Jabatan Mufti Negeri Pahang

MUAMALAT

Soalan :

Apakah hukum menyewakan kedai kepada orang bukan Islam untuk tujuan buka kedai
judi haram?. Apakah duit sewa itu haram?

Jawapan :

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT, selawat dan salam atas Nabi besar kita Nabi Muhammad SAW berserta keluarga dan sahabatnya serta mereka yang mengikuti segala sunnah Nabi Muhammad SAW sehingga ke hari kiamat. Terima kasih kepada tuan di atas soalan yang telah diajukan kepada kami. Hukum menyewakan rumah atau kedai kepada orang bukan Islam untuk tujuan membuka kedai judi adalah haram kerana menyokong dan bersubahat dalam perkara kemaksiatan yang dimurkai oleh Allah SWT. Hal ini jelas dinyatakan dalam Firman Allah SWT dalam surah Al-Maidah ayat 2 iaitu:

وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ
Maksudnya: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya”

Hukum pengharaman judi juga secara jelas telah dinyatakan oleh Firman Allah SWT dalam surah Al-Maidah ayat 90 iaitu:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِنَّمَا ٱلْخَمْرُ وَٱلْمَيْسِرُ وَٱلْأَنصَابُ وَٱلْأَزْلَـٰمُ رِجْسٌۭ مِّنْ عَمَلِ ٱلشَّيْطَـٰنِ فَٱجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Surah al-Maidah: 90)

Menurut Ibnu Qudamah dalam kitabnya Al- Mughni Syarh Mukhtasar Al-Khiraqi haram menyewakan rumah kepada seseorang untuk dijadikan rumah tersebut sebagai, atau jual beli seperti arak dan judi. Juga diharamkan untuk menyewakan rumah tersebut dimana tempat berkumpulnya orang ramai untuk melakukan perkara-perkara yang mungkar seperti zina, minum arak dan perkara yang seumpama denganya.

Begitu juga dalam perkara-perkara yang menyokong kearah kemaksiatan juga amatlah ditegah dan diharamkan oleh Allah SWT. Hal ini telah dinyatakan juga dalam kitab Mausu’ah Fiqhhiyyah Kuwaitiyah, diharamkan menyewakan rumah untuk tujuan yang tidak mematuhi syarak seperti penyewa menggunakan rumah tersebut untuk meminum arak atau bermain judi atau menjadikannya gereja atau tempat ibadat (bukan Islam) dan tempat berhala. Dan diharamkan ketika itu mengambil bayaran sewa sebagaimana diharamkan membayarnya. Hal ini kerana terdapat unsur membantu dalam perkara kemaksiatan.

Ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyatakan bahawa:

Maksudnya: Yang haram menggunakannya, haram memperolehinya.”

Menurut Sheikh Muhammad al-Zuhayli, kaedah ini menjelaskan bahawa sesuatu yang diharamkan menggunakan dan memperolehinya, maka ianya diharamkan secara qati’e(jelas). Antara yang lain juga, apa sahaja aktiviti dan amalan yang menjadi wasilah
(perantaraan) dikira terbabit sama termasuk mengusahakan dan menghasilkan juga diharamkan oleh syarak.

Kesimpulannya, haram menyewakan rumah kepada orang bukan Islam untuk tujuan kemaksiatan dan perkara yang dimurkai oleh Allah SWT. Adapun, diharuskan menyewakan rumah kepada orang bukan Islam hanya sekadar tempat tinggal untuk mereka sahaja. Oleh itu, jabatan ini menyarankan bahawa lebih utama rumah tersebut disewakan kepada orang Islam terlebih dahulu. Semoga kita semua sentiasa menjalankan muamalah yang diredhai oleh Allah SWT.

Sekian, terima kasih.

Rujukan
1. Al-Quran Dan Terjemahan.
2. Ibnu Qudamah.Al- Mughni Syarh Mukhtasar Al-Khiraqi.
3. Muhammad Al-Zuhayli. Kitab Qawaid Fiqhhiyyah Watatbiqatiha Fil AlMazahib Al- Arba’ah.
4. Mausu’ah Fiqhhiyyah Kuwaitiyah. Jilid 8 halaman. 228.

