Soalan Ketiga :
Saban tahun ada saja penipuan dilapor isu “scam” korban menjelang Aidiladha. Apa nasihat Datuk untuk umat Islam supaya tidak terkorban atau mudah tertipu dengan tawaran tidak masuk akal.
Jawapan :
Nasihat saya:
a.Jika jelas “scam” atau bentuk penipuan, jangan sertai program korban tersebut. Jika berlaku “scam”, korban tersebut sebenar tidak berlaku. Penganjur mengaut wang tunai tersebut. Sedikit kos mereka guna menghantar gambar-gambar yang diulang guna.
b.Pastikan syarikat yang menganjurkan korban diluar negara itu anda kenali sebahagian dari pegawai mereka dan boleh dipercayai untuk melaksanakan program korban di luar negara.
c.Elakkan membuat korban kepada pihak “wakil atas wakil” tanpa wakil hadir ke sana kerana tidak dapat dipastikan kesahihannya. Apatah lagi, wakil mendapat upah daripada ‘wakil di sana’. Saya tidak pasti pendedahan upah kepada peserta korban dinyatakan secara jelas.
d.Buat carian dalam internet harga binatang korban di negara yang ditawarkan dan bandingkan dengan harga yang ditawarkan oleh syarikat terbabit jika terlalu murah harga apabila dibandingkan jangan sertai program korban mereka kerana ia bentuk penipuan.

Soalan keempat :
Bolehkah penganjur korban menjadikan ibadah korban sebagai urusan komersial dan mendapatkan keuntungan dari urusan korban ini.
Jawapan :
Pengurusan korban ni biasanya dianjurkan oleh dua kumpulan penganjur. Pertama ialah badan amal yang bukan tujuannya mengambil untung, samada pihak masjid-masjid atau surau, persatuan penduduk, atau NGO-NGO Islam. Mereka biasanya keluar negara mencari umat Islam yang miskin. Tujuan mereka ialah membantu dan bukan mendapatkan keuntungan. Biasanya akad yang diguna ialah akad wakalah (pewakilan) dengan anggaran harga sebenar binatang setelah dibuat semakan awal, dan kos pengangkutan mereka ke negara negara tersebut, Biasanya mereka mempunyai kenalan di negara negara tersebut. Bahkan kadang-kadang, badan amal tersebut menanggung kos pengangkutan program tersebut, dan ahli yang turut serta juga menyertai mereka menggunakan kos sendiri atas tujuan bermusafir ke negara lain. Jika ada lebihan wang korban, biasanya disedekahkan atau dijadikan duit kenduri. Akadnya adalah akad kebajikan dan bantu membantu. Akad bantu membantu sebegini, Syarak memberi banyak kelonggaran.
Kedua ialah korban anjuran syarikat komersial. Penganjur korban komersial biasanya menganjurkannya untuk mendapatkan keuntungan. Di sini, jika penganjur tidak berhati hati, ditakuti mereka memperolehi keuntungan dengan cara tipu daya (cara batil). Jika mereka berakad jualan, kena pastikan mereka telah memiliki binatang korban. Jika hanya sebagai wakil orang yang melakukan korban, mereka kena jelaskan kadar upah (yang merupakan keuntungan) yang mereka kenakan kepada muwakkil (pewakil) supaya ada konsep redha meredhai. Jika mereka wakil penternak binatang yang telah menetapkan harga binatang, wakil tidak boleh menaikkan harga melebihi kadar yang diberikan oleh penternak tanpa kebenaran penternak. Ini mengelakkan mereka untung atas angin dalam akad yang penuh unsur gharar.
Malangnya, syarikat komersial, sesetengahnya agak keberatan memberitahu kadar upah mereka yang sebenar. Jika mereka membiasakan memberitahu upah mereka kenakan kepada pelanggan, urusan mereka lebih telus dan memenuhi tuntutan kontrak.

