KEPUTUSAN FATWA 2019
Oleh | : | Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang Kali Ke-2/2019, pada 3 Mei 2019 |
Keputusan : Kajian Mengenai Persilatan Tapa Diri 65 atau Bha Tha Mim adalah seperti berikut:
- Persilatan Tapa diri atau Bha Tha Mim mempunyai perkara yang meragukan dari segi akidah dan syariah dalam amalan dan ilmu kebatinan kerana mempunyai unsur Khawarij Al-Addah ( terkeluar dari kebiasaan ). Ia dibimbangi mempunyai unsur penglibatan jin dalam amalan.
- Guru yang mengajar agama tidak mempunyai tauliah dan kelayakkan ilmu keagamaan.
- Menjauhi amalan yang meragukan adalah termasuk dalam perkara Sadd Al Zara’i
Sehubungan dengan itu, disebabkan banyak perkara yang meragukan, maka sesiapa sahaja yang menyertai pertubuhan ini adalah dilarang.
Oleh | : | Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang kali ke 3/2019 , pada 27 Jun 2019 |
Keputusan :
Mesyuarat bersetuju menangguhkan perbincangan berhubung cadangan lafaz taklik baru dan meminta Jabatan Kehakiman Syariah mengemukakan semula kertas cadangan lafaz taklik baru beserta justifikasi pindaan lafaz taklik .
Oleh | : | Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang Kali Ke-3/2019, pada 27 Jun 2019 |
Keputusan :
Mesyuarat bersetuju dengan cadangan Garis Panduan Penggunaan Wang Masjid dan Surau yang dibentangkan dengan pindaan iaitu :
- Memasukkan perkataan hendaklah dengan kebenaran Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang pada bahagian berkaitan kutipan wakaf dan derma di dalam garis panduan
- Tidak dibenarkan menerbitkan apa-apa wakaf tunai melainkan mendapat kebenaran Majlis Ugama
- Mesyuarat mencadangkan supaya masjid berhati-hati di dalam pelaburan selain daripada simpanan tetap kerana ia terdedah kepada kerugian
- Memasukkan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang berhubung galakan supaya masjid terlibat dengan aktiviti ekonomi
- Mesyuarat berharap pengurusan masjid akan dapat diuruskan secara profesional
Oleh | : | Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang kali ke-3/2019 , pada 27 Jun 2019 |
Keputusan :
Mesyuarat bersetuju supaya dikaji semula penggunaan nama pendaftar murtad dalam Rang Undang-Undang Penentuan Status Islam 2019 dan Kaedah Penentuan Status Agama Seseorang 2019 bagi mengelak salah faham masyarakat .
Oleh : Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang kali ke-3/2019 , pada 27 Jun 2019
Keputusan :Mesyuarat mengambil makluman pembentangan daripada Global Ikhwan Holdings Sendirian Berhad seperti berikut ;
- Ahli Global Ikhwan Holdings Sendirian Berhad telah meninggalkan Aurad Muhammadiah dan tidak lagi beramal dengannya
- Global Ikhwan Holdings Sendirian Berhad adalah syarikat perniagaan yang tiada kaitan dengan Al-Arqam yang telah diharamkan
- Bersetuju mengikut peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama dari segi pendidikan dan pernikahan
Mesyuarat mengambil makluman pembentangan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia seperti berikut ;
- Global Ikhwan Holdings Sendirian Berhad adalah syarikat perniagaan yang ditubuhkan hasil daripada penjenamaan semula syarikat Rufaqa‘ dan Al-Arqam
- Ahli Global Ikhwan Holdings Sendirian Berhad masih mengamalkan Auradh Muhammadiah dan ajaran-ajaran Al-Arqam yang diharamkan
- Pusat Pendidikan Global Ikhwan Holdings Sendirian Berhad tidak berdaftar dengan Jabatan Agama dan tidak mengikuy Kurikulum arus perdana .
- Ahli Global Ikhwan Holdings Sendirian Berhad masih mengamalkan pernikahan dan poligami tidak berdaftar dan tidak mengikut peraturan dan undang-undang Islam yang ditetapkan .
Mesyuarat mengambil makluman pembentangan daripada Polis Di Raja Malaysia seperti berikut ;
- Terdapat maklumat bahawa Ahli Global Ikhwan Holdings Sendirian Berhad masih mengamalkan Auradh Muhammadiah dan ajaran-ajaran Al-Arqam yang diharamkan seperti mengambil berkat daripada Mursyid dan menghidupkan fahaman ‘‘ air berkat ‘‘ iaitu mengambil berkat daripada pemimpin atasan Global Ikhwan Holdings Sendirian Berhad .
- Dimaklumkan pihak Polis Diraja Malaysia masih menjalankan siasatan berhubung aduan penyelewengan oleh bekas pengikut Al-Arqam dan masih mengumpulkan bukti .
Setelah dibincangkan mesyuarat mengambil keputusan berikut :
- Memisahkan isu Global Ikhwan Holdings Sendirian Berhad kepada dua iaitu isu perniagaan dan akidah . Bersetuju hanya perkara akidah dan penyelewengannya sahaja yang akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak .
- Menasihatkan supaya Global Ikhwan Holdings Sendirian Berhad mematuhi peraturan dan undang-undang Islam Pahang dari segi pendaftaran sekolah dan urusan pernikahan dan poligami .
- Menangguhkan keputusan isu penyelewengan akidah bekas pengikut Al-Arqam @ Global Ikhwan Holdings Sendirian Berhad sehingga mendapat maklumat lengkap siasatan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Polis Diraja Malaysia ( Cawangan Khas ) .
Oleh : Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang kali ke-5/2019 , pada 02 Disember 2019
Keputusan :
Mesyuarat bersetuju memutuskan bahawa ditambah 8 minit pada waktu asal disebabkan matahari berada dibawah ufuk pada kedudukan 18 darjah ketika berlakunya fajar sadiq .