Soalan:

Bolehkah duit tabung masjid digunakan oleh ajk masjid untuk menaja umrah dari kalangan ajk masjid di mana duit tabung masjid itu diklasifikasikan sebagai
tabung kebajikan?

Jawapan :

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT, selawat dan salam ke atas Nabi besar junjungan kita Muhammad SAW, keluarga, sahabatnya dan merekamereka yang mengikuti segala sunnah Nabi Muhammad SAW sehingga ke hari kiamat. Terima kasih kepada tuan di atas soalan yang telah diajukan kepada kami.

Tidak boleh menggunakan duit tabung masjid bagi tujuan tajaan umrah untuk kariah masjid.Kebiasaannya tabung masjid adalah untuk tujuan infaq umum serta atas tujuan kebajikan masjid. Tabung yang biasa diletakkan di masjid ada dua kategori:
i. Tabung umum
ii. Tabung khusus

Tabung umum pada kebiasaannya adalah yang diletak tanpa label dan para jemaah maklum bahawa sumbangan ke dalam tabung tersebut adalah untuk tujuan kegunaan masjid dari sudut kebajikan, pengimarahan dan faedah yang kembali kepada masjid.Tabung khusus pula kebiasaannya berlabel dan ada ditulis pada tabung itu mengikut tujuan pihak JKK masjid mengedarkan seperti tabung anak yatim, tabung mualaf, tabung infaq Ramadan, tabung khairat, tabung bantuan fakir miskin dan lain-lain tujuan.

Firman Allah Taala dalam surah al-Taubah ayat 18 ayat menyatakan bahawa:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَـٰجِدَ ٱللَّهِ مَنْ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّكَوٰةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا ٱللَّهَ ۖ فَعَسَىٰٓ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَن يَكُونُوا۟ مِنَ ٱلْمُهْتَدِينَ
Maksudnya: “Hanya sanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjidmasjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat
serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapaat petunjuk.

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa yang benar-benar layak memakmurkan masjid adalah mereka yang cukup iman dan amalannya serta ikhlas. Dengan ciri-ciri inilah masjid dapat ditadbir dengan baik dan telus dalam semua hal dan keadaan termasuklah yang bersangkutan dengan kewangan. 

Jadi dalam permasalahan berkaitan, maka tidak selayaknya tabung masjid digunakan untuk kepentingan individu walaupun ia berjasa dalam urusan memajukan masjid. Jika benar mahu edarkan tabung bagi tujuan pembiayaan ajk ke umrah maka tabung masjid itu hendaklah dilabelkan sebagai tabung biaya ajk kerjakan umrah. Jika dilabelkan untuk tujuan yang dinyatakan maka ia boleh digunakan untuk tujuan tersebut.Walaupun begitu jika pembiayaan itu berlaku, maka hukum umrah itu adalah sah dan wang yang digunakan dari tabung masjid hendaklah diganti semula. Sebaiknya bagi ajk masjid yang dilantik mengambil jalan selamat iaitu apa sahaja jenis derma, infaq melalui tabung masjid atau surau jika ia dikutip dari jemaah, hendaklah dinyatakan tujuan kutipan itu dilakukan. Ini bagi mengelakkan berlakunya tohmahan serta salah guna kuasa demi kepentingan individu tertentu. Sekiranya tidak dinyatakan tujuan tersebut maka akan kembali kepada hukum asal tabung itu diwujudkan iaitu berkait dengan aktiviti pengimarahan masjid, kebajikan dan maslahat. Contoh manfaat atau kegunaan untuk masjid
adalah seperti menggantikan mentol lampu masjid yang terbakar, bayaran bil elektrik dan air serta tujuan lain yang berkait dengan kebajikan masjid. Wang tabung juga boleh diguna untuk jamuan makan jika ada ustaz atau penceramah mengadakan program kerana jamuan makan itu adalah satu bentuk pengimarahan masjid sebagai galakan meramaikan jemaah ke masjid.

Rujukan
1. Al-Quran Dan Terjemahan
2. Kaedah-Kaedah Masjid. (1998). Tambahan Perundangan: Enakmen
Pentadbiran UndangUndang Islam Negeri Pahang (1991).
3. https://muftiwp.gov.my/en/artikel/bayan-linnas/3856-bayan-linnas-siri-ke218-pandangan-mengenai-isu-pengurusan-wang-tabung-masjid