Soalan Kelima :
Bagaimana hukum bagi syarikat/pihak yang tawarkan korban luar negara tapi tak nyatakan secara khusus negara mana. Mereka hanya berikan senarai kesemua negara yg akan mereka pergi/lakukan ibadat korban. Ada yg bayar pakej tapi tak tahu harganya tu dibayar utk lokasi mana. Adakah sah hukum korban tersebut dari segi syarak? Mohon perincian.

Jawapan :
Konsep sedemikian ialah wakalah mutlaqah (pewakilan secara mutlak dengan kebebasan kepada penganjur). Secara umumnya ia harus. Cuma dalam konteks korban anjuran penganjur komersial, mereka kena pastikan penganjuran di negara negara tertentu bukan untuk lebih membesarkan keuntungan mereka (penganjur komersial). Itu yang saya tekankan sebentar tadi, program komersial sebegini perlu telus kadar upah yang dikenakan.
Bagi penganjur yang bersifat kebajikan, perwakilan secara umum ini lebih boleh memberikan mereka fleksibel mencari negara negara miskin yang memerlukan bantuan sebegini.

Soalan:

Saya ada kemusykilan berkaitan solat yang selama 20 tahun saya melakukannya terdapat beberapa kemungkinan besar solat tidak sah dan diharap tuan dapat menjawabnya:
1. bacaan al fatihah dan tahiyyat akhir yang kurang tepat iaitu tidak menekankan huruf ha dan tidak memanjangkan الله  pada kalimat  فطيبات الله.
2. membawa Najis tanpa sedar iaitu keputihan dan air mazi (kerana ingat hanya buang angin, air kecil dan air besar sahaja dikira Najis).
3. melafazkan niat semata sebelum takbir, tanpa berbisik lagi sekali di dalam hati kerana itu yang dipelajari dan diamalkan sehingga kini
4. posisi tangan dilapik telekung semasa sujud dan tidak cukup 90 darjah semasa rukuk.

Jawapan :

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi kita Muhammad SAW, keluarga, sahabatnya dan mereka-mereka yang mengikuti segala
sunnah Nabi Muhammad SAW sehingga ke hari kiamat. Terima kasih kepada tuan di atas soalan yang telah diajukan kepada kami.

Jawapan bagi soalan pertama di atas, bacaan al-fatihah yang tidak menekankan huruf ha hukumnya tidak membatalkan solat kerana kesalahan yang dilakukan adalah 
iaitu kesalahan yang tersembunyi atau ringan seperti kesalahan tajwid huruf mad dan ghunnah dan tidak mengubah makna perkataan tersebut, namun perlu dipelajari lagi bacaan surah al-fatihah ini kerana ia merupakan bacaan wajib dalam solat, di bimbangi jika berlaku kekerapan kesalahan dalam bacaan al-fatihah tersebut sehingga berlaku perubahan makna, boleh menyebabkan solat tidak sah, dan di ibaratkan sepertimana hadis daripada U’badah bin Somith katanya, sabda Rasulullah SAW:

Yang bermaksud: “tidak dikira solat bagi sesiapa yang tidak membaca al-fatihah.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari (756) dan Muslim (394))

Manakala tidak memanjangkan perkataan الله  pada ayat فطيبات الله  juga tidak menjadikan bacaan tahiyyat akhir itu batal kerana tidak perlu untuk memanjangkan kalimah الله  seperti yang puan
katakan.

Jawapan bagi soalan kedua iaitu membawa najis tanpa sedar seperti keputihan dan air mazi, hukumnya adalah batal solat tersebut kerana keduanya adalah najis yang tidak dimaafkan dan puan wajib qada’ solat tersebut. Sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali RA:

Bermaksud: “Aku seorang yang selalu keluar mazi dan aku berasa malu untuk bertanya kepada Rasulullah SAW. Aku menyuruh Miqdad bin al-Aswad menanyakannya. Baginda
menjawab: Dia hendaklah berwudhu’. Dalam riwayat Muslim: Dia hendaklah membasuh zakarnya dan berwudhu’.”(Hadis Riwayat Al-Bukhari (176) dan Muslim (303))
Jawapan bagi soalan ketiga iaitu melafazkan niat sebelum takbir, solatnya adalah sah kerana lafaz niat sebelum takbir dan mengangkat takbir untuk memulakan solat telah menunjukkan bahawa niat untuk solat telah wujud maka perbuatannya telah dikira niat.

Sepertimana niat itu ditakrifkan:

Bermaksud: “niat melakukan sesuatu yang disertai dengan pekerjaan. Dan tempat niat adalah di dalam hati.”

Jawapan bagi soalan terakhir iaitu tidak batal solat jika tangan dilapik telekung kerana tapak tangan bukan anggota wajib dalam sujud. Sepertimana dalam hadis Nabi SAW:

Bermaksud: “Aku diperintahkan sujud dengan tujuh tulang anggota, dengan dahi (sambil Baginda menunjukkan tangannya ke bahagian atas hidung), dengan dua tangan, dua lutut dan
hujung kedua-dua belah kaki.” Imam Nawawi dalam kitabnya Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim menyebut:

“Bahawa sesungguhnya anggota sujud itu ada tujuh, dan seharusnya seseorang yang sujud itu bersujud dengan tujuh anggota tersebut, serta sujud bersama dengan dahi dan hidung
kesemuanya. Anggota dahi wajib diletakkan dengan terbuka di atas lantai, dan sunat untuk meletakkan sebahagian daripada hidung. Jika dia meninggalkan sentuhan hidung pada lantai,
maka sujudnya sah, tetapi jika dia meninggalkan sentuhan dahi pada lantai, maka tidak sah sujudnya. Ini adalah pandangan mazhab al-Syafi’e, Malik, dan kebanyakan ahli ilmu.”

Manakala masalah tidak cukup 90 darjah ketika rukuk, tidak membatalkan solat dan tidak ada mana-mana ulama dan mazhab menentukan kadar kesempurnaan rukuk bahkan rukuk
itu mengikut sekadar kemampuan diri seseorang itu sahaja.

Semoga dengan penjelasan yang diberikan kepada puan, dapat memberikan kefahaman dan ilmu pengetahuan yang lebih jelas kepada puan. Sedikit nasihat agar pihak puan dapat berusaha menuntut ilmu agama terutama ilmu-ilmu yang berkaitan fardu ain supaya dapat kita melaksanakan segala ibadat secara sempurna. Semoga kita semua dikurniakan oleh Allah SWT kefahaman yang baik dalam beragama.

Soalan:

Saya ingin bertanya, di rumah saya banyak tahi cicak. Bolehkah saya hanya sekadar sapu tahi cicak tersebut tanpa menjirus air? Hal ini kerana setelah saya membersihkannya, ada lagi tahi cicak yang jatuh lagi. Saya rasa stress sangat, risau solat saya tidak sah. Terima kasih.

Jawapan :

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT, selawat dan salam atas Nabi besar junjungan kita Nabi Muhammad SAW berserta keluarga dan sahabatnya serta mereka yang mengikuti segala sunnah Nabi Muhammad SAW sehingga hari kiamat. Terima kasih kepada puan di atas soalan yang telah diajukan kepada kami. Bagi menjawab persoalan puan, boleh dengan hanya sekadar menyapu tahi cicak menggunakan penyapu tanpa menjirus air. Mengikut pandangan sebahagian ulama, ia merupakan kategori najis yang dimaafkan, sepertimana terdapat dalam Kitab
karangan Imam Nawawi dalam al Majmu’ Syarh al-Muhazzab (2/550); Nihayah alMuhtaj (1/80).

Namun begitu berkaitan dengan solat ada dua keadaan :

1) Jika jelas / nampak tahi cicak tersebut di tempat solat, maka hendaklah kita sapu atau buang tahi tersebut dari tempat solat. Jika kita solat juga di tempat itu, maka
tidak sah solat.


2) Jika tidak jelas tahi cicak di tempat solat dan kita solat ditempat tersebut, maka sah solat dengan sebab kita tidak mengetahuinya, melainkan jika kita tahu selepas solat, contohnya ada pada tapak kaki, maka hendaklah kita buang tahi tersebut dan ulang semula solat tersebut.